Pengikut

Jumlah Paparan Halaman

my day....

Daisypath Happy Birthday tickers

Sabtu, Ogos 18

Lembayung Syurga Bab 8

Bab 8


“Jodoh itu di tangan Allah mak.  Mak pasti tahu bukan,  Allah ta’ala sudah berfirman bahawa ketika mana kita berusia 4 bulan di dalam rahim ibu kita, sudah ditetapkan kepada kita 3 perkara iaitu persoalan ajal maut,rezeki dan akhir sekali jodoh.”

“Betu kata kamu  Lan.  Tapi kamu perlu ingat juga,  manusia wajib berikhtiar mencari dan memilihnya.  Jangan serah bulat-bulat kepada Allah s.w.t.”

Nenek Leha membalas kata-kata anak bongsunya itu.  Dia yang duduk bersila di lantai kayu mengengsot sedikit menghampiri dinding.  Kaki kanannya yang mulai lenguh dilunjur ke hadapan.  Bukan niatnya menidakkan gada’ dan qadar-Nya,  tetapi sebagai hamba-Nya yang beriman seseorang itu perlu berusaha.

“Ataupun kamu masih teringat peristiwa lama?”  selar Nenek Leha.  Usu Roslan sedikit terkejut dengan pertanyaan ibunya itu.

“Jika sudah sampai jodoh Lan,  Lan terima mak.  Manusia dicipta oleh penciptaNya ada jiwa.  Ada perasaan.  Insyaallah,  suatu hari nanti Allah akan campakkan perasaan cinta itu dalam diri Lan,  maka nikahlah Lan dengan pasangan yang ditentukan olehNya.”

Nenek Leha diam.  Tidak mampu lagi membalasnya.  Usu Roslan seorang anak yang bijak.  Sifat pendiamnya itu yang membuatkan kebijakannya sedikit tersorok.  Siapa pun tidak akan percaya jika dikatakan bahawa dia adalah bekas graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang binaan dari salah sebuah pusat pengajian tinggi di Malaysia.  Tetapi itulah realitinya.

Berseluar jeans lusuh,  berbaju t-shirt yang sudah terpalit dengan sedikit kotoran,  dipadankan pula dengan baju kemeja besar berlengan panjang diluar tanpa butang dan topi besar dikepala.  Ditangannya pula kekal memegang sebatang kayu seperti ranting yang panjangnya sehasta sambil menghalau pergi lembu-lembu yang jinak. 

Mata-mata luar hanya melihatnya sebagai seorang pengembala lembu yang tiada kelulusan yang tinggi dan berasal daripada kampung.  Bagi mereka,  hanya yang gagal dalam pelajaran layak berkerja sebegitu.

Rakan-rakannya pernah menyoalnya,  mengapa dia melibatkan diri dalam pekerjaan yang tidak setaraf dengan kelulusannya?  Apa guna belajar hingga ke menara gading jika ini pekerjaan yang dipilihnya?

Usu Roslan menjawab dengan tenang. 

“Aku tidak memandang setaraf atau tidak sesuatu pekerjaan itu dengan kelulusanku.  Apa yang aku cari adalah rezeki halal untuk aku dan keluargaku.  Biarlah jika aku terpaksa berendam di dalam lumpur,  ataupun perlu menahan terik mentari di atas kepala.  Apa yang aku cari adalah rezeki yang diberkati.  Bagiku,  pekerjaanku ini langsung tiada salahnya,  waima sekecil kuman.  Bahkan aku gembira.  Berkerja sendiri memberi aku ruang dan peluang untukku.  Ruang untukku menunaikan kewajipanku sebagai hamba Allah pada bila-bila masa sahaja.  Tiada sekatan atau aturan yang perlu aku patuhi.”

Rakannya itu betul-betul terpukul dengan kenyataan daripada Usu Roslan.

Perbualan anak-beranak itu terhenti apabila lungan salam dari luar rumah menyapa deria pendengaran.  Usu Roslan mengintai dari ruang jendela.

“Aniq!  Jemputlah masuk,”  Usu Roslan menjemput selepas menjawab salam daripada anak sepupunya.

“Terima kasih usu.  Aniq ada hal dengan Darwisyah sebenarnya.  Dia minta Aniq tunjuk ajarnya dalam tugasan sekolah.  Darwisyah ada?”

Mendengar ayat terakhir yang keluar dari mulut Danish Aniq,  Usu Roslan terdiam. 

“Ada.  Nanti nenek panggilkan.”

Nenek Leha menjawab bagi pihak Usu Roslan apabila tiada balasan.  Nenek Leha cuba bangun daru duduknya dan berjalan perlahan ke bilik Darwisyah.

Tidak lama kemudian,  Darwisyah keluar dari bilik.  Tunduk sahaja wajahnya.  Semestinya takut akan bapa saudaranya itu.  Dia sudah siap bertudung.  Beberapa biji buku dipeluk erat di dada.

“Isya pergi ya mak tok.”

“Ya.  Hati-hati,”  pesan wanita tua itu.

Mereka berdua menyusur lorong kampung itu.  Damai sekali.  Sekali-sekala mereka berselisih dengan sekumpulan kanak-kanak yang girang berbasikal.  Bagi yang mengenali Danish Aniq,  mereka akan menyapanya dengan panggilan ‘Abang Aniq’.

“Di mana tempat yang kita akan duduk?” Darwisyah yang mulai letih bersuara.  Dia hanya mengikut langkah Danish Aniq.

“Kau ikut saja.  Sudah tidak jauh tempatnya,”  Danish Aniq menjawab pertanyaan saudaranya.

“Aku sudah penat!”

“Lembiklah kau ni!”  usik Danish Aniq.

Darwisyah yang ketika itu cuba mengawal rasa penatnya terus membulatkan matanya.  Rasa geram bermukin di hati.  Bibirnya diketam kuat tanda marah.  Tangannya mencekak pinggang.

“Apa kau kata?”  dia bersuara.  Garang dan geram bercampur rasa menjadi satu.

Tetapi lain pula tindak balas Danish Aniq.  Dia tiba-tiba ketawa.

“Maaf.  Aku hanya bergurau tadi.  Baru berjalan sedikit sudah letih.  Bagaimana nanti jika ada sukan di sekolah kita.  Entah-entah kau sudah pengsan di atas trek.”

Danish Aniq memohon maaf kepda Darwisyah,  namun dihujung-hunjung ayatnya dia masih lagi mengusik Darwisyah.  Darwisyah menjeling tajam dan kembali mengatur langkah.

Hampir 5 minit berjalan kaki,  Danish Aniq memakukan langkahnya.  Darwisyah hanya menurut. 

“Kita sudah sampai.  Mari kita duduk di meja sana.”

Ajaknya.  Darwisyah kini berada di sebuah kawasan yang permandangannya seperti di sebuah kebun buah-buahan.  ‘Ya!  Benar sekali,’  getus hati Darwisyah.

Matanya kini menangkap beberapa baris pokok pisang.  Kelihatan setandan pisang sudah mula terhasil di pokok-pokok tersebut.  Ada yang masih hijau putik,  ada yang hampir kekuningan dan ada yang sudah menguning terang. 

Kalau ikutkan hatinya,  ingin sahaja dia bertanya Danish Aniq tentang pemilik kebun pisang ini.  Namun dia menolak tepi tentang perkara  itu apabila teringatkan tujuan utama mereka. 

Selepas seminggu bersekolah di situ,  Darwisyah semakin selesa dengan Danish Aniq.  Dia tidak lagi benci akan lelaki itu seperti hari pertamanya ke sekolah.  Danish Aniq sudah dianggapnya sebagai abang,  apatah lagi perbezaan umur mereka yang jaraknya hanya 2 tahun.

Dia mendapat tahu bahawa Danish Aniq merupakan antara pelajar cemerlang di sekolah.  Oleh itu,  dia mengambil peluang itu untuk memohon tunjuk ajar daripada Danish Aniq dari segi pelajaran.  Alhamdulillah.  Danish Aniq tidak menolak malahan sering bertanya Darwisyah jikalau dia punyai masaalah dalam memahami sesuatu fakta atau formula. 

PRAK!

Ketika Darwisyah sedang mengemas buku-bukunya,  telinganya menangkap satu bunyi dari arah belakang.  Dia perpaling dengan cepat.  Kelihatan seorang wanita yang sebaya dengan ibunya berjalan menuju ke arah mereka.

“Itu mak aku.  Sepupu ayah kau.”

Darwisyah sudah dapat jawapannya.  Ibu Danish Aniq rupanya.  Dia yang duduk berhadapan dengan Darwisyah tersenyum.  Darwisyah sedikit musykil,  bagaimana ibu Danish Aniq boleh berada di situ?

“Ini kebun mak aku.  Kau nampak pondok kecil di sana.  Mak aku berteduh di situ sambil menyisir daun pisang untuk dijual sejak kita tiba lagi.  Kau tahu bukan,  tidak manis jika lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan tanpa orang ketiga walaupun kita bersaudara.”

‘Ya Allah!  Mengapa aku tidak terfikir langsung tentang hal ini.  Mujur adanya Aniq.’ 

Darwisyah beristighfar di dalam hati.

Dia menyalami ibu Danish Aniq.  Rupa-rupanya ibu Danish Aniq yang di panggil Mak Embun sudah mengenali Darwisyah.  Hanya dia yang belum mengenali wanita itu.  Mereka berbual lama sebelum Darwisyah memohon diri untuk pulang.  Danish Aniq menghantar Darwisya pulang.

Di celah-celah juntaian ranting pokok dan lalang-lalang halus,  satu susuk tubuh sedang menyeluruti langkah kaki mereka tanpa mereka sedar.


*****

Munira menggaru-garu kasar kulit badannya.  Bintik-bintik kecil mula kelihatan di seluruh badannya.  Kulit gebunya mulai kemerah-merahan.  Peluh halus mulai terbit di wajahnya.  Ditambah pula dengan keadaan yang agak panas.  Putaran kipas angin di atas kepalanya tidak dapat menghilangkan bahang yang dirasainya.

“Apa kena badan aku ni!  Gatal-gatal pula!”  rungutnya sendiri.

Punat telefon bimbit ditangannya tidak henti-henti di tekan dengan jari runcingnya lalu ditekapnya ke telinga.  Hampa!  Panggilan tidak dapat ditembus.  Dia mengulanginya sehingga pedih jarinya.

“Aduh!  Tiada line pula!  Ini lecehnya bila tinggal di kampung sebegini!”  dia melempar kuat telefon itu di atas bantalnya.

“Sudahlah telefon gagal buat panggilan luar kawasan,  hantar e-mel pun tidak balas!  Dia inginkan aku hantar surat agaknya!”

Munira kian berang.  Sudah beberapa hari keadaan berlarutan seperti ini.  Dia merasakan seperti dia sudah terpisah dengan dunia luar.  Dia menyumpah seorang diri.  Lama-kelamaan Munira tertidur bersama tanpa sedar.


Tiada ulasan: