Pengikut

Jumlah Paparan Halaman

my day....

Daisypath Happy Birthday tickers

Isnin, Julai 16

Lembayung Syurga Bab 5

BAB 5  


            " Tak guna!"  jerit Encik Zulkarnain.  Lantang!  Stereng keretanya ditumbuk kuat.  Titisan peluh mula merenek di dahi.  Wajahnya pula mulai merah.  Tangan kanannya yang memegang kepala nampak bergetar.  Geram hatinya apabila memikirkan kejadian di rumah adiknya.  Bibir hitamnya diketap kuat.

            "Abang,  sabar bang!"  Puan Normah yang begitu terkejut dengan kelakuan suaminya bersuara.  Dia cuba menenangkan lelaki itu.  Kelajuan kereta yang semakin lama semakin laju menambahkan lagi rasa gerunnya.  Dia sedar suaminya berada dalam emosi yang tidak stabil ketika ini.  Pedal minyak di kakinya semakin kuat ditekan.  Tiada langsung tanda-tanda untuk memperlahankan kelajuan.

            "Berani Zalikha mengatakan abang tiada hak ke atas harta itu!"  katanya lagi.  Kali ini kelajuan kereta semakin kurang.

            "Betul tu.  Nor tidak sangka dia boleh berkata begitu,"  kata-kata lelaki itu disokong oleh isterinya.  Wanita itu lega,  apabila melihat Encik Zulkarnain mula bertenang walaupun kemarahannya masih lagi bersisa. Wajah tua suaminya di pandang sekilas samblil tersenyum sinis.

            Lagak Puan Normah tampak lain.  Dalam diam-diam,  dia sebenar mempunyai agenda untuk disuarakan kepada suaminya.


*****


           Di Kampung Alur Mutiara,  seorang gadis kurus tinggi sedang termenung di bawah rimbunan pokok rambutan yang sedang galak berbuah.  Hari itu hari sabtu.  Sabtu pertama setelah beberapa hari dia menjadi 'penduduk' di kampung itu.

           "Termenungkan siapa tu?"  satu suara menyapa di telinganya.  Darwisyah berpaling mencari arah suara itu.  'Nenek'.  Dia berbisik dalam hati.  Senyuman hambar dilemparkan.

           Nenek Leha berjalan menghampiri cucunya.  Perlahan dan penuh berhati-hati.  Darwisyah mengesot sedikit untuk memberi ruang untuk Nenek Leha melabuhkan punggung.  Wajah tua itu ditatap lembut.

           "Rindukan ayah dan mama ya?"  Nenek Leha bertanya lagi.  Kali ini wajah bujur sirih milik cucunya dipandang.

           "Mestilah Isya rindu,"  Darwisyah menjawab.  Wajahnya ditundukkan memandang hujung jari kakinya.    Tiba-tiba sahaja jiwanya terasa begitu sedih.

           Nenek Leha mengurut lembut belakang tubuh cucunya.  Dia faham perasaan Darwisyah.  Apatah lagi sedari kecil gadis itu langsung tidak pernah berenggang dengan kedua orang tuanya.  Melihat kesedihan cucunya,  dia turut dirundung perasaan yang sama.

           "Tak apa.  Mak tok ada,"  hanya itu yang mampu dibalas.

           "Mak tok…"  Darwisyah yang tampak sugul pada mulanya kini bersuara.  Sedikit bersemangat nadanya.

           "Boleh Isya tanya sesuatu?"  sambungnya kembali.  Daun kering ditangannya diracik-racik halus.  Hilang bentuknya.

           "Darwisyah ingin tanya tentang apa?"  pertanyaan Darwisyah dibalas dengan pertanyaan kembali oleh Nenek Leha sambil mata tuanya memandang sekilas ke arah kain jemuran di ampain yang berkibar-kibar dihembus semilir kampung yang nyaman.

           "Ayah dan mama ada sembunyikan sesuatu daripada Isya?"  lancar sahaja ayat yang keluar dari bibirnya.

