BAB 5
" Tak guna!" jerit Encik Zulkarnain.
Lantang! Stereng keretanya ditumbuk kuat. Titisan peluh mula
merenek di dahi. Wajahnya pula mulai merah. Tangan kanannya yang
memegang kepala nampak bergetar. Geram hatinya apabila memikirkan
kejadian di rumah adiknya. Bibir hitamnya diketap kuat.
"Abang, sabar bang!" Puan Normah yang begitu terkejut
dengan kelakuan suaminya bersuara. Dia cuba menenangkan lelaki itu.
Kelajuan kereta yang semakin lama semakin laju menambahkan lagi rasa
gerunnya. Dia sedar suaminya berada dalam emosi yang tidak stabil ketika
ini. Pedal minyak di kakinya semakin kuat ditekan. Tiada langsung
tanda-tanda untuk memperlahankan kelajuan.
"Berani Zalikha mengatakan abang tiada hak ke atas harta itu!"
katanya lagi. Kali ini kelajuan kereta semakin kurang.
"Betul tu. Nor tidak sangka dia boleh berkata begitu,"
kata-kata lelaki itu disokong oleh isterinya. Wanita itu lega,
apabila melihat Encik Zulkarnain mula bertenang walaupun kemarahannya
masih lagi bersisa. Wajah tua suaminya di pandang sekilas samblil tersenyum
sinis.
Lagak Puan Normah tampak lain. Dalam diam-diam, dia sebenar
mempunyai agenda untuk disuarakan kepada suaminya.
*****
Di
Kampung Alur Mutiara, seorang
gadis kurus tinggi sedang termenung di bawah rimbunan pokok rambutan yang
sedang galak berbuah. Hari itu hari sabtu. Sabtu pertama setelah
beberapa hari dia menjadi 'penduduk' di kampung itu.
"Termenungkan siapa tu?" satu suara menyapa di
telinganya. Darwisyah berpaling mencari arah suara itu. 'Nenek'.
Dia berbisik dalam hati. Senyuman hambar dilemparkan.
Nenek Leha berjalan menghampiri cucunya. Perlahan dan penuh berhati-hati.
Darwisyah mengesot sedikit untuk memberi ruang untuk Nenek Leha
melabuhkan punggung. Wajah tua itu ditatap lembut.
"Rindukan ayah dan mama ya?" Nenek Leha bertanya lagi.
Kali ini wajah bujur sirih milik cucunya dipandang.
"Mestilah Isya rindu," Darwisyah menjawab. Wajahnya
ditundukkan memandang hujung jari kakinya. Tiba-tiba sahaja
jiwanya terasa begitu sedih.
Nenek Leha mengurut lembut belakang tubuh cucunya. Dia faham
perasaan Darwisyah. Apatah lagi sedari kecil gadis itu langsung tidak
pernah berenggang dengan kedua orang tuanya. Melihat kesedihan cucunya,
dia turut dirundung perasaan yang sama.
"Tak apa. Mak tok ada," hanya itu yang mampu
dibalas.
"Mak tok…" Darwisyah yang tampak sugul pada mulanya kini
bersuara. Sedikit bersemangat nadanya.
"Boleh Isya tanya sesuatu?" sambungnya kembali.
Daun kering ditangannya diracik-racik halus. Hilang bentuknya.
"Darwisyah ingin tanya tentang apa?" pertanyaan Darwisyah
dibalas dengan pertanyaan kembali oleh Nenek Leha sambil mata tuanya memandang
sekilas ke arah kain jemuran di ampain yang berkibar-kibar dihembus semilir
kampung yang nyaman.
"Ayah dan mama ada sembunyikan sesuatu daripada Isya?"
lancar sahaja ayat yang keluar dari bibirnya.
Tersentap nenek Leha! Dalam diam, rupanya Darwisyah
mengatahui apa yang sedang bergolak ketika ini. Tidak tahu bagaimana
ingin menjawab soalan cucunya itu. Seharusnya cucunya tidak terlibat
sama, tetapi oleh kerana dia adalah 'Darwisyah' perkara ini tidak mampu
dielak.
"Betulkah mak tok?" dia bertanya lagi.
"Kenapa Isya kata begitu?" Nenek Leha cuba berbual lagi.
"Bertahun Isya tinggal dengan ayah, dengan mama di bandar
sana. Sejak kecil lagi. Berenggang walaupun 1 hari pun tidak
pernah," Darwisyah diam beberapa saat. Nafas diambil dan
menyambung kembali ayatnya, "tiba-tiba sahaja, ayah dan mama
buat Isya begini. Hantar Isya ke kampung dan tinggal bersama mak tok dan
usu. Bila Isya tanya kenapa, ayah dan mama diam. Ayah dan
mama macam tak sayangkan Isya lagi."
Nenek Leha mendengar luahan cucunya penuh kasihan. Lagak cucunya
seperti tidak selesa dengan semua ini, apatah lagi gembira.
"Isya dengan cakap mak tok. Allah kurniakan zuriat kepada
setiap pasangan suami isteri untuk di sayangi. Setiap daripada zuriat
yang dilahirkan adalah pembuka pintu rezeki kepada setiap keluarga. Isya
adalah zuriat ayah dan mama. Isya adalah pembuka pintu rezeki mereka
selama ini. Untuk pengetahuan Isya juga, mama sanggup berhenti
kerja semata-mata untuk menjaga, mendidik Isya. Mama tidak sanggup
biarkan Isya membesar di telapak tangan orang lain, bahkan ditangan mak
tok sekali pun."
Nenek Leha diam. Suasana petang menjadi sunyi. Suara unggas
sesekali kedengaran. Jeritan anak-anak kecil yang riang bermain bersama
rakan-rakan lain menerjah pendengaran. Sanubari Darwisyah beralun sayu
mendengar bicara nenek Leha.
"Isya nampak. Betapa sayangnya mama terhadap Isya. Ayah pula
sanggup berkerja siang malam untuk mengukuhkan kehidupan ketika itu kerana mama
dah berhenti kerja, sehingga berdirinya syarikat Puncak Holding miliki
ayah. Itu semua untuk Isya."
Bicara
nenek Leha sudah terhenti. Darwisyah mendongak mencari anak mata Nenek
Leha. Bebola mata Darwisyah seperti meminta kepastian tentang semua itu.
Nenek Leha yang mengerti, mengangguk. Rasa kesal di hatinya
tiba-tiba bertandang.
Deringan
telefon di dalam rumah menyedarkan Darwisyah dan Nenek Leha. Nenek Leha
pantas menyarung selipar lusuh yang di tanggalkan dan berjalan ke muka pintu.
Tubuh Nenek Leha hilang dari pandangan dan deringan telefon yang nyaring
sebentar tadi turut mati.
Darwisyah temenung sebentar. Kata-kata neneknya berlegar di
fikiran. 'Ya Allah! Jauhnya aku berfikir,' bisiknya.
Balam-balam senja mulai kelihatan. Darwisyah mengutip kain jemuran
di ampaian lalu berjalan masuk ke dalam rumah.
*****
"Apa lagi yang dikatanya?"
Saat
Darwisyah ingin ke biliknya, suara perbualan Nenek Leha dengan seseorang
menyapa gegendang telinganya. 'Dengan siapa mak tok berbual?'
gerutunya di dalam hati.
Seperti
ada magnet yang menariknya untuk terus mendengar. Telinga kirinya
dilekapkan ke dinding kayu, yang memisahkan tempat di mana Nenek Leha
sedang berbual dan tempat dia berdiri.
"Kamu yakin dia nekad inginkan dapatkan juga?" soal Nenek
Leha lagi.
'Dapatkan apa?' Darwisyah bertanya sendiri.
Sayangnya perbualan pihak di sebelah sana
tidak dapat di dengar oleh Darwisyah. Dia juga tidak tahu siapa yang
sedang menyahut pertanyaan Nenek Leha ketika ini.
"Apa pula kata Zalikha?" suara Nenek Leha kedengaran lagi.
‘Zalikha? Itukan mama!’ getus Darwisyah, ‘Pasti mak tok
sedang bercakap dengan ayah. Tetapi apa yang mereka bincangkan?
Siapa pula 'dia' yang di katakan oleh mak tok?’
Krek!
Bunyi
lantai kayu yang dipijak seseorang menyentap tumpuan Darwisyah. "Usu
Roslan!" Dia berbisik perlahan. Darwisyah tahu Usu Roslan
sudah pulang dari ladang. Bimbang dirinya disindir, dia cepat-cepat
beredar menuju ke biliknya.
Pintu
bilik ditutup cermat. Dia mencapai tuala lalu melilitnya di leher.
Darwisyah yang pada mulanya ingin membersihkan diri kini sudah duduk di
birai katil bujangnya. Dia marah akan bapa saudaranya kerana menganggu
tumpuan dia untuk mnedengar perbualan diantara Nenek Leha dan ayahnya, Encik
Lokman.
"Siapa tu mak?'
Telinga
Darwisyah di sapa oleh suara Usu Roslan. Nenek Leha yang baru meletak
gagang telefon mengurut dada. Terperanjat dengan suara anaknya.
"Kamu ni Roslan. Cuba bagi salam dahulu!" marahnya.
Usu Roslan hanya menyeringai.
"Abang kamu," pendek jawapan yang diberikan.
Sebaik
sahaja mendengar nama abangnya, Usu Roslan mengeluh. Wajah nenek
Leha dipandang lalu bertanya, "apa pula masalah kali ni?"
Usu Roslan bertanya lagi. Darwisyah yang tekun memasang telinga di
dalam bilik langsung tidak bergerak walaupun seinci. Dia benar-benar
ingin tahu isi bicara Nenek Leha dan ayahnya, Encik Lokman. Beberapa saat
menunggu, suasana menjadi sunyi. Tiada bunyi suara Usu Roslan dan
nenek Leha. ‘Mengapa diam?’
Dia menyoal sendiri.
"Beri sahaja barang tu kepada mereka mak," suara Usu
Roslan memecah kesunyian. Darwisyah tersentak. Nada suara bapa
saudaranya juga berubah. Seperti marah.
"Tidak boleh. Itu bukan milik mereka."
Nenek Leha pula bersuara. ‘Apa yang sedang berlaku ni? Barang
apa yang dimaksudkan oleh Usu?’ Darwisyah berteka-teki.
"Mak, selagi mereka tidak
dapat barang yang mereka inginkan itu, selagi itu mereka akan menganggu
keluarga kita. Lan sudah beritahu sejak dahulu lagi. Jangan ambil!
Lihat. Inilah yang terjadi. Tidak mungkin abang Man tidak
fikir baik buruk yang akan terjadi pada hari yang mendatang," keras
suara itu.
"Kamu perlu faham hukumnya Lan. Bukankah mak sudah
beritahu perkara sebenar sebelum ini."
Diam.
Tiada balsan daripada Usu Roslan.
"Sudah.
Waktu hampir senja. Bersihkan diri. Kita berjemaah
sekali."
Nenek Leha
memberi arahan. Tidak lama kemudian, kedengaran pintu bilik Usu
ditutup. Darwisyah yang masih tertanya-tanya apa yang cuba di katakan
oleh Nenek Leha dan Usu Roslan terperanjat apabila orang tua itu melaung
namanya untuk segera mandi. Terkocoh-kocoh dia keluar!
Sepanjang
malam, hatinya meronta-ronta ingin tahu apa sebenarnya rahsia yang cuba
disorok oleh kedua ibu bapanya sehinggakan Usu Roslan dan Nenek Leha sedikit
berselisih faham menjelang senja tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan