BAB 6
Hampir 2 bulan Darwisyah tinggal di kampung itu. Dia tidak punyai
masalah untuk bergaul dengan sahabat-sahabat lain terutama di sekolah.
Syukur alhamdulillah, mereka menerima kehadiran Darwisyah dengan
senang. Sangkaan Darwisyah, dia akan menerima kesulitan jika dia
mula berpindah ke sekolah baru. Ternyata apa yang difikirkan olehnya jauh
menyimpang.
Hari ini Darwisyah mengikut Nenek Leha ke
rumah jirannya. Kenduri perkahwinan akan diadakan pada esok hari.
Menurut apa yang dikatakan oleh Nenek Leh kepadanya, bakal pengantin
lelaki itu seorang doktor pakar manakala pasangannya nanti pula adalah seorang
pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi di ibu kota. Terpegun
sebentar Darwisyah ketika mendengarnya.
“Darwisyah! Sudah siap atau belum?”
Nenek Leha melaung lembut nama penuh
cucunya. Darwisyah yang mendengar tersenyum. Suka benar dia apabila
nama penuhnya disebut. Walaupun namanya hanya satu patah perkataan,
namun cukup sukar bagi orang-orang sekeliling memanggilnya dengan nama
penuh. Waima ibu dan bapanya. ‘Isya’. Itu nama yang sering
diungkap.
“Sudah mak tok!” Darwisyah keluar
dari balik tirai biliknya. Baju kurung hijau pucuk pisang tersarung kemas
di tubuhnya yang kurus dan tinggi. Mahkota wanitanya tertutup litup
dengan tudung rona senada. Cantik!
“Amboi! Cantiknya cucu mak tok.”
“Cucu mak tok, mestilah cantik!”
Darwisyah membalas pujian Nenek Leha
dengan gurauan. Tersengih apabila dipuji sebegitu. Berbunga-bunga
hatinya!
“Sudah. Mari cepat. Mak tok
sudah lewat ni.”
Selipar putih bersihnya disarung lalu
mengikut langkah Nenek Leha. Tempat yang ingin ditujuinya tidak
jauh. Hanya selang beberapa buah rumah sahaja. Di selekoh simpang
masuk ke rumah Nenek Leha, mereka bertembung dengan beberapa orang kampung
yang turut ingin ke sana. Pada pandangan mata Darwisyah, mereka
nampaknya sebaya dengan mak toknya. Darwisyah menyalami mereka tanda
hormat setelah dikenalkan oleh Nenek Leha. Walaupun dia berasal daripada
bandar, tetapi didikan tentang adat dan adab sangat dititik beratkan oleh
kedua orang tuanya.
“Anak siapa ni Leha?” tanya salah
seorang daripada mereka.
“Anak Lokman!” jawab Nenek
Leha. Bersemangat.
“Oh! Sudah besar ya. Berapa
umurnya?” tanyanya lagi. Tampak teruja sekali. Darwisyah
hanya tersenyum.
“Sudah 15 tahun.”
Dari gaya perbualan mereka bersama Nenek
Leha, kelihatan seperti mereka mengenali Darwisyah. Cuma dia yang
tidak mengenali mereka.
Getus hati kecil Darwisyah. Mereka
terus berbual. Sesekali galak tawa mereka pecah. Mungkin ada yang
mencuit hati mereka ketika itu. Darwisyah hanya mendengar. Dia
menikmati suasana kampung yang sudah lama tidak dirasai. Walaupun ketika
itu matahari pagi sudah lama muncul, namun dingin embun pagi masih
terasa. Sejuk dan nyaman!
Sedang asyik menghirup haruman daun hijau
sambil berjalan, telinga Darwisyah disapa oleh satu pertanyaan oleh salah
seorang daripada mereka.
“Ini anak Lokman?”
Darwisyah berpaling. Wajah insan
yang boleh dipanggil mak cik itu dipandang. Berkerut dahinya. Tidak
terkecuali dahi Darwisyah juga.
‘Mengapa dia seperti hairan apabila
mengetahui aku ini anak Lokman?’ bisik hatinya.
Beberapa saat setelah soalan itu
diajukan, tiada langsung jawapan yang diperolehi. Nenek Leha hanya
diam. Lebih ajaib apabila melihat perubahan pada wajah Nenek Leha.
Lain. Seperti terkejut.
“Bukankah Lokman…”
“Er… orang sudah ramai tu.
Mari kita ke sana cepat.”
Mak cik tersebut bersuara. Lagaknya
seperti ingin menyatakan sesuatu, namun cepat-cepat Nenek Leha memotong
percakapannya.
‘Pelik. Apa yang mak cik itu cuba
sampaikan? Mak tok seperti tidak mahu mak cik itu menghabiskan
ayatnya. Kelihatan seperti sedang sorokkan sesuatu sahaja.
Ahh… Tidak elok bersangka buruk sebegini. Mak tok pernah berpesan.
Jangan bersangka sesuatu yang tidak baik tentang orang lain.
Berdosa. Mak tok juga berkata jika
menyedari diri kita mula berasa demikian, kunci utamanya adalah dengan
beristighfar.’
“Astagfirullah hal azim!”
Darwisyah cepat-cepat beristighfar dalam
hati. Kepalanya digelengkan beberapa kali. Matanya juga dipejamkan
sedetik. Mengusir jauh rasa itu. Sebaik sahaja Darwisyah membuka
mata, baru dia menyedari bahawa dia keseorangan ketika itu. Nenek
Leha dan lain-lain sudah jauh ke hadapan.
Cepat sahaja Darwisyah membuka langkah
kaki. Cuba mengejar. Namun anak matanya dapat menangkap pandangan
aneh yang dilemparkan salah seorang daripada mak cik yang bersamanya sebentar
tadi. Mak cik yang cuba menyatakan sesuatu tetapi dipintas laju oleh
neneknya.
‘Seperti ada yang sedang
disembunyikan…’ Hatinya mula bergetar.
Tanpa Darwisyah menyedari, ada
sepasang mata sedang memerhatinya dari celah pokok yang lebat merimbun…
*****
Seminggu sebelum itu…
Puan Normah duduk di sofa sambil menyilang kakinya. Urat-urat
rambut halus berwarna putih mula kelihatan di kepala yang tidak berhijab
itu. Tetapi hanya sedikit. Itupun kerana rambut baru yang mulai
tumbuh. Selebihnya sudah bertukar warna kepada coklat gelap.
Semuanya untuk mengaburi pandangan masyarakat daripada melihat rambut putihnya
atupun lebih tepat uban.
Mata wanita itu merenung tepat ke arah
wajah seorang gadis dewasa. Umurnya sekitar 30-an. Gadis dewasa itu
duduk bersandar berhadapan dengan Puan Normah. Lagaknya bersahaja.
“Bagaimana? Boleh tolong mama
Nor?” Puan Normah bertanya.
“Boleh. Mama Nor nak Qasya buat
apa?” jawab gadis.
Gadis yang menggelar dirinya Qasya itu
adalah anak saudara kepada Puan Normah. Anak kepada abang
sulungnya. Qasya masih lagi bujang. Dia baru sahaja tamat belajar
di luar negara. Selepas kembali ke tanah air beberapa hari lalu,
Qasya masih lagi belum berkerja. Hadir dalam keluarga yang
berharta, tidak sukar baginya untuk memperoleh semua itu. Apatah
lagi keluarganya punyai empayar perniagaan sendiri.
“Tengok gambar ni.”
Puan Normah melempar kasar 2 keping gambar
di atas meja kaca di hadapan mereka. Berselerak. Qasya
mengambilnya. Tidak puas dengan sekeping gambar, dia mencapai
sekeping lagi.
“Gambar siap ni?” soalnya sambil
merenung gambar itu.
“Qasya tak perlu tahu siapa.
Sekarang mama Nor mahu Qasya pergi cari budak perempuan ni. Jika sudah
dapat, cuba dekati dia.”
Puan Normah diam selepas itu.
Wajahnya penuh angkuh. Kulit wajahnya yang sememangnya berkedut bertambah
berkedut jadinya.
“Itu sahaja?” soal Qasya lagi. Dia
mempamerkan mimik muka sedikit hairan.
“Buat masa sekarang, itu sahaja yang
mama Nor mahu Qasya lakukan. Arahan seterusnya, mama Nor akan
beritahu nanti. Faham?”
“Faham mama Nor!”
Qasya menjawab. Mereka berpandangan
sebentar. Bibir masing-masing mengukir satu senyuman yang sukar di
mengerti. Hanya mereka dan Allah yang tahu.
“Apa yang faham tu Qasya?”
Suara lelaki tiba-tiba kedengaran ketika
itu. Dua pasang mata berpaling mencari arah suara tersebut. Riak
terkejut sedikit terlihat di wajah masing-masing.
“Papa Zul! Terkejut Qasya!”
Encik Zulkarnain rupanya. Dia yang
baru muncul dari tingkat atas menuruni anak tangga dengan penuh
berhati-hati. Qasya tersenyum lebar.
“Apa yang fahamnya? Dari atas lagi
papa Zul dengar?” Encil Zulkarnain bertanya lagi. dia melabuhkan
punggungnya di ruang sofa yang kosong.
“Abang ni. Lupakah apa yang kita
rancang sebelum ni?” Puan Normah cuba mengingatkan suaminya.
“Oh! Jadi, Qasya terima
tawaran kita?”
“Mestilah!” jawab isterinya penuh
semangat.
“Baguslah jika begitu. Papa Zul
tahu, Qasya bijak dalam perkara ini. Ingat! Jika hasilnya
memuaskan, ganjaran lebih besar menanti Qasya.”
Senyuman Qasya bertambah lebar apabila
mendengar janji yang dituturkan oleh Encik Zulkarnain. Matanya yang
bercelak hitam bertambah bulat jadinya kerana sangat teruja.
Beberapa minit berbual, Qasya mohon
undur diri. Dia bangun dari tempat duduknya. Skirt paras lututnya di tarik-tarik agar
tidak melekat di tubuhnya. Blouse kemejanya dirapikan sebelum mencapai
tas tangannya. Kepingan foto disimpan kemas di dalam beg tersebut.
“Mama Nor, Qasya pulang
dahulu. Jika ada apa-apa mama Nor hubungi Qasya ya,” ujar Qasya
ketika memeluk Puan Normah.
Tiada lagi budaya salam-menyalam dalam
hidupnya. Apatah lagi ucapan salam ketika mengunjungi rumah
tersebut. Begitu juga ketika ingin berpisah.
Qasya hanya mengenali budaya
bersentuh-sentuh pipi selain daripada menghulur tangan untuk bersalaman.
Manakala ucapa ‘hello’ pula
menggantikan ucapan assalamualaikum. Sama juga ketika ingin
berpisah. Ucapan ‘bye-bye’ yang akan kedengaran.
Bagi Qasya, ucapan-ucapan itu tidak
sesuai digunakan lagi ketika itu. Itulah tanggapannya selepas ditegur
oleh seorang wanita tua di sebuah gerai makan suatu hari. Ucapan salam
dalam kehidupan harian bukanlah satu perkara yang tidak ada apa-apa
kebaikan. Malahan ada baiknya. Rasulullah pernah bersabda, “Orang
yang memulakan memberi salam adalah terlepas daripada sifat sombong dan takbur”
( Riwayat Al-Baihaqi & Al-Khatib ).
*****
Di banglo mewah milik Encik Lokman, Puan Zalikha sedang
menyelongkar kasar laci biliknya. Hampir kesemua laci-laci di bilik itu
dibuka. Tidak cukup dengan laci almari pakaian, almari meja milik
Encik Lokman turut dibukanya. Habis berterabur helaian-helaian kertas di
lantai.
“Ya Allah Ika! Apa yang awak buat
ni?” menjerit kecil Encik Lokman ketika melangkah masuk ke dalam
biliknya. Matanya meliar memandang lantai bilik. ‘Apa sudah jadi
dengan bilik ini?’ Ujarnya dalam hati.
“Abang, abang ada nampak atau tidak
sampul surat berwarna coklat?” pertanyaan Encik Lokman dibalas dengan
pertanyaan kembali oleh isterinya. Tangannya ligat mengeluarkan satu
persatu barang daripada dalam laci yang ditarik keluar.
“Sampul surat coklat?” suara Encik
Lokman kedengaran.
“Ya! Sampul surat berwarna coklat.
Saiznya lebih kurang kertas A4 dan tidak ada sebarang tulisan di atasnya.
Ada nampak atau tidak?”
Sedar akan Encik Lokman akan bertanya
lagi, Puan Zalikha terlebih dahulu memberitahu. Peluh sudah mula
merenek di dahinya. Tudung yang tersarung di kepala sudah senget dan
hilang bentuk.
“Tidak pula. Ika simpan di mana
sebelum ini?” soal Encik Lokman pula. Helaian kertas yang
bertaburan di lantai dikutip lalu disusun kemas sebelum meletaknya di atas meja
tulisnya.
“Ika simpan di dalam laci almari
itu,” jawab Puan Zalikha sambil menunding jari ke arah sebuah almari
pakaian.
Encik Lokman memandang arah yang di tunjuk
oleh isterinya. Dia menarik nafas panjang dan menghembus perlahan.
Wajah isterinya yang sudah basah dek peluh ditatap.
“Betul awak simpan di situ? Atau pun
di tempat lain?” Encik Lokman cuba mengembalikan ingatan Puan Zalikha
jikalau dia tersalah letak.
“Tidak! Ika yakin. Ika simpan
dalam laci almari itu, bersama dengan sijil-sijil dan surat penting milik
Darwisyah.”
Sebaik sahaja Puan Zalikha menghabiskan
ayatnya, serta-merta dia berpaling dan memandang wajah suaminya.
“Sijil Darwisyah! Ya Allah!”
Terkesima pasangan suami isteri itu.
Masing-masing kaku di tempat duduk. Encik Lokman meraup wajahnya.
Matanya mulai bergetar. Perasaan Puan Zalikha sudah berkecamuk.
Risau, takut, cemas. Semuanya sudah menjadi satu.
“Tidak mungkin…” rintihnya dalam
hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan