Pengikut

Jumlah Paparan Halaman

my day....

Daisypath Happy Birthday tickers

Khamis, Julai 26

Lembanyung Syurga Bab 7

BAB 7


Sebuah kereta Honda City hitam berhenti di hadapan Mak Embun.  Mak Embun,  ibu kepada Danish Aniq cuba mengecilkan matanya dengan harapan dapat melihat siapa di dalam kereta tersebut.  Tetapi ianya tidak berhasil.  Malahan Mak Embun berasa sedikit pening.  Namun ia hanya beberapa saat sahaja.

“Assalamualaikum!”

Gadis tinggi lampai yang keluar dari tempat duduk pemandu melaungkan salam.  Tinggi.  Baju kurung merah hati yang dipakainya dipadankan bersama tudung rona merah jambu menyerlahkan warna kulitnya yang putih gebu.  Manis sekali!  Dia melangkah menghampiri Mak Embun yang ketika itu sedang bersandar di buaian besi di halaman rumah.

“Waalaikumussalam!”  Mak Embun menjawab salam.  Huluran tangan si gadis disambut.  Tangan kasarnya dicium tanda hormat.  Mak Embun terpegun dengan sikapnya.

“Mak cik,  boleh tumpang tanya?”  si gadis tinggi lampai bersuara.

“Anak mahu tanya apa?”  memandangkan Mak Embun tidak tahu nama gadis itu,  Mak Embun memanggilnya dengan panggilan ‘anak’.  Wajah putih bersih itu tidak lepas-lepas dipandang.

“Saya Munira.  Saya hendak cari rumah atau bilik sewa di kawasan ini.  Mak cik tahu di mana ada rumah atau bilik yang boleh di sewa?”  terangnya.

“Oh!  Jika begitu,  Munira sewa sahaja rumah mak cik.  Kebetulan mak cik memang punyai rumah kosong untuk di sewa.  Mahu?”  usul  Mak Embun kepada gadis yang bernama Munira itu.

“Munira terima mak cik.  Syukur sangat.  Lagi pun,  Munira memang perlukan rumah atau bilik kosong segera.” 

Munira mengukir senyuman lebar.  Lega hatinya apabila tempat untuk berteduh dari panas dan hujan sudah ditemui.

“Munira tunggu sebentar.  Mak cik masuk ambil kunci rumah.”

Munira mengangguk.  Senyumannya tidak putus sehinggalah batang tubuh Mak Embun hilang di balik dinding rumah batu itu.

Fuhh!

Munira menghembus nafas.  Keras.  Halaman rumah yang luas di pandang sekilas.  Mukanya berkerut.  Bibirnya yang merah merekah tampak bergerak-gerak.  Seperti mengomel sesuatu.  Cuaca panas menimbulkan rasa kurang selesa pada dirinya.  Sesekali kakinya dihentak-hentak,  cuba mengusir rasa geli apabila rumput renek halus menyucuk-nyucuk tumit kakinya.

“Mari mak cik tunjukkan rumah,”

Mendengar sahaja suara Mak Embun,  Munira berusaha mengukir senyuman.

“Tidak jauh.  Itu rumahnya!” Mata bulat Munira mencari arah yang ditunjukkan.

Sebuah rumah batu.  Bersaiz sederhana.  Kelihatan bersih dan dijaga rapi.  Munira mengikut langkah kaki Mak Embun.  Sesekali dia ingin terjatuh apabila badannya tidak mampu dikawal.  Beberapa tapak,  akhirnya mereka tiba.

Mak Embun membuka pintu itu dengan menggunakan kunci di tangannya.  Pintu tersebut di buka luas.  Kosong!  Munira tiba-tiba berasa cuak.  Namun dia cuba mengawal wajahnya supaya tidak dikesan oleh Mak Embun.

“Rumah ini kosong.  Tidak ada perabot dan barang-barang lain.  Tetapi ada air dan elektrik.  Rumah ini memang dibina dengan tujuan untuk disewa.  Bagaimana?  Munira selesa?”  bicara Mak Embun panjang lebar.  Mak Embun sememangnya seorang yang peramah.

“Boleh mak cik.  Tentang perabot dan perkakas lain,  Munira akan beli yang mana perlu.  Sudah jumpa rumah untuk disewa pun sudah memadai bagi Munira mak cik.  Terima kasih mak cik.”

Munira cuba berbual mesra.  Rasa lenguh pipinya akibat terlalu banyak senyum.

“Panggil sahaja Mak Embun.  Boleh Mak Embun tanya Munira sesuatu?”

Munira mengangguk laju.

“Rasanya Mak Embun tak pernah nampak Munira di kawasan sini.  Munira bukan orang sini ya?”

“Betul tu Mak Embun.  Munira dari Kuala Lumpur,”  balasnya.

“Oh!  Munira buat apa di kampung ini?”  soalnya lagi belum puas.

“Munira seorang guru.  Baru ditukarkan ke sekolah di bandar sana.  Munira sudah cuba cari rumah sewa di sana.  Tidak ada.  Munira selesa tinggal dalam suasana kampung.  Di bandar sana,  mana ada kampung seperti ini.”

Mak Embun mulai faham.  Mereka berbual seketika sebelum Mak Embun kembali ke rumahnya.

Sementara itu,  Munira yang sedang melihat setiap sudut rumah itu merasa sangat geram.  Hatinya menyumpah-nyumpah sesorang.  Sesekali terkeluar perkataan dari mulutnya. 

‘Bagaimana aku ingin tidur malam ini?  Tilam pun tiada.  Apatah lagi katil.’


Dia merungut geram dalam hati.  Malam itu,  dia menyusur keluar ke pekan dan pulang keesokkan harinya.


Isnin, Julai 23

lEMBAYUNG sYURGA bAB 6

BAB 6

Hampir 2 bulan Darwisyah tinggal di kampung itu.  Dia tidak punyai masalah untuk bergaul dengan sahabat-sahabat lain terutama di sekolah.  Syukur alhamdulillah,  mereka menerima kehadiran Darwisyah dengan senang.  Sangkaan Darwisyah,  dia akan menerima kesulitan jika dia mula berpindah ke sekolah baru.  Ternyata apa yang difikirkan olehnya jauh menyimpang.

Hari ini Darwisyah mengikut Nenek Leha ke rumah jirannya.  Kenduri perkahwinan akan diadakan pada esok hari.  Menurut apa yang dikatakan oleh Nenek Leh kepadanya,  bakal pengantin lelaki itu seorang doktor pakar manakala pasangannya nanti pula adalah seorang pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi di ibu kota.  Terpegun sebentar Darwisyah ketika mendengarnya.

“Darwisyah!  Sudah siap atau belum?”

Nenek Leha melaung lembut nama penuh cucunya.  Darwisyah yang mendengar tersenyum.  Suka benar dia apabila nama penuhnya disebut.  Walaupun namanya hanya satu patah perkataan,  namun cukup sukar bagi orang-orang sekeliling memanggilnya dengan nama penuh.  Waima ibu dan bapanya.  ‘Isya’.  Itu nama yang sering diungkap.

“Sudah mak tok!”  Darwisyah keluar dari balik tirai biliknya.  Baju kurung hijau pucuk pisang tersarung kemas di tubuhnya yang kurus dan tinggi.  Mahkota wanitanya tertutup litup dengan tudung rona senada.  Cantik!

“Amboi!  Cantiknya cucu mak tok.”

“Cucu mak tok,  mestilah cantik!”

Darwisyah membalas pujian Nenek Leha dengan gurauan.  Tersengih apabila dipuji sebegitu.  Berbunga-bunga hatinya!

“Sudah.  Mari cepat.  Mak tok sudah lewat ni.”

Selipar putih bersihnya disarung lalu mengikut langkah Nenek Leha.  Tempat yang ingin ditujuinya tidak jauh.  Hanya selang beberapa buah rumah sahaja.  Di selekoh simpang masuk ke rumah Nenek Leha,  mereka bertembung dengan beberapa orang kampung yang turut ingin ke sana.  Pada pandangan mata Darwisyah,  mereka nampaknya sebaya dengan mak toknya.  Darwisyah menyalami mereka tanda hormat setelah dikenalkan oleh Nenek Leha.  Walaupun dia berasal daripada bandar,  tetapi didikan tentang adat dan adab sangat dititik beratkan oleh kedua orang tuanya.

“Anak siapa ni Leha?”  tanya salah seorang daripada mereka.

“Anak Lokman!”  jawab Nenek Leha.  Bersemangat.

“Oh!  Sudah besar ya.  Berapa umurnya?”  tanyanya lagi.  Tampak teruja sekali.  Darwisyah hanya tersenyum.

“Sudah 15 tahun.”

Dari gaya perbualan mereka bersama Nenek Leha,  kelihatan seperti mereka mengenali Darwisyah.  Cuma dia yang tidak mengenali mereka.

Getus hati kecil Darwisyah.  Mereka terus berbual.  Sesekali galak tawa mereka pecah.  Mungkin ada yang mencuit hati mereka ketika itu.  Darwisyah hanya mendengar.  Dia menikmati suasana kampung yang sudah lama tidak dirasai.  Walaupun ketika itu matahari pagi sudah lama muncul,  namun dingin embun pagi masih terasa.  Sejuk dan nyaman!

Sedang asyik menghirup haruman daun hijau sambil berjalan,  telinga Darwisyah disapa oleh satu pertanyaan oleh salah seorang daripada mereka.

“Ini anak Lokman?”

Darwisyah berpaling.  Wajah insan yang boleh dipanggil mak cik itu dipandang.  Berkerut dahinya.  Tidak terkecuali dahi Darwisyah juga. 

‘Mengapa dia seperti hairan apabila mengetahui aku ini anak Lokman?’  bisik hatinya.

Beberapa saat setelah soalan itu diajukan,  tiada langsung jawapan yang diperolehi.  Nenek Leha hanya diam.  Lebih ajaib apabila melihat perubahan pada wajah Nenek Leha.  Lain.  Seperti terkejut. 

“Bukankah Lokman…” 

“Er…  orang sudah ramai tu.  Mari kita ke sana cepat.”

Mak cik tersebut bersuara.  Lagaknya seperti ingin menyatakan sesuatu,  namun cepat-cepat Nenek Leha memotong percakapannya. 

‘Pelik.  Apa yang mak cik itu cuba sampaikan?  Mak tok seperti tidak mahu mak cik itu menghabiskan ayatnya.  Kelihatan seperti sedang sorokkan sesuatu sahaja.  Ahh…  Tidak elok bersangka buruk sebegini.  Mak tok pernah berpesan.  Jangan bersangka sesuatu yang tidak baik tentang orang lain.  Berdosa.  Mak tok juga berkata jika menyedari diri kita mula berasa demikian,  kunci utamanya adalah dengan beristighfar.’

“Astagfirullah hal azim!”

Darwisyah cepat-cepat beristighfar dalam hati.  Kepalanya digelengkan beberapa kali.  Matanya juga dipejamkan sedetik.  Mengusir jauh rasa itu.  Sebaik sahaja Darwisyah membuka mata,  baru dia menyedari bahawa dia keseorangan ketika itu.  Nenek Leha dan lain-lain sudah jauh ke hadapan.

Cepat sahaja Darwisyah membuka langkah kaki.  Cuba mengejar.  Namun anak matanya dapat menangkap pandangan aneh yang dilemparkan salah seorang daripada mak cik yang bersamanya sebentar tadi.  Mak cik yang cuba menyatakan sesuatu tetapi dipintas laju oleh neneknya.

‘Seperti ada yang sedang disembunyikan…’  Hatinya mula bergetar.

Tanpa Darwisyah menyedari,  ada sepasang mata sedang memerhatinya dari celah pokok yang lebat merimbun…


*****


Seminggu sebelum itu…

Puan Normah duduk di sofa sambil menyilang kakinya.  Urat-urat rambut halus berwarna putih mula kelihatan di kepala yang tidak berhijab itu.  Tetapi hanya sedikit.  Itupun kerana rambut baru yang mulai tumbuh.  Selebihnya sudah bertukar warna kepada coklat gelap.  Semuanya untuk mengaburi pandangan masyarakat daripada melihat rambut putihnya atupun lebih tepat uban.

Mata wanita itu merenung tepat ke arah wajah seorang gadis dewasa.  Umurnya sekitar 30-an.  Gadis dewasa itu duduk bersandar berhadapan dengan Puan Normah.  Lagaknya bersahaja.

“Bagaimana?  Boleh tolong mama Nor?”  Puan Normah bertanya.

“Boleh.  Mama Nor nak Qasya buat apa?”  jawab gadis.

Gadis yang menggelar dirinya Qasya itu adalah anak saudara kepada Puan Normah.  Anak kepada abang sulungnya.  Qasya masih lagi bujang.  Dia baru sahaja tamat belajar di luar negara.  Selepas kembali ke tanah air beberapa hari lalu,  Qasya masih lagi belum berkerja.  Hadir dalam keluarga yang berharta,  tidak sukar baginya untuk memperoleh semua itu.  Apatah lagi keluarganya punyai empayar perniagaan sendiri.

“Tengok gambar ni.”

Puan Normah melempar kasar 2 keping gambar di atas meja kaca di hadapan mereka.  Berselerak.  Qasya mengambilnya.  Tidak puas dengan sekeping gambar,  dia mencapai sekeping lagi.

“Gambar siap ni?”  soalnya sambil merenung gambar itu.

“Qasya tak perlu tahu siapa.  Sekarang mama Nor mahu Qasya pergi cari budak perempuan ni.  Jika sudah dapat,  cuba dekati dia.”

Puan Normah diam selepas itu.  Wajahnya penuh angkuh.  Kulit wajahnya yang sememangnya berkedut bertambah berkedut jadinya.

“Itu sahaja?”  soal Qasya lagi. Dia mempamerkan mimik muka sedikit hairan.

“Buat masa sekarang,  itu sahaja yang mama Nor mahu Qasya lakukan.  Arahan seterusnya,  mama Nor akan beritahu nanti.  Faham?”

“Faham mama Nor!”

Qasya menjawab.  Mereka berpandangan sebentar.  Bibir masing-masing mengukir satu senyuman yang sukar di mengerti.  Hanya mereka dan Allah yang tahu.

“Apa yang faham tu Qasya?”

Suara lelaki tiba-tiba kedengaran ketika itu.  Dua pasang mata berpaling mencari arah suara tersebut.  Riak terkejut sedikit terlihat di wajah masing-masing.

“Papa Zul!  Terkejut Qasya!”

Encik Zulkarnain rupanya.  Dia yang baru muncul dari tingkat atas menuruni anak tangga dengan penuh berhati-hati.  Qasya tersenyum lebar.

“Apa yang fahamnya?  Dari atas lagi papa Zul dengar?”  Encil Zulkarnain bertanya lagi.  dia melabuhkan punggungnya di ruang sofa yang kosong.

“Abang ni.  Lupakah apa yang kita rancang sebelum ni?”  Puan Normah cuba mengingatkan suaminya.

“Oh!  Jadi,  Qasya terima tawaran kita?”

“Mestilah!”  jawab isterinya penuh semangat.

“Baguslah jika begitu.  Papa Zul tahu,  Qasya bijak dalam perkara ini.  Ingat!  Jika hasilnya memuaskan,  ganjaran lebih besar menanti Qasya.”

Senyuman Qasya bertambah lebar apabila mendengar janji yang dituturkan oleh Encik Zulkarnain.  Matanya yang bercelak hitam bertambah bulat jadinya kerana sangat teruja.

Beberapa minit berbual,  Qasya mohon undur diri.  Dia bangun dari tempat duduknya.  Skirt paras lututnya di tarik-tarik agar tidak melekat di tubuhnya.  Blouse kemejanya dirapikan sebelum mencapai tas tangannya.  Kepingan foto disimpan kemas di dalam beg tersebut.

“Mama Nor,  Qasya pulang dahulu.  Jika ada apa-apa mama Nor hubungi Qasya ya,”  ujar Qasya ketika memeluk Puan Normah.

Tiada lagi budaya salam-menyalam dalam hidupnya.  Apatah lagi ucapan salam ketika mengunjungi rumah tersebut.  Begitu juga ketika ingin berpisah. 

Qasya hanya mengenali budaya bersentuh-sentuh pipi selain daripada menghulur tangan untuk bersalaman.  Manakala ucapa ‘hello’ pula menggantikan ucapan assalamualaikum.  Sama juga ketika ingin berpisah.  Ucapan ‘bye-bye’ yang akan kedengaran. 

Bagi Qasya,  ucapan-ucapan itu tidak sesuai digunakan lagi ketika itu.  Itulah tanggapannya selepas ditegur oleh seorang wanita tua di sebuah gerai makan suatu hari.  Ucapan salam dalam kehidupan harian bukanlah satu perkara yang tidak ada apa-apa kebaikan.  Malahan ada baiknya.  Rasulullah pernah bersabda,  “Orang yang memulakan memberi salam adalah terlepas daripada sifat sombong dan takbur” ( Riwayat Al-Baihaqi & Al-Khatib ).


*****


Di banglo mewah milik Encik Lokman,  Puan Zalikha sedang menyelongkar kasar laci biliknya.  Hampir kesemua laci-laci di bilik itu dibuka.  Tidak cukup dengan laci almari pakaian,  almari meja milik Encik Lokman turut dibukanya.  Habis berterabur helaian-helaian kertas di lantai.

“Ya Allah Ika!  Apa yang awak buat ni?”  menjerit kecil Encik Lokman ketika melangkah masuk ke dalam biliknya.  Matanya meliar memandang lantai bilik.  ‘Apa sudah jadi dengan bilik ini?’  Ujarnya dalam hati.

“Abang,  abang ada nampak atau tidak sampul surat berwarna coklat?”  pertanyaan Encik Lokman dibalas dengan pertanyaan kembali oleh isterinya.  Tangannya ligat mengeluarkan satu persatu barang daripada dalam laci yang ditarik keluar.

“Sampul surat coklat?”  suara Encik Lokman kedengaran.

“Ya!  Sampul surat berwarna coklat. Saiznya lebih kurang kertas A4 dan tidak ada sebarang tulisan di atasnya.  Ada nampak atau tidak?”

Sedar akan Encik Lokman akan bertanya lagi,  Puan Zalikha terlebih dahulu memberitahu.  Peluh sudah mula merenek di dahinya.  Tudung yang tersarung di kepala sudah senget dan hilang bentuk.

“Tidak pula.  Ika simpan di mana sebelum ini?”  soal Encik Lokman pula.  Helaian kertas yang bertaburan di lantai dikutip lalu disusun kemas sebelum meletaknya di atas meja tulisnya.

“Ika simpan di dalam laci almari itu,”  jawab Puan Zalikha sambil menunding jari ke arah sebuah almari pakaian.

Encik Lokman memandang arah yang di tunjuk oleh isterinya.  Dia menarik nafas panjang dan menghembus perlahan.  Wajah isterinya yang sudah basah dek peluh ditatap.

“Betul awak simpan di situ?  Atau pun di tempat lain?”  Encik Lokman cuba mengembalikan ingatan Puan Zalikha jikalau dia tersalah letak.

“Tidak!  Ika yakin.  Ika simpan dalam laci almari itu,  bersama dengan sijil-sijil dan surat penting milik Darwisyah.”

Sebaik sahaja Puan Zalikha menghabiskan ayatnya,  serta-merta dia berpaling dan memandang wajah suaminya.

“Sijil Darwisyah!  Ya Allah!”

Terkesima pasangan suami isteri itu.  Masing-masing kaku di tempat duduk.  Encik Lokman meraup wajahnya.  Matanya mulai bergetar.  Perasaan Puan Zalikha sudah berkecamuk.  Risau,  takut,  cemas.  Semuanya sudah menjadi satu.

“Tidak mungkin…”  rintihnya dalam hati.

Isnin, Julai 16

Lembayung Syurga Bab 5

BAB 5  


            " Tak guna!"  jerit Encik Zulkarnain.  Lantang!  Stereng keretanya ditumbuk kuat.  Titisan peluh mula merenek di dahi.  Wajahnya pula mulai merah.  Tangan kanannya yang memegang kepala nampak bergetar.  Geram hatinya apabila memikirkan kejadian di rumah adiknya.  Bibir hitamnya diketap kuat.

            "Abang,  sabar bang!"  Puan Normah yang begitu terkejut dengan kelakuan suaminya bersuara.  Dia cuba menenangkan lelaki itu.  Kelajuan kereta yang semakin lama semakin laju menambahkan lagi rasa gerunnya.  Dia sedar suaminya berada dalam emosi yang tidak stabil ketika ini.  Pedal minyak di kakinya semakin kuat ditekan.  Tiada langsung tanda-tanda untuk memperlahankan kelajuan.

            "Berani Zalikha mengatakan abang tiada hak ke atas harta itu!"  katanya lagi.  Kali ini kelajuan kereta semakin kurang.

            "Betul tu.  Nor tidak sangka dia boleh berkata begitu,"  kata-kata lelaki itu disokong oleh isterinya.  Wanita itu lega,  apabila melihat Encik Zulkarnain mula bertenang walaupun kemarahannya masih lagi bersisa. Wajah tua suaminya di pandang sekilas samblil tersenyum sinis.

            Lagak Puan Normah tampak lain.  Dalam diam-diam,  dia sebenar mempunyai agenda untuk disuarakan kepada suaminya.


*****


           Di Kampung Alur Mutiara,  seorang gadis kurus tinggi sedang termenung di bawah rimbunan pokok rambutan yang sedang galak berbuah.  Hari itu hari sabtu.  Sabtu pertama setelah beberapa hari dia menjadi 'penduduk' di kampung itu.

           "Termenungkan siapa tu?"  satu suara menyapa di telinganya.  Darwisyah berpaling mencari arah suara itu.  'Nenek'.  Dia berbisik dalam hati.  Senyuman hambar dilemparkan.

           Nenek Leha berjalan menghampiri cucunya.  Perlahan dan penuh berhati-hati.  Darwisyah mengesot sedikit untuk memberi ruang untuk Nenek Leha melabuhkan punggung.  Wajah tua itu ditatap lembut.

           "Rindukan ayah dan mama ya?"  Nenek Leha bertanya lagi.  Kali ini wajah bujur sirih milik cucunya dipandang.

           "Mestilah Isya rindu,"  Darwisyah menjawab.  Wajahnya ditundukkan memandang hujung jari kakinya.    Tiba-tiba sahaja jiwanya terasa begitu sedih.

           Nenek Leha mengurut lembut belakang tubuh cucunya.  Dia faham perasaan Darwisyah.  Apatah lagi sedari kecil gadis itu langsung tidak pernah berenggang dengan kedua orang tuanya.  Melihat kesedihan cucunya,  dia turut dirundung perasaan yang sama.

           "Tak apa.  Mak tok ada,"  hanya itu yang mampu dibalas.

           "Mak tok…"  Darwisyah yang tampak sugul pada mulanya kini bersuara.  Sedikit bersemangat nadanya.

           "Boleh Isya tanya sesuatu?"  sambungnya kembali.  Daun kering ditangannya diracik-racik halus.  Hilang bentuknya.

           "Darwisyah ingin tanya tentang apa?"  pertanyaan Darwisyah dibalas dengan pertanyaan kembali oleh Nenek Leha sambil mata tuanya memandang sekilas ke arah kain jemuran di ampain yang berkibar-kibar dihembus semilir kampung yang nyaman.

           "Ayah dan mama ada sembunyikan sesuatu daripada Isya?"  lancar sahaja ayat yang keluar dari bibirnya.

           Tersentap nenek Leha!  Dalam diam,  rupanya Darwisyah mengatahui apa yang sedang bergolak ketika ini.  Tidak tahu bagaimana ingin menjawab soalan cucunya itu.  Seharusnya cucunya tidak terlibat sama,  tetapi oleh kerana dia adalah 'Darwisyah' perkara ini tidak mampu dielak.

           "Betulkah mak tok?"  dia bertanya lagi.

           "Kenapa Isya kata begitu?"  Nenek Leha cuba berbual lagi.

           "Bertahun Isya tinggal dengan ayah,  dengan mama di bandar sana.  Sejak kecil lagi.  Berenggang walaupun 1 hari pun tidak pernah,"  Darwisyah diam beberapa saat.  Nafas diambil dan menyambung kembali ayatnya,  "tiba-tiba sahaja,  ayah dan mama buat Isya begini.  Hantar Isya ke kampung dan tinggal bersama mak tok dan usu.  Bila Isya tanya kenapa,  ayah dan mama diam.  Ayah dan mama macam tak sayangkan Isya lagi."

           Nenek Leha mendengar luahan cucunya penuh kasihan.  Lagak cucunya seperti tidak selesa dengan semua ini,  apatah lagi gembira.

           "Isya dengan cakap mak tok.  Allah kurniakan zuriat kepada setiap pasangan suami isteri untuk di sayangi.  Setiap daripada zuriat yang dilahirkan adalah pembuka pintu rezeki kepada setiap keluarga.  Isya adalah zuriat ayah dan mama.  Isya adalah pembuka pintu rezeki mereka selama ini.  Untuk pengetahuan Isya juga,  mama sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menjaga,  mendidik Isya.  Mama tidak sanggup biarkan Isya membesar di telapak tangan orang lain,  bahkan ditangan mak tok sekali pun."

           Nenek Leha diam.  Suasana petang menjadi sunyi.  Suara unggas sesekali kedengaran.  Jeritan anak-anak kecil yang riang bermain bersama rakan-rakan lain menerjah pendengaran.  Sanubari Darwisyah beralun sayu mendengar bicara nenek Leha.

          "Isya nampak.  Betapa sayangnya mama terhadap Isya.  Ayah pula sanggup berkerja siang malam untuk mengukuhkan kehidupan ketika itu kerana mama dah berhenti kerja,  sehingga berdirinya syarikat Puncak Holding miliki ayah.  Itu semua untuk Isya."

         Bicara nenek Leha sudah terhenti.  Darwisyah mendongak mencari anak mata Nenek Leha.  Bebola mata Darwisyah seperti meminta kepastian tentang semua itu.  Nenek Leha yang mengerti,  mengangguk.  Rasa kesal di hatinya tiba-tiba bertandang.

         Deringan telefon di dalam rumah menyedarkan Darwisyah dan Nenek Leha.  Nenek Leha pantas menyarung selipar lusuh yang di tanggalkan dan berjalan ke muka pintu.  Tubuh Nenek Leha hilang dari pandangan dan deringan telefon yang nyaring sebentar tadi turut mati.

         Darwisyah temenung sebentar.  Kata-kata neneknya berlegar di fikiran.  'Ya Allah!  Jauhnya aku berfikir,'  bisiknya.

         Balam-balam senja mulai kelihatan.  Darwisyah mengutip kain jemuran di ampaian lalu berjalan masuk ke dalam rumah.


*****


         "Apa lagi yang dikatanya?"

         Saat Darwisyah ingin ke biliknya,  suara perbualan Nenek Leha dengan seseorang menyapa gegendang telinganya.  'Dengan siapa mak tok berbual?'  gerutunya di dalam hati.

         Seperti ada magnet yang menariknya untuk terus mendengar.  Telinga kirinya dilekapkan ke dinding kayu,  yang memisahkan tempat di mana Nenek Leha sedang berbual dan tempat dia berdiri.

         "Kamu yakin dia nekad inginkan dapatkan juga?"  soal Nenek Leha lagi.

         'Dapatkan apa?'  Darwisyah bertanya sendiri.  

Sayangnya perbualan pihak di sebelah sana tidak dapat di dengar oleh Darwisyah.  Dia juga tidak tahu siapa yang sedang menyahut pertanyaan Nenek Leha ketika ini.

          "Apa pula kata Zalikha?"  suara Nenek Leha kedengaran lagi.

          ‘Zalikha?  Itukan mama!’  getus Darwisyah,  ‘Pasti mak tok sedang bercakap dengan ayah.  Tetapi apa yang mereka bincangkan?  Siapa pula 'dia' yang di katakan oleh mak tok?’

          Krek!

          Bunyi lantai kayu yang dipijak seseorang menyentap tumpuan Darwisyah.  "Usu Roslan!"  Dia berbisik perlahan.  Darwisyah tahu Usu Roslan sudah pulang dari ladang.  Bimbang dirinya disindir,  dia cepat-cepat beredar menuju ke biliknya.  

          Pintu bilik ditutup cermat.  Dia mencapai tuala lalu melilitnya di leher.  Darwisyah yang pada mulanya ingin membersihkan diri kini sudah duduk di birai katil bujangnya.  Dia marah akan bapa saudaranya kerana menganggu tumpuan dia untuk mnedengar perbualan diantara Nenek Leha dan ayahnya, Encik Lokman.
         
        "Siapa tu mak?'

          Telinga Darwisyah di sapa oleh suara Usu Roslan.  Nenek Leha yang baru meletak gagang telefon mengurut dada.  Terperanjat dengan suara anaknya.

          "Kamu ni Roslan.  Cuba bagi salam dahulu!"  marahnya.  Usu Roslan hanya menyeringai.

          "Abang kamu,"  pendek jawapan yang diberikan.

          Sebaik sahaja mendengar nama abangnya,  Usu Roslan mengeluh.  Wajah nenek Leha dipandang lalu bertanya,  "apa pula masalah kali ni?"

           Usu Roslan bertanya lagi.  Darwisyah yang tekun memasang telinga di dalam bilik langsung tidak bergerak walaupun seinci.  Dia benar-benar ingin tahu isi bicara Nenek Leha dan ayahnya, Encik Lokman.  Beberapa saat menunggu,  suasana menjadi sunyi.  Tiada bunyi suara Usu Roslan dan nenek Leha.  ‘Mengapa diam?’  

Dia menyoal sendiri.

           "Beri sahaja barang tu kepada mereka mak,"  suara Usu Roslan memecah kesunyian.  Darwisyah tersentak.  Nada suara bapa saudaranya juga berubah.  Seperti marah.

           "Tidak boleh.  Itu bukan milik mereka."

           Nenek Leha pula bersuara.  ‘Apa yang sedang berlaku ni?  Barang apa yang dimaksudkan oleh Usu?’  Darwisyah berteka-teki.

            "Mak, selagi mereka tidak dapat barang yang mereka inginkan itu,  selagi itu mereka akan menganggu keluarga kita.  Lan sudah beritahu sejak dahulu lagi.  Jangan ambil!  Lihat.  Inilah yang terjadi.  Tidak mungkin abang Man tidak fikir baik buruk yang akan terjadi pada hari yang mendatang,"  keras suara itu.

        "Kamu perlu faham hukumnya Lan.  Bukankah mak sudah beritahu perkara sebenar sebelum ini."

         Diam.  Tiada balsan daripada Usu Roslan.

        "Sudah.  Waktu hampir senja.  Bersihkan diri.  Kita berjemaah sekali."

        Nenek Leha memberi arahan.  Tidak lama kemudian,  kedengaran pintu bilik Usu ditutup.  Darwisyah yang masih tertanya-tanya apa yang cuba di katakan oleh Nenek Leha dan Usu Roslan terperanjat apabila orang tua itu  melaung namanya untuk segera mandi.  Terkocoh-kocoh dia keluar!

       Sepanjang malam,  hatinya meronta-ronta ingin tahu apa sebenarnya rahsia yang cuba disorok oleh kedua ibu bapanya sehinggakan Usu Roslan dan Nenek Leha sedikit berselisih faham menjelang senja tadi.

Ahad, Julai 15

Lembayung Syurga Bab 4

BAB 4  


            Rumah-rumah agam di taman perumahan mewah itu kelihatan tenang.  Sesekali deruan beberapa buah kenderaan memecah kesunyian.  Rata-rata pemilik banglo mewah itu tiada di rumah ketika itu.  Mereka mungkin berada di pejabat atau pun tempat kerja.  Yang tinggal hanya pembantu rumah bersama tukang kebun dan pemandu.

           Sebuah banglo yang berukir tanda nama 'Teratak Iman' itu tidak terlalu sunyi seperti banglo-banglo lain.  Puan Zalikha sedang bertungkus-lumus menyediakan hidangan tengah hari.  Tidak seperti pemilik banglo di kawasan tersebut yang menyediakan khidmat pembantu rumah untuk memasak dan mengemas rumah,  Puan Zalikha selesa melakukan sendiri.  Encik Lokman pula berada di luar rumah.  Bekas makanan ikan dicapai lalu dilemparkan ke arah kolam ikannya.

           Setengah jam berlalu,  urusan memasak selesai.  Puan Zalikha segera naik ke atas dan membersihkan diri.  Dia dan suaminya akan dikunjungi oleh tetamu hari itu.  Semestinya dia dan Encik Lokman harus berada dalam keadaan yang selesa.

           "Abang!  Cukup-cukuplah bercakap dengan ikan tu.  Masuk dan bersihkan diri.  Sekejap lagi mereka akan sampai,"  Puan Zalikha menegur suaminya yang leka 'berbual' dengan ikan kesayangannya.  Begitulah rutian harian suami Puan Zalikha,  Encik Lokman.  Setiap hari,  dia akan meluangkan masa untuk berbual dengan ikannya,  walaupun hanya seminit.

           "Baiklah.  Kamu sudah habis masak Ika?"  tangannya di kibas-kibas untuk menghilangkan habuk makanan ikan yang melekat.

           "Sudah.  Hanya tunggu tetamu sahaja."

           Encik Lokman mula bergerak masuk ke dalam rumah.  Puan Zalikha yang sudah berpakaian kemas melabuhkan punggung di buaian berhampiran pintu masuk rumah itu.  Berkeriuk bunyinya.  Fikiran wanita bertubuh besar itu mulai merawang.  Bimbang apa yang akan terjadi nanti.  Dalam masa yang sama,  naluri keibuannya begitu rindukan anak gadisnya itu.  Lama Puan Zalikha termenung di situ.

           Bunyi hon di hadapan pintu pagar menghambat jauh lamunannya.  Bebola mata dihalakan ke pintu pagar.  'Sudah tiba!'  Bisik hatinya.  Puan Zalikha berlari masuk ke dalam rumah dan tidak lama kemudian,  pintu pagar elektrik sudah terbuka luas tanda menjemput masuk tetamu yang berkenderaan mewah itu.

           "Apa khabar Ika?  Lama tidak berjumpa,"  kakak ipar Puan Zalikha memeluknya kemas selepas bersalaman.

            "Alhamdulillah,  khabar baik kak long.  Kak long pula sihat?"

            "Macam inilah Ika."

           Isteri kepada abang sulungnya itu menjawab.  Kakak iparnya yang lebih selesa disapa kak long meleraikan pelukan.  Puan Zaliha tahu kak longnya tidak selesa.  Bukan sehari dua dia mengenali kakak iparnya itu.

            "Assalamualaikum.  Silakan masuk abang long,  kak long,"  Encik Lokman yang baru muncul menjemput masuk tetamu.  Ramah dan mesra layanannya.

            Encik Zulkarnain dan isterinya,  Puan Normah mengatur langkah.  Kini mereka sudah berada di ruang tamu banglo milik pasangan suami isteri itu.  Tangan Puan Normah yang sedari tadi asyik mengibas-ngibas leher mula diturunkan.  Bebola matanya pula meliar memandang ruang mewah tersebut. 

            Entah apa yang tidak kena dimatanya,  Puan Zalikha pun tidak mengerti.  Lebih kurang setengah jam bertanya khabar dan berbual,  tuan rumah iatu Puan Zalikha menjemput mereka untuk menjamu selera.  Hidangan sudah tersaji di atas meja makan.  Masakan kampung menjadi santapan merek berempat.  Berselera sekali,  terutama Encik Zulkarnain dan suaminya.  Lain pula dengan kakak iparnya,  Puan Normah.  Gayanya seperti tiada selera.  Hanya menguis-nguis nasi itu.  Sesekali dia menyuap ke mulut,  seperti terpaksa.

            "Abang long sudah lama sampai.  Tapi tak nampak pula kelibat Darwisyah,"  Encik Zulkarnain bersuara ketika sedang berehat setelah selesai menjamu selera.

            "Ya.  Kak long pun tidak nampak dia.  Rasa rindu pula,"  sambung isterinya pula sambil tersengih-sengih.

            Janggal sekali pendengaran Puan Zalikha.  Tidak pernah Puan Normah dan Encik Zulkarnain bertanyakan tentang anaknya selama ini.  Apatah lagi menyatakan rasa rindu akan gadis itu.  Begitu juga dengan kedatangan mereka hari ini.  Semenjak mereka menetap di taman perumahan ini,  inilah kali pertama keluarga abang sulungnya itu datang bertandang.

            "Darwisyah tiada di sini.  Maklumlah,  cuti sekolah 2 hari.  Mahu berjalan-jalan katanya."

            Encik Lokman menjawab.  Wajah gusar Puan Zalikha dijeling sekilas.  Anak mata mereka bersatu dan ada bicara di situ.

            "Abang long ada perkara yang nak diperkatakan."

            Suasana yang pada mulanya meriah dengan gelak tawa sesama saudara sudah bertukar serius.  Encik Zulkarnain menyatakan tujuan dia ke sini.  Puan Zalikha mulai gusar.  Tepat sekali tekaannya!

            Sebaik sahaja dia menerima panggilan telefon daripada abangnya beberapa minggu lepas yang menyatakan niat untuk datang menziarah,  Puan Zalikha sudah dapat mengesan sesuatu.  

            "Berkenaan harta arwah mak."

            Ya!  Itu tujuan sebenar mereka.  Bukannya untuk menziarah.  Puan Zalikha bertambah jelik apabila melihat kelakuan kakak iparnya.  Kepalanya diangguk-anggukkan tanda mengiakan kata-kata suaminya.  Persis burung belatuk.

            "Mengapa dengan harta arwah mak?"  kali ini Puan Zalikha pula bertanya.  Dia cuba menunujukkan bahawa dia tidak memahami apa yang dkatakan oleh abang kandungnya.

            "Bukankah semua harta peninggalan arwah mak ada pada kamu,  jadi abang long dan kak long datang ingin menuntut hak kami,"  Puan Normah pula bersuara.

            'Kami?  Siapa yang lebih berhak sebenarnya?  Bukankah abang long.  Mengapa pula kak long yang beria-ia menjawab?'  bisik hati Puan Zalikha sambil melihat melalui ekor mata.

            "Abang long..."  Puan Zalikha berhenti sejenak menarik nafas panjang sebelum kembali menyambung,  "Abang long tahukan,  itu semua wasiat arwah mak untuk dia."

           Usai sahaja Puan Zalikha berkata begitu,  wajah Encik Zulkarnain terus berubah.  Jika pada awalnya manis,  kini sudah pahit.  Jika sebentar tadi tersenyum,  kini mulai menyinga.

           "Tahu,"  suaranya mulai meninggi,  namun masih terkawal.  "Kamu ibunya,  kamu boleh lakukan."

           "Tapi itu bukan hak Ika lagi,"  balas PuanZalikha.  Pantas!

           "Atau kau sekeluarga mahu bolot semuanya?  Begitu?"

           Tergamam wanita itu.  Tidak percaya abangnya sanggup berkata begitu.  Encik Lokman yang sedari tadi menjadi pendengar mulai gelisah.  Dia dapat mengagak apa yang akan terjadi seterusnya.

           "Betul cakap Ika,  abang long.  Jika abang long menganggap bahawa kami ingin mebolot semuanya,  itu mustahil.  Kerana semua itu bukan atas nama kami berdua.  Kami tiada hak untuk itu semua."

           "Kalau kamu tiada hak,  serahkan sahaja kepada abang long,"  bidas Encik Zulkarnain.

           "Tidak boleh!"  ucap Puan Zalikha.

           "Mengapa tidak boleh?"  Encik Zulkarnain kembali menyoal.  Garang.

           "Abang long juga tiada hak,"  jawab Puan Zalikha.  Suaranya mulai bergetar.

           "Mengapa aku tiada hak?  Aku anak sulung.  Aku lebih berhak dari kau!  Dan sepatutnya harta itu jatuh ke tangan aku,  bukannya kau!"

           Encik Zulkarnain sudah hilang pertimbangan.  Hilang sudah gelaran 'abang long' dan 'Ika'.  Diganti dengan 'kau' dan 'aku'.  

‘Ya Allah!  Inikah peribadi sebenar abangku,’  bisiknya dalam hati.  Dalam masa yang sama,  abang dan kakak iparnya sudah bangun dari sofa empuk buatan luar negara itu.

               "Sudah!  Nor,  mari kita pulang!"  dia mengajak isterinya pulang.  Wanita yang berambut perang itu menurut arahan suaminya.  Langkah Encik Zulkarnain dituruti.  Dia juga sempat melemparkan jelingan tajam ke arah Puan Zalikha.  

               "Aku akan tuntut harta tu.  Ingat!"  itu kata-kata terakhir Encik Zulkarnain sebelum hilang dibalik pintu kereta BMW 5series miliknya.  Berdegam bunyi pintu kereta itu apabila ditutup dengan kuat.

               Encik Lokman dan Puan Zalikha yang menghantar mereka dimuka pintu menjadi pegun.  Terkejut dengan situasti yang berlaku.  Encik Lokman tampak lebih tenang berbanding Puan Zalikha.

               "Ika tak sangka abang long boleh bersikap begitu dengan Ika,"  adu Puan Zalikha setelah lama mereka diam.

               "Orang tengah marah.  Macam-macam boleh jadi Ika.  Lama-lama nanti redalah marah dia.  Tak perlulah awak sedih begini."

                Pujuk Encik Lomkman.  Wajah isterinya ditatap penuh kasih sayang.  Sedikit-sebanyak dia turut terasa dengan kelakuan abang iparnya.

               "Ika tidak rasa begitu.  Abang dengarkan tadi,  abang long sempat kata yang dia akan tuntut harta tu.  Dia ugut kita bang!"  selarnya lagi.  Nadanya mulai sendu.

               'Ya!  Abang dengar Ika.  Sangat jelas.'  Balas Encik Lokman.  Tetapi tidak terluah dek kata-kata.  

               "Abang long seorang yang keras hati.  Dia boleh bertindak di luar jangkaan.  Apatah lagi jika ada yang menghasut."

               Encik Lokman tahu.  Kata-kata terakhir itu ditujukan kepada kakak iparnya sendiri,  Puan Normah.  Encik Lokman juga seperti isterinya,  sudah kenal luar dan dalam hati wanita yang bernama Normah itu.

              Wajah Darwisyah mula tergambar di fikiran Puan Zalikha.  Kebimbangan tentang keselamatan anaknya semakin menggunung selepas menerima kata-kata berupa ugutan daripada abangnya.  

             Mereka berjalan perlahan  masuk ke rumah. ‘Ya Allah,  kau lindungilah keluargaku dari sebarang perkara buruk!’