Pengikut

Jumlah Paparan Halaman

my day....

Daisypath Happy Birthday tickers

Jumaat, Ogos 3

Lembayung Syurga Bab 9

BAB 9

‘Usu pernah bertunangkah?  Atau pernah berkahwin?’
Darwisyah berteka-teki sendiri.  Dia terdengar perbualan Nenek Leha dan Usu Roslan kelmarin ketika sedang menunggu Danish Aniq tiba.  Pada mulanya ia hanya perbualan biasa sahaja yang berkisar tentang jodoh.  Langsung tidak menarik minat Darwisyah untuk mendengar dengan teliti.  Tetapi satu ayat yang keluar dari mulut Nenek Leha menggamit perasaan ingin tahu dalam diri Darwisyah.
“Aniq,  boleh aku tanya kau satu soalan?”
“Tanyalah,”  balas Danish Aniq.  Ketika itu mereka sedang berjalan menuju ke sekolah.
“Usu pernah berkahwinkah sebelum ini?”  lancar soalan yang ditanya oleh Darwisyah.  Danish Aniq tampak sedikit terkejut.
“Mengapa kau tanya soalan sebegini kepadaku?”
“Sebab aku tahu kau mesti ada jawapannya!”  bidasnya cepat.
“Apa yang menyebabkan kau yakin aku ada jawapan untuk soalan kau?”
“Sebab kau lebih rapat dengan usu,”  Darwisyah memulangkan kata kepada soalan saudaranya itu.
“Tapi kau anak saudaranya.”
“Tapi usu seperti menganggap aku bukan anak saudaranya.  Dia seperti tidak sukakan aku!”  keras suara Darwisyah.  Tegas!
Danish Aniq membisu.  Entah kenapa sudut hatinya agak terusik dengan kata-kata Darwisyah yang berbaur luahan hati.
“Kau sudah tanya Nenek Leha tentang usu?”
Darwisyah menggeleng laju.  Ruang matanya kelihatan berkaca. Rasa sebak mula bertapak di ruang hatinya.
“Aku rasa lebih baik kau tanya Nenek Leha sahaja.  Dia lebih tahu segalanya,”  itu yang dibalas oleh Danish Aniq.  Kemudian dia menyambung lagi.
“Aku orang luar.  Tidak elok untuk bercerita hal yang aku sendiri tidak pasti benar atau sebaliknya.  Walau silap satu perkataan,  berdosa di mata Allah.  Sekiranya aku tertinggal atau menambah satu perkataan yang tidak benar,  aku sudah di kira memfitnah.  Kau tahu fitnah itu lebih buruk daripada membunuh bukan?”
“Aku bingung dengan keadaan sekarang,”  kata Darwisyah,  melankolis.
“Apa sebenarnya masalah kau?”  Danish Aniq cuba berbual.  Jarak sekolahnya semakin hampir.  Sesekali langkah mereka berdua dipintas oleh rakan-rakan lain yang juga ingin ke sekolah.
Mereka sudah mengetahui bahawa Darwisyah dan Danish Aniq bersaudara.  Mereka tidak hairan apabila melihat mereka berjalan bersama ke sekolah.
Lama Danish Aniq menunggu lontaran suara daripada Darwisyah.  Tetapi dia hanya diam.  Pandangannya terus ke hadapan.
“Aku tidak memaksa kau untuk bercerita kepadaku tentang apa masalah kau.  Terserah kepada kau sendiri samada mahu atau tidak.  Tapi tidak elok jika terlalu memendam.  Aku sudah anggap kau seperti adik aku.  Aku lapang dada jika kau sudi bercerita kepadaku.”
Mereka sudah melepasi pintu gerbang sekolah.  Sebelum berpisah arah,  Darwisyah menjerit kecil ke arah Danish Aniq.
“Di dunia ini masih adakah  abang yang sudi menadah telinga mendengar cerita sedih daripada seorang yang bergelar adik yang dibenci oleh saudara sendiri?”
“0.001 peratus, jika tiada.  Yang pasti aku bukan di antaranya.  Aku pendengar yang baik!”
Pertanyaan Darwisyah dibalas oleh Danish Aniq.  Mereka tersenyum dan membawa haluan sendiri.

*****

“Tiba-tiba sahaja mama dan ayah aku beritahu yang aku akan bersekolah di sini,”  adu Darwisyah.  Sayu.
“Sampai tamat tingkatan 5?”
“Aku tidak pasti.”
“Tidak pasti?”  balas Danish Aniq kembali.
“Ya.  Bila aku tanya sampai bila aku harus bersekolah di sini,  mama dan ayah aku hanya diam.  Tetapi mereka ada mengatakan bahawa tidak lama.  Aku tidak tahu ‘tidak lama’ bagi mereka itu selama mana.”
Masing-masing kembali diam.  Darwisyah akhirnya menceritakan apa yang sedang bermain di benaknya kepada Danish Aniq.
“Kau tidak gembira tinggal di sini?”  Danish Aniq cuba menduga.
“Susah untuk aku katakan.”
“Mengapa?”
Pertanyaan Danish Aniq tidak di balas oleh Darwisyah.  Dia seperti hilang kata.  Perlahan sahaja langkah kakinya.  Terik matahari yang menyegat seperti tidak memberi kesan kepada mereka berdua.  Tudung sekolahnya berkibar-kibar disapa bayu.
“Aku dapat rasakan bahawa mama dan ayah aku sembunyikan sesuatu daripada pengetahuan aku.”
Putusnya.  Tegas sekali!  Danish Aniq pantas berpaling melihat wajah bujur Darwisyah.  Pipi mulus gadis itu sudah merah dipanah bahang mentari.
“Apa?”  kata Danish Aniq dengan nada terkejut.
“Aku dapat rasakan bahawa mama dan ayah aku sembunyikan sesuatu daripada pengetahuan aku.  Aku pasti.  Aku pernah terdengar mama dan mak tok berbual tentang perkara ini.  Baru-baru ni juga,  ayah aku hubungi mak tok dan ada sesuatu sedang berlaku di rumah sana,”  Darwisyah bercerita panjang lebar.
“Kau tahu apa yang mereka sembunyikan?”
Darwisyah hanya menggeleng.  Buku di tangan dipeluk erat. 
“Ini yang mebuatkan air mata kau menitis ketika kali pertama aku menegur kau?”  teka Danish Aniq.
“Ya.  Bukan itu sahaja.  Aku sedih akan nasibku yang dibenci oleh bapa saudara sendiri,”  ujarnya.  Suaranya mulai tersekat. 
“Kau tidak boleh beranggapan begitu.  Mungkin Usu Roslan ada sebab mengapa dia bersikap begitu.  Tidak mungkin dia benci kau,”  Danish Aniq berbicara.
“Sedari kecil lagi Aniq.  Sedari kecil lagi Usu selalu marah-marah aku.  Kalau bukan marah pun,  dia mesti menyindir aku.  Bukankah benci namanya?”
Darwisyah menyoal.  Danish Aniq yang setia mendengar tersenyum kecil lalu berkata,  “terlalu cepat kau buat andaian sebenarnya.”
“Ini bukan andaian Aniq.  Ini apa yang aku rasa selama ni,”  dia menjawab cepat kata-kata yang diluahkan oleh Danish Aniq.
“Bagaimana jika apa yang kau ‘rasa’ itu salah?”
“Erk...”  Darwisyah tidak mampu membalas.
Seorang mukmin tidak boleh menuduh saudaranya tanpa bukti yang kuat.  Jika rasa yang cuba kau katakan itu salah,  itu sudah di kira menuduh.  Kau tahu,  dosa menuduh orang lain yang tidak bersalah lebih berat dari gunung yang tinggi.  Seeloknya kau siasat terlebih dahulu sebelum mengatakan ia betul atau salah.  Negara pun ada undang-undang yang perlu kita patuhi,  apatah lagi agama.”
Darwisyah terdiam.  Terpukul dengan kata-kata Danish Aniq.  Wajahnya ditundukkan.
“Sebenarnya aku sangat bingung dengan apa yang sedang berlaku sekarang.  Aku tidak tahu apa punca semua ini, yang membuatkan aku tercampak ke kampung ni.”
Suasana yang hening bebarapa saat kembali bersuara apabila Darwisyah berbicara.  Sauranya sayu.  Riak-riak kecewa terkesan di situ.
“Mungkin ini semua untuk kebaikan kau.”
“Kebaikan?  Apa maksud kau?”
Darwisyah yang tidak mengerti apa yang dikatakan oleh Danish Aniq bertanya lagi.
“Ya.  Mungkin ibu bapa kau mahukan kau hidup lebih berdikari.  Di sana,  kau punyai segala-galanya.  Kemewahan,  kesenangan dan sebagainya.  Seperti sekarang.  Aku pasti kau akan diambil oleh mama kau,  bukan berjalan pulang seperti ini atau menaiki bas sekolah.  Betul?”
Gadis itu memandang wajah Danish Aniq penuh hairan.  Dahinya berkerut.
“Mana kau tahu?”
“Kau kan anak manja!”
Bidas Danish Aniq.  Nakal!
Menyedari dirinya dimainkan,  laju sahaja dia menghayun beberapa buah buku teks tebal di tangannya.  Bahu Danish Aniq menjadi sasaran.
“Aduh!”
Suara mengaduh terluah dari mulut Danish Aniq.  Dia mengurut-ngurut kasar bahunya.  Kebas!
“Tak habis-habis nak kenakan aku!”  Wajahnya mulai masam.
“Aku minta maaf.  Aku bergurau tadi.”
Danish Aniq menarik nafas panjang sebelum menghembus kembali.
“Kau tertekan dengan situasi sekarang?”  soalnya.  Tenang.
“Sedikit.”
Pendek jawapan yang diberi oleh Darwisyah.
“Janganlah terlalu fikir perkara yang tidak elok.  Cuba ambilnya sebagai perkara yang positif. Aku pasti fikiran kau akan lebih terganggu bila kau banyak memikirkan keburukan daripada kebaikan. Percayalah!” ujar Danish Aniq.

Tiada ulasan: