Pengikut

Jumlah Paparan Halaman

my day....

Daisypath Happy Birthday tickers

Khamis, Julai 26

Lembanyung Syurga Bab 7

BAB 7


Sebuah kereta Honda City hitam berhenti di hadapan Mak Embun.  Mak Embun,  ibu kepada Danish Aniq cuba mengecilkan matanya dengan harapan dapat melihat siapa di dalam kereta tersebut.  Tetapi ianya tidak berhasil.  Malahan Mak Embun berasa sedikit pening.  Namun ia hanya beberapa saat sahaja.

“Assalamualaikum!”

Gadis tinggi lampai yang keluar dari tempat duduk pemandu melaungkan salam.  Tinggi.  Baju kurung merah hati yang dipakainya dipadankan bersama tudung rona merah jambu menyerlahkan warna kulitnya yang putih gebu.  Manis sekali!  Dia melangkah menghampiri Mak Embun yang ketika itu sedang bersandar di buaian besi di halaman rumah.

“Waalaikumussalam!”  Mak Embun menjawab salam.  Huluran tangan si gadis disambut.  Tangan kasarnya dicium tanda hormat.  Mak Embun terpegun dengan sikapnya.

“Mak cik,  boleh tumpang tanya?”  si gadis tinggi lampai bersuara.

“Anak mahu tanya apa?”  memandangkan Mak Embun tidak tahu nama gadis itu,  Mak Embun memanggilnya dengan panggilan ‘anak’.  Wajah putih bersih itu tidak lepas-lepas dipandang.

“Saya Munira.  Saya hendak cari rumah atau bilik sewa di kawasan ini.  Mak cik tahu di mana ada rumah atau bilik yang boleh di sewa?”  terangnya.

“Oh!  Jika begitu,  Munira sewa sahaja rumah mak cik.  Kebetulan mak cik memang punyai rumah kosong untuk di sewa.  Mahu?”  usul  Mak Embun kepada gadis yang bernama Munira itu.

“Munira terima mak cik.  Syukur sangat.  Lagi pun,  Munira memang perlukan rumah atau bilik kosong segera.” 

Munira mengukir senyuman lebar.  Lega hatinya apabila tempat untuk berteduh dari panas dan hujan sudah ditemui.

“Munira tunggu sebentar.  Mak cik masuk ambil kunci rumah.”

Munira mengangguk.  Senyumannya tidak putus sehinggalah batang tubuh Mak Embun hilang di balik dinding rumah batu itu.

Fuhh!

Munira menghembus nafas.  Keras.  Halaman rumah yang luas di pandang sekilas.  Mukanya berkerut.  Bibirnya yang merah merekah tampak bergerak-gerak.  Seperti mengomel sesuatu.  Cuaca panas menimbulkan rasa kurang selesa pada dirinya.  Sesekali kakinya dihentak-hentak,  cuba mengusir rasa geli apabila rumput renek halus menyucuk-nyucuk tumit kakinya.

“Mari mak cik tunjukkan rumah,”

Mendengar sahaja suara Mak Embun,  Munira berusaha mengukir senyuman.

“Tidak jauh.  Itu rumahnya!” Mata bulat Munira mencari arah yang ditunjukkan.

Sebuah rumah batu.  Bersaiz sederhana.  Kelihatan bersih dan dijaga rapi.  Munira mengikut langkah kaki Mak Embun.  Sesekali dia ingin terjatuh apabila badannya tidak mampu dikawal.  Beberapa tapak,  akhirnya mereka tiba.

Mak Embun membuka pintu itu dengan menggunakan kunci di tangannya.  Pintu tersebut di buka luas.  Kosong!  Munira tiba-tiba berasa cuak.  Namun dia cuba mengawal wajahnya supaya tidak dikesan oleh Mak Embun.

“Rumah ini kosong.  Tidak ada perabot dan barang-barang lain.  Tetapi ada air dan elektrik.  Rumah ini memang dibina dengan tujuan untuk disewa.  Bagaimana?  Munira selesa?”  bicara Mak Embun panjang lebar.  Mak Embun sememangnya seorang yang peramah.

“Boleh mak cik.  Tentang perabot dan perkakas lain,  Munira akan beli yang mana perlu.  Sudah jumpa rumah untuk disewa pun sudah memadai bagi Munira mak cik.  Terima kasih mak cik.”

Munira cuba berbual mesra.  Rasa lenguh pipinya akibat terlalu banyak senyum.

“Panggil sahaja Mak Embun.  Boleh Mak Embun tanya Munira sesuatu?”

Munira mengangguk laju.

“Rasanya Mak Embun tak pernah nampak Munira di kawasan sini.  Munira bukan orang sini ya?”

“Betul tu Mak Embun.  Munira dari Kuala Lumpur,”  balasnya.

“Oh!  Munira buat apa di kampung ini?”  soalnya lagi belum puas.

“Munira seorang guru.  Baru ditukarkan ke sekolah di bandar sana.  Munira sudah cuba cari rumah sewa di sana.  Tidak ada.  Munira selesa tinggal dalam suasana kampung.  Di bandar sana,  mana ada kampung seperti ini.”

Mak Embun mulai faham.  Mereka berbual seketika sebelum Mak Embun kembali ke rumahnya.

Sementara itu,  Munira yang sedang melihat setiap sudut rumah itu merasa sangat geram.  Hatinya menyumpah-nyumpah sesorang.  Sesekali terkeluar perkataan dari mulutnya. 

‘Bagaimana aku ingin tidur malam ini?  Tilam pun tiada.  Apatah lagi katil.’


Dia merungut geram dalam hati.  Malam itu,  dia menyusur keluar ke pekan dan pulang keesokkan harinya.


Tiada ulasan: