Pengikut

Jumlah Paparan Halaman

my day....

Daisypath Happy Birthday tickers

Sabtu, Jun 16

Lembayung Syurga bab 1

BAB 1


           Hari minggu kini tiba. Pasti seronok dapat bergolek-golek atas tilam empuk, bangun kemudian keluar bergembira dengan kawan-kawan. Tetapi itu semua hanya bayangan Darwisyah.  Dia sekarang berada didalam kereta yang bergerak perlahan menuju ke kampung halaman ayahnya, Encik Lokman.

           "Ayah,  Isya tak mahu tinggal di sana la..."  wajah tenang bapanya yang sedang memandu di pandang melalui cermin pandang belakang.  Encik Lokman membalas pandangan anaknya kembali.  Puan Zalikha di sebelah hanya membisu.  Dia bingung.  Tidak tahu bagaimana lagi untuk membuatkan Darwisyah berhenti berkata begitu.

          Ketika mendapat tahu bahawa dia akan dihantar bersekolah di kampung, mahu sahaja dia menjerit kuat dan menyatakan bahawa dia tidak setuju. 

         "Isya perlu tinggal di sana buat sementara waktu.  Isya tidak boleh berada di sini buat masa sekarang,"  kata Encik Lokman kembali.

         "Tapi kenapa ayah?  Isya nak tahu kenapa Isya perlu tinggal di sana setelah bertahun-tahun Isya dengan ayah dan mama?"

         Suara halus Darwisyah bergema di dalam kenderan sederhana besar itu.  Hatinya belum puas selagi bapanya tidak menjawab pertanyaannya.  Setiap kali dia bertanya soalan yang sama,  Encik Lokman tidak pernah memberikan jawapan.  Hanya diam.  Itulah yang selalu terjadi.

         "Isya tidak perlu tahu kenapa." 

         Kali ini Puan Zalikha menjawab bagi pihak suaminya.  Sebak dadanya apabila mendengar suara Darwisyah yang tidak putus-putus bertanya tentang perkara ini.  Bukannya dia tidak mengerti perasaan Darwisyah ketika ini,  tetapi kerana kisah silam  Puan Zalikha terpaksa.  Hak milik Darwisyah perlu dijaga.

         Darwisyah kecewa apabila mendengar kata-kata dari bibir Puan Zalikha.  Darwisyah sememang rapat dengan Puan Zalikha berbanding Encik Lokman.  Puan Zalikha juga tidak pernah berahsia dengan Darwisyah dalam segala hal.  Kepada Puan Zalikhalah tempat dia bercerita suka dan duka hidupnya. 

         "Mama dan ayah tidak sayangkan Isyakah?"  Suara Darwisyah kedengaran sayu.  Kolam matanya mulai penuh.  Kabur pandangan matanya.  Sudut kecil hatinya begitu tersentuh dengan keadaan ini.

         Encik Lokman menarik nafas panjang sebelum menghembusnya kembali lalu berkata,  "Darwisyah,  kamu anak ayah dan mama.  Satu-satunya amanah Allah untuk ayah dan mama.  Tidak mungkin kami berdua tidak menyayangi Isya."

        "Ayah tipu!  Kalau begitu,  mengapa ayah dan mama buat begini terhadap Isya?"

        Selar Darwisyah sebaik sahaja Encik Lokman menghabiskan ayatnya.  Pipi mulusnya sudah basah dek air mata.  Turun laju tanpa henti.  Teresak-esak.  Tekanan di dada seperti menghimpit kotak suaranya.  Payah sekali untuk di keluarkan.

        "Ini semua untuk kepentingan Isya,"  kata Puan Zalikha.  Dia memandang terus di hadapan.  Tidak berdaya rasanya untuk menatap wajah pilu anak gadisnya.  Dia menahan sebak di dada yang hampir pecah.  Puan Zalikha tahu Darwisyah sudah menangis ketika ini.  Dia tidak mahu terheret sama di dalam emosi tersebut kerana ini akan menyebabkan perasaan tidak ingin berpisah dengan Darwisyah akan semakin menebal.

        "Apa kepentingan Isya tu mama,  ayah?  Cuba beritahu Isya,  perkara apa yang begitu penting sehinggakan mama dan ayah sanggup hantar Isya ke kampung?"  Darwisyah menyoal kembali.  Esakkannya semakin kuat.  Kulit putihnya sudah kemerah-merahan menahan sakit di jiwa.

        "Bagi Isya,  dalam hidup ini tiada yang lebih penting melainkan mama dan ayah.  Hanya itu kepentingan Isya ayah,  mama!"  luahnya lagi bersama tangisan yang penuh hiba.

         Usai sahaja Darwisyah berkata begitu,  dia menyembamkan wajahnya ke bantal kecil bersaiz empat segi yang berada di sebelahnya.  Esak tangisnya tenggelam di bantal biru itu.  Darwisyah tidak dapat menerima nasib dirinya ketika itu.  Prasangka bahawa Encik Lokman dan Puan Zalikha tidak mengasihinya lagi bermain di kotak fikirannya.

         Encik Lokman berpaling ke belakang melihat reaksi anaknya sebelum kembali memberi tumpuan terhadap pemanduan.  Riak simpati terpancar di wajahnya.  Bebola matanya menceritakan kekeliruan yang sedang di alami.  Demi hak Darwisyah,  dia perlu melakukannya.  Kekecewaan Darwisyah ketika ini tidak boleh di ambil kira.

         Encik Lokman langsung tidak menyangka perkara ini akan berlaku.  Bertahun-tahun ia terjadi,  tiada siapa yang mempedulikannya.  Bukan dia yang minta semua itu.  Perkara itu di luar kawalannya.  Sambil memandang ke hadapan,  Encik Lokman mengurut lembut dahinya.  

          "Tidak lama.  Setelah semuanya selesai,  Isya boleh pulang ke rumah kita semula,"  pujuk ibunya pula,  Puan Zalikha.  Dia menoleh ke belakang memandang Darwisyah yang sudah berbaring di tempat duduknya.  Puan Zalikha tahu Darwisyah tidak lelap.  Dengar apa yang diungkapnya.

           "Berapa lama?  Sebulan? dua bulan?"  Darwisyah membalas bicara Puan Zalikha.

           Diam.  Tiada balasan.  Darwisyah yang menanti terus terasa hati.  Puan Zalikha memandang suaminya melalui ekor mata.  Mengharap Encik Lokman menjawab bagi pihaknya.  Namun,  dia juga membisu.  Mulutnya bagaikan terkunci.  

           Perjalanan diteruskan.  Suasana kembali sunyi.  Hanya kedengaran celoteh penyampai radio yang terpasang.  Darwisyah kini tenggelam dalam emosinya.  Puan Zalikha melemparkan pandangan nun jauh ke luar.  Mata bundarnya berair.  


*****


           Kereta milik Encik Lokman menyusuri lorong kecil itu.  Kampung Alur Mutiara.  Itu nama yang terpapar di pintu masuk menghala ke kampung itu.  Unik namanya!  Nama Alur Mutiara di ambil daripada sebuah sungai yang terdapat di kampung itu.  Alur sungai tersebut akan bercahaya setiap kali panahan terik matahari mengenai permukaannya dan cetusan cahaya bergemerlapan akan terpancar.  Serakan bias-bias cahaya itu persis mutiara apabila di lihat.  Dari peristiwa itulah,  nama Kampung Alur Mutiara ini wujud.  Sehingga sekarang,  keadaan tersebut dapat di saksikan.

              Teratak kayu 2 tingkat di hampiri.  Encik Lokman memberhentikan kereta.  Setelah enjin kereta dimatikan,  Encik Lokman dan isterinya keluar dari kenderaan tersebut.  

              "Assalamualaikum!"

              Laung Encik Lokman.  Puan Zalikha asyik sekali memerhati halaman rumah keluarga ibu mertuanya itu.  Bersih dan kemas.  Hamparan rumput hijau menerbitkan aroma segar.  Susunan batu-bata yang diatur sepanjang lorong masuk menghala ke rumah mengindahkan lagi persekitarannya.  Puan Zalikha yang tenggelam sebentar dengan panorama kampung itu kembali tersedar.  Laungan salam kali kedua oleh suaminya menghalau jauh lamunan tersebut.

             "Mak tiada di rumahkah?"  soal Puan Zalikha.

             "Abang tidak pasti.  Mungkin berada di dapur atau pun ke kebun."

             Balas Encik Lokman.  Dia memanjangkan lehernya.  Dia membawa kakinya ke arah pintu dapur yang sedikit tersorok daripada pandangan.  Puan Zalikha turut mencari kelibat ibu mertuanya setelah salam yang di beri tidak bersambut.  Beg tangannya di sangkut ke bahu.

            Darwisyah keluar dari kereta.  Wajahnya penuh sayu.  Tubir matanya masih lagi berair mata.  Entah mengapa,  dia begitu berat untuk tinggal di sini.  Bukan kerana tidak suka akan neneknya yang di panggil mak tok itu,  bukan kerana ia sebuah rumah kampung yang tidak gah seperti rumahnya di bandar, dan tidak juga kerana ia tidak boleh bebas jika tinggal di sini.

           Tetapi dia bimbang akan penerimaan bapa saudaranya.  Usu Roslan.  Adik bongsu ayahnya.  Ketika umur Darwisyah sekitar 5 tahun,  dia pernah di marahi oleh Usu Roslan.  Silapnya hanya kecil,  iaitu tidak sengaja memecahkan pasu bunga yang di perbuat daripada kaca.

           Masih terbayang lagi peristiwa itu...

           "Hidup menyusahkan aku!  Tak pernah nak senangkan hati!  Pergi dari sini.  Jangan dekat lagi dengan kawasan ni.  Faham!"

           Itu kata-kata yang masih terpahat di ingatan Darwisyah.  Waktu itu umur Usunya dalam lingkungan 19 tahun.  Sudah hampir dewasa.  Ya!  Memang ketika itu Darwisyah masih lagi kecil untuk memikirkan apa maksud disebalik kata-kata yang dilemparkan oleh Usu Roslan itu.  Tetapi,  fikirannya tidak semuda umurnya.   Itu antara ayat-ayat pedih yang masih diingati sehingga kini.


           "Man!  Ika!"



Tiada ulasan: