BAB 7
Sebuah kereta Honda City hitam berhenti di hadapan Mak Embun. Mak
Embun, ibu kepada Danish Aniq cuba mengecilkan matanya dengan harapan
dapat melihat siapa di dalam kereta tersebut. Tetapi ianya tidak
berhasil. Malahan Mak Embun berasa sedikit pening. Namun ia hanya
beberapa saat sahaja.
“Assalamualaikum!”
Gadis tinggi lampai yang keluar dari
tempat duduk pemandu melaungkan salam. Tinggi. Baju kurung merah
hati yang dipakainya dipadankan bersama tudung rona merah jambu menyerlahkan
warna kulitnya yang putih gebu. Manis sekali! Dia melangkah
menghampiri Mak Embun yang ketika itu sedang bersandar di buaian besi di
halaman rumah.
“Waalaikumussalam!” Mak Embun
menjawab salam. Huluran tangan si gadis disambut. Tangan kasarnya
dicium tanda hormat. Mak Embun terpegun dengan sikapnya.
“Mak cik, boleh tumpang
tanya?” si gadis tinggi lampai bersuara.
“Anak mahu tanya apa?” memandangkan
Mak Embun tidak tahu nama gadis itu, Mak Embun memanggilnya dengan
panggilan ‘anak’. Wajah putih bersih itu tidak lepas-lepas dipandang.
“Saya Munira. Saya hendak cari rumah
atau bilik sewa di kawasan ini. Mak cik tahu di mana ada rumah atau bilik
yang boleh di sewa?” terangnya.
“Oh! Jika begitu, Munira sewa
sahaja rumah mak cik. Kebetulan mak cik memang punyai rumah kosong untuk
di sewa. Mahu?” usul Mak Embun kepada gadis yang bernama
Munira itu.
“Munira terima mak cik. Syukur
sangat. Lagi pun, Munira memang perlukan rumah atau bilik kosong
segera.”
Munira mengukir senyuman lebar. Lega
hatinya apabila tempat untuk berteduh dari panas dan hujan sudah ditemui.
“Munira tunggu sebentar. Mak cik
masuk ambil kunci rumah.”
Munira mengangguk. Senyumannya tidak
putus sehinggalah batang tubuh Mak Embun hilang di balik dinding rumah batu itu.
Fuhh!
Munira menghembus nafas.
Keras. Halaman rumah yang luas di pandang sekilas. Mukanya
berkerut. Bibirnya yang merah merekah tampak bergerak-gerak.
Seperti mengomel sesuatu. Cuaca panas menimbulkan rasa kurang selesa pada
dirinya. Sesekali kakinya dihentak-hentak, cuba mengusir rasa geli
apabila rumput renek halus menyucuk-nyucuk tumit kakinya.
“Mari mak cik tunjukkan rumah,”
Mendengar sahaja suara Mak Embun,
Munira berusaha mengukir senyuman.
“Tidak jauh. Itu rumahnya!” Mata
bulat Munira mencari arah yang ditunjukkan.
Sebuah rumah batu. Bersaiz
sederhana. Kelihatan bersih dan dijaga rapi. Munira mengikut
langkah kaki Mak Embun. Sesekali dia ingin terjatuh apabila badannya
tidak mampu dikawal. Beberapa tapak, akhirnya mereka tiba.
Mak Embun membuka pintu itu dengan
menggunakan kunci di tangannya. Pintu tersebut di buka luas.
Kosong! Munira tiba-tiba berasa cuak. Namun dia cuba mengawal
wajahnya supaya tidak dikesan oleh Mak Embun.
“Rumah ini kosong. Tidak ada perabot
dan barang-barang lain. Tetapi ada air dan elektrik. Rumah ini
memang dibina dengan tujuan untuk disewa. Bagaimana? Munira
selesa?” bicara Mak Embun panjang lebar. Mak Embun sememangnya
seorang yang peramah.
“Boleh mak cik. Tentang perabot dan
perkakas lain, Munira akan beli yang mana perlu. Sudah jumpa rumah
untuk disewa pun sudah memadai bagi Munira mak cik. Terima kasih mak cik.”
Munira cuba berbual mesra. Rasa
lenguh pipinya akibat terlalu banyak senyum.
“Panggil sahaja Mak Embun. Boleh Mak
Embun tanya Munira sesuatu?”
Munira mengangguk laju.
“Rasanya Mak Embun tak pernah nampak
Munira di kawasan sini. Munira bukan orang sini ya?”
“Betul tu Mak Embun. Munira dari
Kuala Lumpur,” balasnya.
“Oh! Munira buat apa di kampung
ini?” soalnya lagi belum puas.
“Munira seorang guru. Baru
ditukarkan ke sekolah di bandar sana. Munira sudah cuba cari rumah sewa
di sana. Tidak ada. Munira selesa tinggal dalam suasana
kampung. Di bandar sana, mana ada kampung seperti ini.”
Mak Embun mulai faham. Mereka
berbual seketika sebelum Mak Embun kembali ke rumahnya.
Sementara itu, Munira yang sedang
melihat setiap sudut rumah itu merasa sangat geram. Hatinya
menyumpah-nyumpah sesorang. Sesekali terkeluar perkataan dari mulutnya.
‘Bagaimana aku ingin tidur malam
ini? Tilam pun tiada. Apatah lagi katil.’
Dia merungut geram dalam hati. Malam
itu, dia menyusur keluar ke pekan dan pulang keesokkan harinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan