BAB 3
Embun pagi mula menitik halus.
Dedaun hijau mengeluarkan aroma nyaman. Seawal subuh lagi, Kampung
Alur Mutiara sudah basah disiram titisan hujan lebat. Terasa dingin seisi
alam. Menghampiri pukul 7 pagi, ufuk mentari mula menampakkan
cahaya. Bayang-bayang penghuni alam terbentuk di sana sini. Sang
unggas terbang mencari sesuap nasi seperti mana seorang yang bergelar manusia.
"Mak tok..." Darwisyah bersuara seperti merengek. Hujung
tudung sekolahnya dipintal-pintal dengan jari runcingnya.
Hari ini merupakan hari pertama Darwisyah bersekolah di sekolah baru.
Pakaian seragam sekolah sudah tersarung kemas di tubuhnya. Lengkap
bertudung. Demi mengambil hati dan memujuk Darwisyah, Encik Lokman
dan Puan Zalikha sanggup berbelanja lebih membeli pakaian seragam baru
untuknya. Dari hujung kepala hinggalah hujung kaki, dengan harapan
Darwisyah akan menurut arahan dan tidak memberontak. Namun semua itu
tidak menjadi.
"Kenapa cu..." tanya Nenek Leha, penuh kasih sayang.
"Jangan pintal tudung tu. Nanti habis berkedut. Tak cantik
pula cucu mak tok nanti."
Wanita separuh usia itu yang mesra disapa Nenek Leha di kalangan orang
kampung menegur cucunya. Kepalanya yang ditutup dengan anak tudung putih
di betulkan. Tubuh kurus keringnya disandar ke meja makan sambil
tangannya ligat mencedok nasi goreng untuk sarapan mereka. Baju kurung
lama yang dipakai sedikit basah di bahagian hadapan. Mungkin disebabkan
percikan air ketika melakukan rutin membasuh di sinki pagi tadi.
"Isya tidak mahu bersekolah di sini," ujar Darwisyah. Dia
yang bersandar di kerusi meja makan memandang ke bawah.
"Kalau tidak mahu bersekolah di sini, kenapa datang?"
Zup! Terasa seperti ingin pengsan ketika itu. Suara balasan yang
sememangnya tidak di jangka bergema. Bulat matanya mencari arah sergahan
itu.
'Usu Roslan!' getusnya di dalam hati. Dia menelan air liurnya.
terasa perit sekali. Darwisyah bersandar tegak di kerusi. Dia
kelihatan takut. Lagak tikus yang takut akan kucing. Bapa
saudaranya mengambil tempat berhadapan dengan Darwisyah ketika di meja makan.
"Roslan!"
Nenek Leha menegur anak bongsunya. Suaranya sedikit keras walaupun
bernada perlahan. Nenek Leha sudah faham akan sikap anaknya itu.
'Entah bila lelaki ini akan berubah.' Hati tua itu sempat berbisik halus.
"Kalau hati tu sudah tawar untuk belajar di sini, tidak perlu
datang," ungkap lelaki itu lagi sambil memandang wajah anak
saudaranya, Darwisyah.
Usu Roslan. Adik bongsu Encik Lokman.
Lelaki ini belum mendirikan rumah tangga. Dia kini tinggal bersama
Nenek Leha. Usu Roslan bergelar usahawan. Dia giat mengusahakan
ternakan lembu sejak 3 tahun lalu. Sehingga kini, Darwisyah belum
berpeluang melawat ladang ternakan bapa saudaranya itu.
"Isya pergi dahulu mak tok. Assalamualaikum,"
Darwsiyah tidak menunggu lama. Hunjanam mata Usu Roslan yang
menyala begitu menakutkan. Terasa inigin menyorok di belakang mak toknya.
Tangan tua itu dikucup lembut sebelum melangkah ke arah bapa saudaranya
pula. Darwisyah menghulur tangan untuk bersalaman. Di dalam
hatinya, pelbagai perasaan mula berkecamuk. Risau, malu,
gentar. Risau jika Usu Roslan semakin membencinya lagi. Dia
juga malu jika huluran salamnya tidak disambut oleh Usu Roslan dan gentar jika
lelaki itu akan terus melepaskan amarahnya yang masih bersisa.
Alhamdulillah! Itu kata hatinya apabila Usu
Roslan sudi menerima huluran tangannya.
"Kenapa kata begitu? Tidak elok
Lan," tanya wanita tua itu kepada anak bongsunya. Raut
wajahnya tampak kecewa. Tangannya yang sedari tadi ligat membuat kerja
kini sudah mengendur.
"Mengapa mak baik sangat dengan budak
itu?" tanyanya kembali. Pertanyaan ibunya di biarkan berlalu
di bawa angin pagi.
" Dia cucu mak Lan. Satu-satunya
cucu mak. Darah daging kamu juga. Sudahlah Lan. Buang
perasaan keras kamu. Usah seksa minda dia. Anak saudara kamu tidak
mengerti apa-apa lagi,"
Usu Roslan hanya diam apabila ibunya berkata
begitu. Mata kuyunya dikerdip beberapa kali. Entah mengapa,
relung hatinya begitu sukar untuk melupakan perkara itu. Dia sedar,
anak saudaranya itu memang langsung tidak bersalah. Tidak
sepatutnya dia bersikap sebegitu tehadap anak remaja itu. Namun,
kerana marahkan abangnya, Usu Roslan melempiaskan amarah kepada
Darwisyah. Tubuhnya yang agak tegap dan berotot ditegakkan.
"Sarapan dahulu. Sekejap lagi kamu
hendak ke ladang. Mak tidak ke sana mulai hari ini. Kamu pulanglah
makan tengahari nanti. Anak saudara kamu sekarang tinggal dengan kita.
Makan minum dia sekarang di bawah tangunggjawab mak."
Terang Nenek Leha. Pinggan nasi yang
tidak sempat disentuh oleh Darwisyah di capai perlahan. Bagaikan mahu
menitis mutiara jernihnya. Darwisyah tidak sempat bersarapan kerana takut
akan bapa saudaranya. Nasi goreng didalam pinggan itu diisi masuk semula
ke dalam mangkuk besar. 'Kasihan cucu mak tok.'
Titisan air matanya tiba-tiba mengalir
perlahan. Tidak mampu di bendung. Usu Roslan yang asyik menjamu
selera mendongak melihat wajah ibunya. Seleranya serta merta lenyap.
Perasaan bersalah menyelinap di sanubarinya.
*****
Sementara itu, Darwisyah yang begitu tersentuh
dengan bicara bapa saudaranya berjalan perlahan menyusur jalan kampung menuju
ke sekolah barunya. Linangan air mata menemaninya sepanjang perjalanan ke
sekolah. Puas diseka, tetap juga mengalir. Laju. Umpama
tidak mahu berhenti. Dia merasakan dirinya keseorangan di dunia ini.
Rasa lemah kakinya. Tenaganya seperti
tertinggal di rumah ibu bapanya. Hanya badannya ke sini. 'Mengapa
Usu benci sekali dengan diri aku? Apa yang telah aku lakukan terhadapanya?'
Bicaranya dalam hati. Jiwanya begitu sakit. Jika permulaannya
sudah pedih seperti ini, mungkin hari-hari mendatang jiwa ini akan haus.
Hauskan simpati.
"Assalamualaikum!"
Sedang Darwisyah melangkah bersama rembesan
air mata, terdengar seseorang memberi salam dari arah belakang. Dia
berpaling ke belakang.
Seorang jejaka seperti sebaya dengannya.
Dia tidak mengenalinya Lelaki yang lengkap berpakaian seragam
sekolah itu berjalan laju. Cuma menghampiri Darwisyah yang sudah ke
hadapan. Gadis berusia 15 tahun ini seperti tidak berminat untuk
menantinya.
"Kau Darwisyah bukan?" jejaka
itu cuba meneka.
Sebaik sahaja lelaki yang tidak di kenali itu
bertanya, Darwisyah berhenti melangkah. 'Dia mengenaliku?'
detik hatinya. Tubuh kurusnya di pusing sedikit mengadap orang yang
bertanya.
Tinggi! Itu anggapan pertamanya saat
dia bersemuka dengan lelaki itu. Ketika melihatnya dari jauh, Darwisyah
tidak menyedari fizikalnya. Enggan khayal lebih jauh, Darwisyah
mula bersuara.
"Dari mana kau tahu nama kau?"
"Aku Aniq. Danish Aniq,"
dia memperkenalkan diri walaupun tidak diminta.
Usai sahaja jejaka yang bernama Danish Aniq
itu bersuara, Darwisyah mula melangkah. Sisa air mata di pipi
merahnya disapu kasar. Rasa laranya mulai hilang. Malu jika
bekas-bekas mutiara itu dikesan oleh Danish Aniq.
"Mengapa kau menangis?"
Rupa-rupanya Danish Aniq sudah ternampak. Wajah bujur sirih
Darwisyah di lihat dari ekor mata.
"Siapa kau? Aku tidak kenal kau.
Tidak perlu rasanya untuk aku beritahu," bidas Darwisyah
sambil berjalan.
"Oh! Aku terlupa. Aku
saudara kau juga. Ayah kau dan ibu aku sepupu," akhirnya
pertanyaan Darwisyah terjawab.
"Saudara?" nada suara
Darwisyah kedengaran terkejut. "Mengapa selama ini aku tidak pernah
kenal kau?" soalnya lagi.
"Ya. Kita saudara. Aku tidak
tinggal di sini sebelum ini. Hanya 2 tahun yang lalu, aku dan
keluarga berpindah ke kampung ini. Sebab itu kau tidak kenal aku"
Jejaka itu kelihatan selesa berbual dengan
Darwisyah. Tutur katanya juga penuh adab dan tidak berlebihan.
Danish Aniq yang tua 2 tahun daripada Darwisyah mengukir senyuman apabila
Darwisyah mulai berminat untuk berbicara dengannya.
"Jadi sekarang kau sudah kenal aku bukan?
Boleh aku tahu menagapa air mata kau mengalir?" risiknya lagi.
Dia sabar menanti jawapan dari bibir kecil
Darwisyah. Menanti dan terus menanti. Sehinggalah mereka tiba di
pintu pagar sekolah, Darwisyah masih bungkam. Pelajar-pelajar
semakin ramai. Ada yang baru tiba sepertinya, ada yang sedang
berbual besama sahabat, ada yang sedang makan dan tidak terkecuali ada
segelintir daripada mereka khusyuk mengulang kaji pelajaran. Bagus
sekali! Mereka tidak membuang masa sementara menunggu waktu pembelajaran
bermula.
Menyedari dirinya berada di tempat baru,
Darwisyah cemas. 'Kemana harus aku pergi? Aku pelajar baru,'
getus hatinya. Dia mula mematahkan jari-jarinya.
Berlekup-lekap bunyinya. Itulah tabiat Darwisyah jika dia berada
dalam keadaan cemas dan takut.
"Mari ikut aku," sedikit terkejut
Darwisyah. Dia sangkakan Danish Aniq sudah berlalu meninggalkannya.
Rupa-rupanya dia masih di sini.
"Ke mana?"
"Pejabat sekolah," jawabnya pendek.
"Untuk apa?" Soal Darwisyah lagi bersama
kerutan di dahi. Dia masih berdiri di tempat yang sama, sedangkan
Danish Aniq sudah jauh ke hadapan.
"Nenek Leha minta aku temukan kau dengan guru kelas
kau. Cepatlah!"
Danish Aniq yang sudah menghampiri ruang lobi memusingkan
badannya. Sambil berjalan, dia menjawab. Jejaka tinggi ini
meninggikan sedikit suaranya untuk melawan suara-suara kecoh para pelajar yang
lain. Ditambah pula sekolah tersebut berhampiran dengan jalan raya utama
yang semestinya mengundang pelbagai bunyi hiru-pikuk kenderaan.
Tidak mahu membazirkan masa, Darwisyah berlari anak
mengikut jejak saudaranya yang sudah hilang di balik dinding lobi.
Mujurlah dia dapat menangkap kelibat Danish Aniq yang ketika itu sudah
membelok ke kanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan