Pengikut

Jumlah Paparan Halaman

my day....

Daisypath Happy Birthday tickers

Sabtu, Ogos 18

Lembayung Syurga Bab 8

Bab 8


“Jodoh itu di tangan Allah mak.  Mak pasti tahu bukan,  Allah ta’ala sudah berfirman bahawa ketika mana kita berusia 4 bulan di dalam rahim ibu kita, sudah ditetapkan kepada kita 3 perkara iaitu persoalan ajal maut,rezeki dan akhir sekali jodoh.”

“Betu kata kamu  Lan.  Tapi kamu perlu ingat juga,  manusia wajib berikhtiar mencari dan memilihnya.  Jangan serah bulat-bulat kepada Allah s.w.t.”

Nenek Leha membalas kata-kata anak bongsunya itu.  Dia yang duduk bersila di lantai kayu mengengsot sedikit menghampiri dinding.  Kaki kanannya yang mulai lenguh dilunjur ke hadapan.  Bukan niatnya menidakkan gada’ dan qadar-Nya,  tetapi sebagai hamba-Nya yang beriman seseorang itu perlu berusaha.

“Ataupun kamu masih teringat peristiwa lama?”  selar Nenek Leha.  Usu Roslan sedikit terkejut dengan pertanyaan ibunya itu.

“Jika sudah sampai jodoh Lan,  Lan terima mak.  Manusia dicipta oleh penciptaNya ada jiwa.  Ada perasaan.  Insyaallah,  suatu hari nanti Allah akan campakkan perasaan cinta itu dalam diri Lan,  maka nikahlah Lan dengan pasangan yang ditentukan olehNya.”

Nenek Leha diam.  Tidak mampu lagi membalasnya.  Usu Roslan seorang anak yang bijak.  Sifat pendiamnya itu yang membuatkan kebijakannya sedikit tersorok.  Siapa pun tidak akan percaya jika dikatakan bahawa dia adalah bekas graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang binaan dari salah sebuah pusat pengajian tinggi di Malaysia.  Tetapi itulah realitinya.

Berseluar jeans lusuh,  berbaju t-shirt yang sudah terpalit dengan sedikit kotoran,  dipadankan pula dengan baju kemeja besar berlengan panjang diluar tanpa butang dan topi besar dikepala.  Ditangannya pula kekal memegang sebatang kayu seperti ranting yang panjangnya sehasta sambil menghalau pergi lembu-lembu yang jinak. 

Mata-mata luar hanya melihatnya sebagai seorang pengembala lembu yang tiada kelulusan yang tinggi dan berasal daripada kampung.  Bagi mereka,  hanya yang gagal dalam pelajaran layak berkerja sebegitu.

Rakan-rakannya pernah menyoalnya,  mengapa dia melibatkan diri dalam pekerjaan yang tidak setaraf dengan kelulusannya?  Apa guna belajar hingga ke menara gading jika ini pekerjaan yang dipilihnya?

Usu Roslan menjawab dengan tenang. 

“Aku tidak memandang setaraf atau tidak sesuatu pekerjaan itu dengan kelulusanku.  Apa yang aku cari adalah rezeki halal untuk aku dan keluargaku.  Biarlah jika aku terpaksa berendam di dalam lumpur,  ataupun perlu menahan terik mentari di atas kepala.  Apa yang aku cari adalah rezeki yang diberkati.  Bagiku,  pekerjaanku ini langsung tiada salahnya,  waima sekecil kuman.  Bahkan aku gembira.  Berkerja sendiri memberi aku ruang dan peluang untukku.  Ruang untukku menunaikan kewajipanku sebagai hamba Allah pada bila-bila masa sahaja.  Tiada sekatan atau aturan yang perlu aku patuhi.”

Rakannya itu betul-betul terpukul dengan kenyataan daripada Usu Roslan.

Perbualan anak-beranak itu terhenti apabila lungan salam dari luar rumah menyapa deria pendengaran.  Usu Roslan mengintai dari ruang jendela.

“Aniq!  Jemputlah masuk,”  Usu Roslan menjemput selepas menjawab salam daripada anak sepupunya.

“Terima kasih usu.  Aniq ada hal dengan Darwisyah sebenarnya.  Dia minta Aniq tunjuk ajarnya dalam tugasan sekolah.  Darwisyah ada?”

Mendengar ayat terakhir yang keluar dari mulut Danish Aniq,  Usu Roslan terdiam. 

“Ada.  Nanti nenek panggilkan.”

Nenek Leha menjawab bagi pihak Usu Roslan apabila tiada balasan.  Nenek Leha cuba bangun daru duduknya dan berjalan perlahan ke bilik Darwisyah.

Tidak lama kemudian,  Darwisyah keluar dari bilik.  Tunduk sahaja wajahnya.  Semestinya takut akan bapa saudaranya itu.  Dia sudah siap bertudung.  Beberapa biji buku dipeluk erat di dada.

“Isya pergi ya mak tok.”

“Ya.  Hati-hati,”  pesan wanita tua itu.

Mereka berdua menyusur lorong kampung itu.  Damai sekali.  Sekali-sekala mereka berselisih dengan sekumpulan kanak-kanak yang girang berbasikal.  Bagi yang mengenali Danish Aniq,  mereka akan menyapanya dengan panggilan ‘Abang Aniq’.

“Di mana tempat yang kita akan duduk?” Darwisyah yang mulai letih bersuara.  Dia hanya mengikut langkah Danish Aniq.

“Kau ikut saja.  Sudah tidak jauh tempatnya,”  Danish Aniq menjawab pertanyaan saudaranya.

“Aku sudah penat!”

“Lembiklah kau ni!”  usik Danish Aniq.

Darwisyah yang ketika itu cuba mengawal rasa penatnya terus membulatkan matanya.  Rasa geram bermukin di hati.  Bibirnya diketam kuat tanda marah.  Tangannya mencekak pinggang.

“Apa kau kata?”  dia bersuara.  Garang dan geram bercampur rasa menjadi satu.

Tetapi lain pula tindak balas Danish Aniq.  Dia tiba-tiba ketawa.

“Maaf.  Aku hanya bergurau tadi.  Baru berjalan sedikit sudah letih.  Bagaimana nanti jika ada sukan di sekolah kita.  Entah-entah kau sudah pengsan di atas trek.”

Danish Aniq memohon maaf kepda Darwisyah,  namun dihujung-hunjung ayatnya dia masih lagi mengusik Darwisyah.  Darwisyah menjeling tajam dan kembali mengatur langkah.

Hampir 5 minit berjalan kaki,  Danish Aniq memakukan langkahnya.  Darwisyah hanya menurut. 

“Kita sudah sampai.  Mari kita duduk di meja sana.”

Ajaknya.  Darwisyah kini berada di sebuah kawasan yang permandangannya seperti di sebuah kebun buah-buahan.  ‘Ya!  Benar sekali,’  getus hati Darwisyah.

Matanya kini menangkap beberapa baris pokok pisang.  Kelihatan setandan pisang sudah mula terhasil di pokok-pokok tersebut.  Ada yang masih hijau putik,  ada yang hampir kekuningan dan ada yang sudah menguning terang. 

Kalau ikutkan hatinya,  ingin sahaja dia bertanya Danish Aniq tentang pemilik kebun pisang ini.  Namun dia menolak tepi tentang perkara  itu apabila teringatkan tujuan utama mereka. 

Selepas seminggu bersekolah di situ,  Darwisyah semakin selesa dengan Danish Aniq.  Dia tidak lagi benci akan lelaki itu seperti hari pertamanya ke sekolah.  Danish Aniq sudah dianggapnya sebagai abang,  apatah lagi perbezaan umur mereka yang jaraknya hanya 2 tahun.

Dia mendapat tahu bahawa Danish Aniq merupakan antara pelajar cemerlang di sekolah.  Oleh itu,  dia mengambil peluang itu untuk memohon tunjuk ajar daripada Danish Aniq dari segi pelajaran.  Alhamdulillah.  Danish Aniq tidak menolak malahan sering bertanya Darwisyah jikalau dia punyai masaalah dalam memahami sesuatu fakta atau formula. 

PRAK!

Ketika Darwisyah sedang mengemas buku-bukunya,  telinganya menangkap satu bunyi dari arah belakang.  Dia perpaling dengan cepat.  Kelihatan seorang wanita yang sebaya dengan ibunya berjalan menuju ke arah mereka.

“Itu mak aku.  Sepupu ayah kau.”

Darwisyah sudah dapat jawapannya.  Ibu Danish Aniq rupanya.  Dia yang duduk berhadapan dengan Darwisyah tersenyum.  Darwisyah sedikit musykil,  bagaimana ibu Danish Aniq boleh berada di situ?

“Ini kebun mak aku.  Kau nampak pondok kecil di sana.  Mak aku berteduh di situ sambil menyisir daun pisang untuk dijual sejak kita tiba lagi.  Kau tahu bukan,  tidak manis jika lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan tanpa orang ketiga walaupun kita bersaudara.”

‘Ya Allah!  Mengapa aku tidak terfikir langsung tentang hal ini.  Mujur adanya Aniq.’ 

Darwisyah beristighfar di dalam hati.

Dia menyalami ibu Danish Aniq.  Rupa-rupanya ibu Danish Aniq yang di panggil Mak Embun sudah mengenali Darwisyah.  Hanya dia yang belum mengenali wanita itu.  Mereka berbual lama sebelum Darwisyah memohon diri untuk pulang.  Danish Aniq menghantar Darwisya pulang.

Di celah-celah juntaian ranting pokok dan lalang-lalang halus,  satu susuk tubuh sedang menyeluruti langkah kaki mereka tanpa mereka sedar.


*****

Munira menggaru-garu kasar kulit badannya.  Bintik-bintik kecil mula kelihatan di seluruh badannya.  Kulit gebunya mulai kemerah-merahan.  Peluh halus mulai terbit di wajahnya.  Ditambah pula dengan keadaan yang agak panas.  Putaran kipas angin di atas kepalanya tidak dapat menghilangkan bahang yang dirasainya.

“Apa kena badan aku ni!  Gatal-gatal pula!”  rungutnya sendiri.

Punat telefon bimbit ditangannya tidak henti-henti di tekan dengan jari runcingnya lalu ditekapnya ke telinga.  Hampa!  Panggilan tidak dapat ditembus.  Dia mengulanginya sehingga pedih jarinya.

“Aduh!  Tiada line pula!  Ini lecehnya bila tinggal di kampung sebegini!”  dia melempar kuat telefon itu di atas bantalnya.

“Sudahlah telefon gagal buat panggilan luar kawasan,  hantar e-mel pun tidak balas!  Dia inginkan aku hantar surat agaknya!”

Munira kian berang.  Sudah beberapa hari keadaan berlarutan seperti ini.  Dia merasakan seperti dia sudah terpisah dengan dunia luar.  Dia menyumpah seorang diri.  Lama-kelamaan Munira tertidur bersama tanpa sedar.


Rabu, Ogos 8

Novel sulung cik chubby dah terbit dan dipasarkan!! Alhamdulillah...syukur Ya Alllah..



Alhamdulillah...tiada kata lain yang terucap dalam hati selain kata syukur bila mendapat e-mail dari pihak penerbit bersama satu folder. Terbuka saja folder yang di kirim, cik chubby tersenyum lega dan melurut tapak tangan di muka bersama ucapan alhamdulillah yang berulang-ulang lafaznya. Alhamdulillah, cover novel cik chubby dah siap dan kata pihak penerbit akan dpasarkan dalam masa trdekat(tarikh cover dterima pada 27 julai 2012). hampir 20 hari, hari ni cik chubby dapat brta yang novel cik chubby dah berada di psaran. sekali lagi cik chubby terdia. terkesima! macam tak percaya!

tadaaaaaaa...!!!!!


SUPER HAIDAMA! 


novel tarbiah untuk awal remaja. pengisian yang penuh dngan ilmu, penggunaan tatabahasa berpandukan bahasa melayu tinggi(sangat mencabar bila perlu menggunakan tatabahasa mengikut standart dewan bahasa dan pustaka), teknik2 sains yang baru dan menarik. syukur alhamdulillah..terima kasih buat warga kerja Galeri Ilmu Sdn.Bhd di atas penerimaan manuskrip ini. walaupun beberapa kali dikritik dan diulang edit hmpir stahun..akhirnya, manuskrip ini diterima untuk dibukukan. terima kasih jugak buat sepupu yang terlalu banyak membantu dalam menghasilkan karya ini, Puan Nurushamshi Saidin(Nurulsham Saidin-Dingin Salju Indiana)..jasa kak tak terbalas...hanya Allah yang dapat membalasnya. terima kasih jugak buat sahabat2 yang memberi nasihat dan sokongan terutama dikala cik chubby frust tertonggeng sebab manuskrip kena edit kemabali..buat abang apit..tq..bnyak support adik..abang jat..tq jugak bnyak bgi drongan...kakak, walupun x bnyak bicara n tak pernah bertanya tentang bidang adik..adik tau kakak brminat nak tau..tq jugak sbb mmahami..dan paling penting..tq buat abah n mak sebab restu bidang yang adik ceburi ni..(mereka tak tahu kwujudan blog ini...dan mreka tak tahu kata2 ni smua cik chubby luahkan di sini shaja) walaupun pulangannya mungkin tak berapa 'ramai' macam bidang pkrjaan lain..tapi kepuasan dan mnat itu lebih penting, disulami dengan keikhlasan untuk melakukan sesutu perkara....semoga apa yang cik chubby lakarkan dalam karya di atas dpt mmberi manfaat kpada pmbaca. doakan karya cik chubby dterima msyarakat...dan doakan juga cik chubby mampu meneruskan bidang penulisan ini dngan brjaya dan sabar.

terima kasih buat semua yang mendoakan!

p/s : nama pena cik chubby adalah Qisha Nur'ain...sngaja tak nak gunakan nama sbnar..biarlah krya cik chubby yang ppular..cik chubby x selesa nama cik chubby popular dri karya..huhuhu...!!



Lembayung Syurga Bab 10

Bab 10

Guni putih yang berisi rumput hijau segar sebesar pemeluk orang dewasa dicapai lalu dibawa ke kandang haiwan ternakannya. Dia kemudian membahagikan rumput-rumput tersebut kepada beberapa bahagian. Kandang yang asalnya kosong tanpa makanan kembali terisi. Dia terasa puas apabila melihat lembu-lembunya dapat menikmati rumput segar yang baru diperoleh dari pembekal.
“Hai, rajin kau sekarang…”
Usu Roslan berpaling laju. Dia yang asyik memerhati ruang kandangnya yang berbumbungkan atap zink sedikit tersentak.
“Tugas aku Mail, tanggungjawab aku…” dia membalas malas.
Mail, seorang penganggur kampung yang semakin lama semakin liar kelakuannya. Satu demi satu masalah yang diciptanya. Satu kampung kenanya. Emaknya, Mak Som. Tukang jahit kampung yang handal menjahit baju tradisional.
“Makin maju kau kan sekarang ya…” ujar Mail lagi.
Dia bersandar di tiang kayu kandang lembu Usu Roslan. Sesekali lengannya disondol oleh lembu yang sedang enak memakan rumput segar.
“Semua orang ingin maju dalam dunia ini Mail. Nak berjaya, ingin hidup senang. Kau tu? Sampai bila akan begini?”
Wajah Mail yang kusut masai dipandang. Usu Roslan dan Mail sudah lama kenal. Mereka sebaya yang pernah berada di dalam satu kelas yang sama ketika zaman sekolah. Mail dahulunya seorang yang bijak. Dia antara pelajar harapan sekolah.
Namun, satu peristiwa telah meragut kelebihan dia. Dia mula terumbang-ambing sebelum terjerumus ke gaung hitam.
“Mak aku pun tak pernah bertanya, kau pula yang sibuk tanya, kenapa?” balas Mail kembali. Dia terpukul dengan kata-kata Usu Roslan.
Juraian rumput yang tergantung di bibirnya diluah, lalu mengangkat kaki beredar dari situ. Mail menjeling tajam wajah Usu Roslan. Sakit hatinya! Dia yang singgah dengan tujuan untuk menyakitkan hati Usu Roslan, alih-alih dia yang disakitkan.
Usu Roslan tidak membalas. Dia menggelengkan kepalanya. Sudah kerap dia melalui perkara sebegini. Lagi-lagi orang itu adalah Mail. Sebesar zarah pun, dia tidak terasa. Bahkan hati kecilnya menitip doa agar sahabatnya itu cepat-cepat berubah.
Derap tapak kaki menyapa hujung telinganya. ‘Siapa yang datang?’ Usu Roslan berpaling ke belakang. Kelihatan Nenek Leha sedang berjalan ke arahnya sambil menjinjing mangkuk tingkat di tangan.
“Apa pula yang dibualkan Mail tadi?” Nenek Leha bersuara.
Wanita tua itu sempat melihat kelibat anak muda itu sebelum hilang di balik pohon-pohon kayu tinggi di tepi lorong besar. Bekas berisi makanan tengah hari yang di bawa untuk anak bongsunya itu diletak di atas meja yang sememangnya sudah tersedia di situ.
“Entahlah mak. Lan pun tidak faham dengan si Mail ni. Ada saja yang ingin digaduhnya. Kalau tersalah orang, pasti bertumbuk dek mulut celupar dia tu.”
Jawab Usu Roslan. Bicaranya tenang sahaja. Tiada langsung nada marah atau terasa hati dengan kata-kata Mail itu.
“Berhadapan dengan orang yang sikap seperti Mail tu perlu nilai kesabaran yang tinggi Lan. Tanamkan rasa tenang. Jangan mudah melatah dengan kata-kata orang. Itu sudah cukup untuk perolehi pahala. Lagi bagus kalau kita bagi nasihat atau kata-kata semangat,” Nenek Leha bersuara kembali.
“Lan faham mak. Pengalaman lalu sudah cukup buat Lan bertahan dan sabar. Kalau Lan tak tahan dan kurang sabar...”
Butir bicaranya terhenti. Nenek Leha menatap wajah Usu Roslan. Kelihatan Usu Roslan meliarkan pandangannya ke seluruh kandang lembu miliknya sambil tersenyum nipis. Pandangan Nenek Leha dibalasnya. Penuh kasih sayang.
“Mak bersyukur ada anak seperti Lan. Kuat semangat. Insyaallah Lan. Apa yang kita lakukan dengan hati ikhlas, niat yang betul, Allah akan restu. Asalkan ia tidak salah di sisiNya.”
“Insyaallah mak. Mudah-mudahan.”
Dua beranak itu tersenyum lebar. Indahnya kurniaan yang diberi oleh-Nya dihargai dengan baik. Mereka sedar itu anugerah untuk penghuni alam. Sebagai ‘penumpang’, mereka harus laluinya sebelum tiba ke ‘destinasi’ terakhir nanti.
“Kenapa mak datang sini? Lan boleh balik makan di rumah saja.”
“Saja. Lagi pun, mak Sudah lama tidak melawat mereka semua. Pasti mereka rindukan mak sepanjang mak tidak ada...”
Nenek Leha berseloroh dihujung bicaranya. Dalam masa yang sama Usu Roslan sudah menjamu selera dengan lauk yang dibawa oleh Nenek Leha dari rumah. Berselera dia!
“Cucu mak?”
“Kenapa dengan Darwisyah?”
Suapan Usu Roslan semakin perlahan. Sisa-sisa nasi dikuis dengan jari. Pertanyaan Nenek Leha dibiarkan sepi dibawa angin lalu hilang di udara.
“Pulang dari sekolah, tengok mak tok kesayangan dia tiada, menangis pula nanti,” pertanyaan Nenek Leha berbalas juga.
Mengamati cara Usu Roslan menjawab, kedengaran dia bimbang jika Darwisyah pulang, kemudian melihat tiada sesiapa di rumah dan takut akhirnya menangis. Persis mengambil berat lagaknya. Itu jika ditafsir secara kasar.
Tetapi, jika disirat disebaliknya, apakah Usu Roslan sedang menyindir Darwisyah? Atau pun benar ia lahir dari hatinya? Hati Nenek Leha sebenarnya berbolak-balik tentang perkara ini.
“Mak sebenar kasihan dengan dia. Sampai bilalah abang kamu nak sorokkan perkara ini dari anak itu...”
Nenek Leha menghela nafas. Semenjak Darwisyah bertanya tentang perkara yang disorokkan tempoh hari, hatinya mula gundah.
“Anak buah kamu ada tanya mak, kenapa tiba-tiba saja dia dihantar untuk bersekolah di sini,” sambung Nenek Leha.
“Apa mak cakap?” soal Usu Roslan.
“Mak hanya mampu yakinkan dia bahawa abang kamu nak cari rezeki untuk masa depan dia.”
Usu Roslan sudah bangun menuju ke sinki untuk mencuci tangan. Nenek Leha menuang air ke dalam gelas buat Usu Roslan. Jejaka itu kembali tidak lama kemudian. Melirik ke anak mata Usu Roslan, kelihatan dia seperti tidak suka dengan jawapan Nenek Leha. Dahinya sedikit berkerut.
“Kenapa susah sangat abang nak berterus-terang dengan Darwisyah tentang perkara sebenar?”
Usu Roslan begitu hairan dengan sikap Encik Lokamn. Baginya, untuk menamatkan ‘drama’ ini, beritahu sahaja perkara sebenar. Pasti segalanya akan selesai dengan baik.
“Kamu ni Lan, cuba fikir jauh sedikit. Perkara ni besar. Benda membabitkan ramai orang. Kamu bukan tidak tahu masalah baru yang ditimbulkan abang kakak ipar kamu tu. Darwisyah tu belum cukup umur. Kalau beritahu perkara sebenar saat ini, lagi susah keluarga kita. Ia berkaitan dengan amanah orang. Kamu faham tu!”
Nenek Leha begitu tersinggung dengan pertanyaan Usu Roslan. Usu Roslan seperti ingin mengambil jalan pintas untuk menyelesaikan perkara ini tanpa memikirkan kesan yang akan diterima. Dengan hati yang penuh kecewa, Nenek Leha mengangkat kaki beredar dari situ.
Sekali lagi, hati Nenek Leha terguris dengan bicara Usu Roslan...

Jumaat, Ogos 3

Lembayung Syurga Bab 9

BAB 9

‘Usu pernah bertunangkah?  Atau pernah berkahwin?’
Darwisyah berteka-teki sendiri.  Dia terdengar perbualan Nenek Leha dan Usu Roslan kelmarin ketika sedang menunggu Danish Aniq tiba.  Pada mulanya ia hanya perbualan biasa sahaja yang berkisar tentang jodoh.  Langsung tidak menarik minat Darwisyah untuk mendengar dengan teliti.  Tetapi satu ayat yang keluar dari mulut Nenek Leha menggamit perasaan ingin tahu dalam diri Darwisyah.
“Aniq,  boleh aku tanya kau satu soalan?”
“Tanyalah,”  balas Danish Aniq.  Ketika itu mereka sedang berjalan menuju ke sekolah.
“Usu pernah berkahwinkah sebelum ini?”  lancar soalan yang ditanya oleh Darwisyah.  Danish Aniq tampak sedikit terkejut.
“Mengapa kau tanya soalan sebegini kepadaku?”
“Sebab aku tahu kau mesti ada jawapannya!”  bidasnya cepat.
“Apa yang menyebabkan kau yakin aku ada jawapan untuk soalan kau?”
“Sebab kau lebih rapat dengan usu,”  Darwisyah memulangkan kata kepada soalan saudaranya itu.
“Tapi kau anak saudaranya.”
“Tapi usu seperti menganggap aku bukan anak saudaranya.  Dia seperti tidak sukakan aku!”  keras suara Darwisyah.  Tegas!
Danish Aniq membisu.  Entah kenapa sudut hatinya agak terusik dengan kata-kata Darwisyah yang berbaur luahan hati.
“Kau sudah tanya Nenek Leha tentang usu?”
Darwisyah menggeleng laju.  Ruang matanya kelihatan berkaca. Rasa sebak mula bertapak di ruang hatinya.
“Aku rasa lebih baik kau tanya Nenek Leha sahaja.  Dia lebih tahu segalanya,”  itu yang dibalas oleh Danish Aniq.  Kemudian dia menyambung lagi.
“Aku orang luar.  Tidak elok untuk bercerita hal yang aku sendiri tidak pasti benar atau sebaliknya.  Walau silap satu perkataan,  berdosa di mata Allah.  Sekiranya aku tertinggal atau menambah satu perkataan yang tidak benar,  aku sudah di kira memfitnah.  Kau tahu fitnah itu lebih buruk daripada membunuh bukan?”
“Aku bingung dengan keadaan sekarang,”  kata Darwisyah,  melankolis.
“Apa sebenarnya masalah kau?”  Danish Aniq cuba berbual.  Jarak sekolahnya semakin hampir.  Sesekali langkah mereka berdua dipintas oleh rakan-rakan lain yang juga ingin ke sekolah.
Mereka sudah mengetahui bahawa Darwisyah dan Danish Aniq bersaudara.  Mereka tidak hairan apabila melihat mereka berjalan bersama ke sekolah.
Lama Danish Aniq menunggu lontaran suara daripada Darwisyah.  Tetapi dia hanya diam.  Pandangannya terus ke hadapan.
“Aku tidak memaksa kau untuk bercerita kepadaku tentang apa masalah kau.  Terserah kepada kau sendiri samada mahu atau tidak.  Tapi tidak elok jika terlalu memendam.  Aku sudah anggap kau seperti adik aku.  Aku lapang dada jika kau sudi bercerita kepadaku.”
Mereka sudah melepasi pintu gerbang sekolah.  Sebelum berpisah arah,  Darwisyah menjerit kecil ke arah Danish Aniq.
“Di dunia ini masih adakah  abang yang sudi menadah telinga mendengar cerita sedih daripada seorang yang bergelar adik yang dibenci oleh saudara sendiri?”
“0.001 peratus, jika tiada.  Yang pasti aku bukan di antaranya.  Aku pendengar yang baik!”
Pertanyaan Darwisyah dibalas oleh Danish Aniq.  Mereka tersenyum dan membawa haluan sendiri.

*****

“Tiba-tiba sahaja mama dan ayah aku beritahu yang aku akan bersekolah di sini,”  adu Darwisyah.  Sayu.
“Sampai tamat tingkatan 5?”
“Aku tidak pasti.”
“Tidak pasti?”  balas Danish Aniq kembali.
“Ya.  Bila aku tanya sampai bila aku harus bersekolah di sini,  mama dan ayah aku hanya diam.  Tetapi mereka ada mengatakan bahawa tidak lama.  Aku tidak tahu ‘tidak lama’ bagi mereka itu selama mana.”
Masing-masing kembali diam.  Darwisyah akhirnya menceritakan apa yang sedang bermain di benaknya kepada Danish Aniq.
“Kau tidak gembira tinggal di sini?”  Danish Aniq cuba menduga.
“Susah untuk aku katakan.”
“Mengapa?”
Pertanyaan Danish Aniq tidak di balas oleh Darwisyah.  Dia seperti hilang kata.  Perlahan sahaja langkah kakinya.  Terik matahari yang menyegat seperti tidak memberi kesan kepada mereka berdua.  Tudung sekolahnya berkibar-kibar disapa bayu.
“Aku dapat rasakan bahawa mama dan ayah aku sembunyikan sesuatu daripada pengetahuan aku.”
Putusnya.  Tegas sekali!  Danish Aniq pantas berpaling melihat wajah bujur Darwisyah.  Pipi mulus gadis itu sudah merah dipanah bahang mentari.
“Apa?”  kata Danish Aniq dengan nada terkejut.
“Aku dapat rasakan bahawa mama dan ayah aku sembunyikan sesuatu daripada pengetahuan aku.  Aku pasti.  Aku pernah terdengar mama dan mak tok berbual tentang perkara ini.  Baru-baru ni juga,  ayah aku hubungi mak tok dan ada sesuatu sedang berlaku di rumah sana,”  Darwisyah bercerita panjang lebar.
“Kau tahu apa yang mereka sembunyikan?”
Darwisyah hanya menggeleng.  Buku di tangan dipeluk erat. 
“Ini yang mebuatkan air mata kau menitis ketika kali pertama aku menegur kau?”  teka Danish Aniq.
“Ya.  Bukan itu sahaja.  Aku sedih akan nasibku yang dibenci oleh bapa saudara sendiri,”  ujarnya.  Suaranya mulai tersekat. 
“Kau tidak boleh beranggapan begitu.  Mungkin Usu Roslan ada sebab mengapa dia bersikap begitu.  Tidak mungkin dia benci kau,”  Danish Aniq berbicara.
“Sedari kecil lagi Aniq.  Sedari kecil lagi Usu selalu marah-marah aku.  Kalau bukan marah pun,  dia mesti menyindir aku.  Bukankah benci namanya?”
Darwisyah menyoal.  Danish Aniq yang setia mendengar tersenyum kecil lalu berkata,  “terlalu cepat kau buat andaian sebenarnya.”
“Ini bukan andaian Aniq.  Ini apa yang aku rasa selama ni,”  dia menjawab cepat kata-kata yang diluahkan oleh Danish Aniq.
“Bagaimana jika apa yang kau ‘rasa’ itu salah?”
“Erk...”  Darwisyah tidak mampu membalas.
Seorang mukmin tidak boleh menuduh saudaranya tanpa bukti yang kuat.  Jika rasa yang cuba kau katakan itu salah,  itu sudah di kira menuduh.  Kau tahu,  dosa menuduh orang lain yang tidak bersalah lebih berat dari gunung yang tinggi.  Seeloknya kau siasat terlebih dahulu sebelum mengatakan ia betul atau salah.  Negara pun ada undang-undang yang perlu kita patuhi,  apatah lagi agama.”
Darwisyah terdiam.  Terpukul dengan kata-kata Danish Aniq.  Wajahnya ditundukkan.
“Sebenarnya aku sangat bingung dengan apa yang sedang berlaku sekarang.  Aku tidak tahu apa punca semua ini, yang membuatkan aku tercampak ke kampung ni.”
Suasana yang hening bebarapa saat kembali bersuara apabila Darwisyah berbicara.  Sauranya sayu.  Riak-riak kecewa terkesan di situ.
“Mungkin ini semua untuk kebaikan kau.”
“Kebaikan?  Apa maksud kau?”
Darwisyah yang tidak mengerti apa yang dikatakan oleh Danish Aniq bertanya lagi.
“Ya.  Mungkin ibu bapa kau mahukan kau hidup lebih berdikari.  Di sana,  kau punyai segala-galanya.  Kemewahan,  kesenangan dan sebagainya.  Seperti sekarang.  Aku pasti kau akan diambil oleh mama kau,  bukan berjalan pulang seperti ini atau menaiki bas sekolah.  Betul?”
Gadis itu memandang wajah Danish Aniq penuh hairan.  Dahinya berkerut.
“Mana kau tahu?”
“Kau kan anak manja!”
Bidas Danish Aniq.  Nakal!
Menyedari dirinya dimainkan,  laju sahaja dia menghayun beberapa buah buku teks tebal di tangannya.  Bahu Danish Aniq menjadi sasaran.
“Aduh!”
Suara mengaduh terluah dari mulut Danish Aniq.  Dia mengurut-ngurut kasar bahunya.  Kebas!
“Tak habis-habis nak kenakan aku!”  Wajahnya mulai masam.
“Aku minta maaf.  Aku bergurau tadi.”
Danish Aniq menarik nafas panjang sebelum menghembus kembali.
“Kau tertekan dengan situasi sekarang?”  soalnya.  Tenang.
“Sedikit.”
Pendek jawapan yang diberi oleh Darwisyah.
“Janganlah terlalu fikir perkara yang tidak elok.  Cuba ambilnya sebagai perkara yang positif. Aku pasti fikiran kau akan lebih terganggu bila kau banyak memikirkan keburukan daripada kebaikan. Percayalah!” ujar Danish Aniq.