           Tersentap nenek Leha!  Dalam diam,  rupanya Darwisyah mengatahui apa yang sedang bergolak ketika ini.  Tidak tahu bagaimana ingin menjawab soalan cucunya itu.  Seharusnya cucunya tidak terlibat sama,  tetapi oleh kerana dia adalah 'Darwisyah' perkara ini tidak mampu dielak.

           "Betulkah mak tok?"  dia bertanya lagi.

           "Kenapa Isya kata begitu?"  Nenek Leha cuba berbual lagi.

           "Bertahun Isya tinggal dengan ayah,  dengan mama di bandar sana.  Sejak kecil lagi.  Berenggang walaupun 1 hari pun tidak pernah,"  Darwisyah diam beberapa saat.  Nafas diambil dan menyambung kembali ayatnya,  "tiba-tiba sahaja,  ayah dan mama buat Isya begini.  Hantar Isya ke kampung dan tinggal bersama mak tok dan usu.  Bila Isya tanya kenapa,  ayah dan mama diam.  Ayah dan mama macam tak sayangkan Isya lagi."

           Nenek Leha mendengar luahan cucunya penuh kasihan.  Lagak cucunya seperti tidak selesa dengan semua ini,  apatah lagi gembira.

           "Isya dengan cakap mak tok.  Allah kurniakan zuriat kepada setiap pasangan suami isteri untuk di sayangi.  Setiap daripada zuriat yang dilahirkan adalah pembuka pintu rezeki kepada setiap keluarga.  Isya adalah zuriat ayah dan mama.  Isya adalah pembuka pintu rezeki mereka selama ini.  Untuk pengetahuan Isya juga,  mama sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menjaga,  mendidik Isya.  Mama tidak sanggup biarkan Isya membesar di telapak tangan orang lain,  bahkan ditangan mak tok sekali pun."

           Nenek Leha diam.  Suasana petang menjadi sunyi.  Suara unggas sesekali kedengaran.  Jeritan anak-anak kecil yang riang bermain bersama rakan-rakan lain menerjah pendengaran.  Sanubari Darwisyah beralun sayu mendengar bicara nenek Leha.

          "Isya nampak.  Betapa sayangnya mama terhadap Isya.  Ayah pula sanggup berkerja siang malam untuk mengukuhkan kehidupan ketika itu kerana mama dah berhenti kerja,  sehingga berdirinya syarikat Puncak Holding miliki ayah.  Itu semua untuk Isya."

         Bicara nenek Leha sudah terhenti.  Darwisyah mendongak mencari anak mata Nenek Leha.  Bebola mata Darwisyah seperti meminta kepastian tentang semua itu.  Nenek Leha yang mengerti,  mengangguk.  Rasa kesal di hatinya tiba-tiba bertandang.

         Deringan telefon di dalam rumah menyedarkan Darwisyah dan Nenek Leha.  Nenek Leha pantas menyarung selipar lusuh yang di tanggalkan dan berjalan ke muka pintu.  Tubuh Nenek Leha hilang dari pandangan dan deringan telefon yang nyaring sebentar tadi turut mati.

         Darwisyah temenung sebentar.  Kata-kata neneknya berlegar di fikiran.  'Ya Allah!  Jauhnya aku berfikir,'  bisiknya.

         Balam-balam senja mulai kelihatan.  Darwisyah mengutip kain jemuran di ampaian lalu berjalan masuk ke dalam rumah.


*****


         "Apa lagi yang dikatanya?"

         Saat Darwisyah ingin ke biliknya,  suara perbualan Nenek Leha dengan seseorang menyapa gegendang telinganya.  'Dengan siapa mak tok berbual?'  gerutunya di dalam hati.

         Seperti ada magnet yang menariknya untuk terus mendengar.  Telinga kirinya dilekapkan ke dinding kayu,  yang memisahkan tempat di mana Nenek Leha sedang berbual dan tempat dia berdiri.

         "Kamu yakin dia nekad inginkan dapatkan juga?"  soal Nenek Leha lagi.

         'Dapatkan apa?'  Darwisyah bertanya sendiri.  

Sayangnya perbualan pihak di sebelah sana tidak dapat di dengar oleh Darwisyah.  Dia juga tidak tahu siapa yang sedang menyahut pertanyaan Nenek Leha ketika ini.

          "Apa pula kata Zalikha?"  suara Nenek Leha kedengaran lagi.

          ‘Zalikha?  Itukan mama!’  getus Darwisyah,  ‘Pasti mak tok sedang bercakap dengan ayah.  Tetapi apa yang mereka bincangkan?  Siapa pula 'dia' yang di katakan oleh mak tok?’

          Krek!

          Bunyi lantai kayu yang dipijak seseorang menyentap tumpuan Darwisyah.  "Usu Roslan!"  Dia berbisik perlahan.  Darwisyah tahu Usu Roslan sudah pulang dari ladang.  Bimbang dirinya disindir,  dia cepat-cepat beredar menuju ke biliknya.  

          Pintu bilik ditutup cermat.  Dia mencapai tuala lalu melilitnya di leher.  Darwisyah yang pada mulanya ingin membersihkan diri kini sudah duduk di birai katil bujangnya.  Dia marah akan bapa saudaranya kerana menganggu tumpuan dia untuk mnedengar perbualan diantara Nenek Leha dan ayahnya, Encik Lokman.
         
        "Siapa tu mak?'

          Telinga Darwisyah di sapa oleh suara Usu Roslan.  Nenek Leha yang baru meletak gagang telefon mengurut dada.  Terperanjat dengan suara anaknya.

          "Kamu ni Roslan.  Cuba bagi salam dahulu!"  marahnya.  Usu Roslan hanya menyeringai.

          "Abang kamu,"  pendek jawapan yang diberikan.

          Sebaik sahaja mendengar nama abangnya,  Usu Roslan mengeluh.  Wajah nenek Leha dipandang lalu bertanya,  "apa pula masalah kali ni?"

           Usu Roslan bertanya lagi.  Darwisyah yang tekun memasang telinga di dalam bilik langsung tidak bergerak walaupun seinci.  Dia benar-benar ingin tahu isi bicara Nenek Leha dan ayahnya, Encik Lokman.  Beberapa saat menunggu,  suasana menjadi sunyi.  Tiada bunyi suara Usu Roslan dan nenek Leha.  ‘Mengapa diam?’  

Dia menyoal sendiri.

           "Beri sahaja barang tu kepada mereka mak,"  suara Usu Roslan memecah kesunyian.  Darwisyah tersentak.  Nada suara bapa saudaranya juga berubah.  Seperti marah.

           "Tidak boleh.  Itu bukan milik mereka."

           Nenek Leha pula bersuara.  ‘Apa yang sedang berlaku ni?  Barang apa yang dimaksudkan oleh Usu?’  Darwisyah berteka-teki.

            "Mak, selagi mereka tidak dapat barang yang mereka inginkan itu,  selagi itu mereka akan menganggu keluarga kita.  Lan sudah beritahu sejak dahulu lagi.  Jangan ambil!  Lihat.  Inilah yang terjadi.  Tidak mungkin abang Man tidak fikir baik buruk yang akan terjadi pada hari yang mendatang,"  keras suara itu.

        "Kamu perlu faham hukumnya Lan.  Bukankah mak sudah beritahu perkara sebenar sebelum ini."

         Diam.  Tiada balsan daripada Usu Roslan.

        "Sudah.  Waktu hampir senja.  Bersihkan diri.  Kita berjemaah sekali."

        Nenek Leha memberi arahan.  Tidak lama kemudian,  kedengaran pintu bilik Usu ditutup.  Darwisyah yang masih tertanya-tanya apa yang cuba di katakan oleh Nenek Leha dan Usu Roslan terperanjat apabila orang tua itu  melaung namanya untuk segera mandi.  Terkocoh-kocoh dia keluar!

       Sepanjang malam,  hatinya meronta-ronta ingin tahu apa sebenarnya rahsia yang cuba disorok oleh kedua ibu bapanya sehinggakan Usu Roslan dan Nenek Leha sedikit berselisih faham menjelang senja tadi.

Tiada ulasan: