BAB 4
Rumah-rumah agam di taman
perumahan mewah itu kelihatan tenang. Sesekali deruan beberapa buah
kenderaan memecah kesunyian. Rata-rata pemilik banglo mewah itu tiada di rumah
ketika itu. Mereka mungkin berada di pejabat atau pun tempat kerja.
Yang tinggal hanya pembantu rumah bersama tukang kebun dan pemandu.
Sebuah banglo yang berukir tanda nama 'Teratak Iman'
itu tidak terlalu sunyi seperti banglo-banglo lain. Puan Zalikha sedang
bertungkus-lumus menyediakan hidangan tengah hari. Tidak seperti pemilik
banglo di kawasan tersebut yang menyediakan khidmat pembantu rumah untuk
memasak dan mengemas rumah, Puan Zalikha selesa melakukan sendiri.
Encik Lokman pula berada di luar rumah. Bekas makanan ikan dicapai
lalu dilemparkan ke arah kolam ikannya.
Setengah jam berlalu, urusan memasak selesai.
Puan Zalikha segera naik ke atas dan membersihkan diri. Dia dan
suaminya akan dikunjungi oleh tetamu hari itu. Semestinya dia dan Encik
Lokman harus berada dalam keadaan yang selesa.
"Abang! Cukup-cukuplah bercakap dengan
ikan tu. Masuk dan bersihkan diri. Sekejap lagi mereka akan
sampai," Puan Zalikha menegur suaminya yang leka 'berbual' dengan
ikan kesayangannya. Begitulah rutian harian suami Puan Zalikha,
Encik Lokman. Setiap hari, dia akan meluangkan masa untuk
berbual dengan ikannya, walaupun hanya seminit.
"Baiklah. Kamu sudah habis masak
Ika?" tangannya di kibas-kibas untuk menghilangkan habuk makanan
ikan yang melekat.
"Sudah. Hanya tunggu tetamu sahaja."
Encik Lokman mula bergerak masuk ke dalam rumah.
Puan Zalikha yang sudah berpakaian kemas melabuhkan punggung di buaian
berhampiran pintu masuk rumah itu. Berkeriuk bunyinya. Fikiran
wanita bertubuh besar itu mulai merawang. Bimbang apa yang akan terjadi
nanti. Dalam masa yang sama, naluri keibuannya begitu rindukan anak
gadisnya itu. Lama Puan Zalikha termenung di situ.
Bunyi hon di hadapan pintu pagar menghambat jauh
lamunannya. Bebola mata dihalakan ke pintu pagar. 'Sudah tiba!'
Bisik hatinya. Puan Zalikha berlari masuk ke dalam rumah dan tidak
lama kemudian, pintu pagar elektrik sudah terbuka luas tanda menjemput
masuk tetamu yang berkenderaan mewah itu.
"Apa khabar Ika? Lama tidak
berjumpa," kakak ipar Puan Zalikha memeluknya kemas selepas
bersalaman.
"Alhamdulillah, khabar baik kak long.
Kak long pula sihat?"
"Macam inilah Ika."
Isteri kepada abang sulungnya itu menjawab.
Kakak iparnya yang lebih selesa disapa kak long meleraikan pelukan.
Puan Zaliha tahu kak longnya tidak selesa. Bukan sehari dua dia
mengenali kakak iparnya itu.
"Assalamualaikum. Silakan masuk abang
long, kak long," Encik Lokman yang baru muncul menjemput masuk
tetamu. Ramah dan mesra layanannya.
Encik Zulkarnain dan isterinya, Puan Normah
mengatur langkah. Kini mereka sudah berada di ruang tamu banglo milik
pasangan suami isteri itu. Tangan Puan Normah yang sedari tadi asyik
mengibas-ngibas leher mula diturunkan. Bebola matanya pula meliar
memandang ruang mewah tersebut.
Entah apa yang tidak kena dimatanya, Puan Zalikha
pun tidak mengerti. Lebih kurang setengah jam bertanya khabar dan
berbual, tuan rumah iatu Puan Zalikha menjemput mereka untuk menjamu
selera. Hidangan sudah tersaji di atas meja makan. Masakan kampung
menjadi santapan merek berempat. Berselera sekali, terutama Encik
Zulkarnain dan suaminya. Lain pula dengan kakak iparnya, Puan
Normah. Gayanya seperti tiada selera. Hanya menguis-nguis nasi itu.
Sesekali dia menyuap ke mulut, seperti terpaksa.
"Abang long sudah lama sampai. Tapi tak
nampak pula kelibat Darwisyah," Encik Zulkarnain bersuara ketika
sedang berehat setelah selesai menjamu selera.
"Ya. Kak long pun tidak nampak dia.
Rasa rindu pula," sambung isterinya pula sambil
tersengih-sengih.
Janggal sekali pendengaran Puan Zalikha.
Tidak pernah Puan Normah dan Encik Zulkarnain bertanyakan tentang anaknya
selama ini. Apatah lagi menyatakan rasa rindu akan gadis itu.
Begitu juga dengan kedatangan mereka hari ini. Semenjak mereka
menetap di taman perumahan ini, inilah kali pertama keluarga abang
sulungnya itu datang bertandang.
"Darwisyah tiada di sini. Maklumlah,
cuti sekolah 2 hari. Mahu berjalan-jalan katanya."
Encik Lokman menjawab. Wajah gusar Puan
Zalikha dijeling sekilas. Anak mata mereka bersatu dan ada bicara di situ.
"Abang long ada perkara yang nak diperkatakan."
Suasana yang pada mulanya meriah dengan gelak tawa
sesama saudara sudah bertukar serius. Encik Zulkarnain menyatakan tujuan
dia ke sini. Puan Zalikha mulai gusar. Tepat sekali tekaannya!
Sebaik sahaja dia menerima panggilan telefon
daripada abangnya beberapa minggu lepas yang menyatakan niat untuk datang
menziarah, Puan Zalikha sudah dapat mengesan sesuatu.
"Berkenaan harta arwah mak."
Ya! Itu tujuan sebenar mereka. Bukannya
untuk menziarah. Puan Zalikha bertambah jelik apabila melihat kelakuan
kakak iparnya. Kepalanya diangguk-anggukkan tanda mengiakan kata-kata
suaminya. Persis burung belatuk.
"Mengapa dengan harta arwah mak?" kali
ini Puan Zalikha pula bertanya. Dia cuba menunujukkan bahawa dia tidak
memahami apa yang dkatakan oleh abang kandungnya.
"Bukankah semua harta peninggalan arwah mak
ada pada kamu, jadi abang long dan kak long datang ingin menuntut hak
kami," Puan Normah pula bersuara.
'Kami? Siapa yang lebih berhak sebenarnya?
Bukankah abang long. Mengapa pula kak long yang beria-ia menjawab?'
bisik hati Puan Zalikha sambil melihat melalui ekor mata.
"Abang long..." Puan Zalikha
berhenti sejenak menarik nafas panjang sebelum kembali menyambung,
"Abang long tahukan, itu semua wasiat arwah mak untuk dia."
Usai sahaja Puan Zalikha berkata begitu, wajah
Encik Zulkarnain terus berubah. Jika pada awalnya manis, kini sudah
pahit. Jika sebentar tadi tersenyum, kini mulai menyinga.
"Tahu," suaranya mulai meninggi,
namun masih terkawal. "Kamu ibunya, kamu boleh lakukan."
"Tapi itu bukan hak Ika lagi," balas
PuanZalikha. Pantas!
"Atau kau sekeluarga mahu bolot semuanya?
Begitu?"
Tergamam wanita itu. Tidak percaya abangnya
sanggup berkata begitu. Encik Lokman yang sedari tadi menjadi pendengar
mulai gelisah. Dia dapat mengagak apa yang akan terjadi seterusnya.
"Betul cakap Ika, abang long. Jika
abang long menganggap bahawa kami ingin mebolot semuanya, itu mustahil.
Kerana semua itu bukan atas nama kami berdua. Kami tiada hak untuk
itu semua."
"Kalau kamu tiada hak, serahkan sahaja
kepada abang long," bidas Encik Zulkarnain.
"Tidak boleh!" ucap Puan Zalikha.
"Mengapa tidak boleh?" Encik
Zulkarnain kembali menyoal. Garang.
"Abang long juga tiada hak," jawab
Puan Zalikha. Suaranya mulai bergetar.
"Mengapa aku tiada hak? Aku anak sulung.
Aku lebih berhak dari kau! Dan sepatutnya harta itu jatuh ke tangan
aku, bukannya kau!"
Encik Zulkarnain sudah hilang pertimbangan.
Hilang sudah gelaran 'abang long' dan 'Ika'. Diganti dengan 'kau'
dan 'aku'.
‘Ya Allah!
Inikah peribadi sebenar abangku,’ bisiknya dalam hati. Dalam
masa yang sama, abang dan kakak iparnya sudah bangun dari sofa empuk
buatan luar negara itu.
"Sudah! Nor, mari
kita pulang!" dia mengajak isterinya pulang. Wanita yang
berambut perang itu menurut arahan suaminya. Langkah Encik Zulkarnain
dituruti. Dia juga sempat melemparkan jelingan tajam ke arah Puan
Zalikha.
"Aku akan tuntut harta tu.
Ingat!" itu kata-kata terakhir Encik Zulkarnain sebelum hilang
dibalik pintu kereta BMW 5series miliknya. Berdegam bunyi pintu kereta
itu apabila ditutup dengan kuat.
Encik Lokman dan Puan Zalikha yang menghantar
mereka dimuka pintu menjadi pegun. Terkejut dengan situasti yang berlaku.
Encik Lokman tampak lebih tenang berbanding Puan Zalikha.
"Ika tak sangka abang long boleh
bersikap begitu dengan Ika," adu Puan Zalikha setelah lama mereka
diam.
"Orang tengah marah.
Macam-macam boleh jadi Ika. Lama-lama nanti redalah marah dia.
Tak perlulah awak sedih begini."
Pujuk Encik Lomkman. Wajah
isterinya ditatap penuh kasih sayang. Sedikit-sebanyak dia turut terasa
dengan kelakuan abang iparnya.
"Ika tidak rasa begitu.
Abang dengarkan tadi, abang long sempat kata yang dia akan tuntut
harta tu. Dia ugut kita bang!" selarnya lagi. Nadanya
mulai sendu.
'Ya! Abang dengar Ika.
Sangat jelas.' Balas Encik Lokman. Tetapi tidak terluah dek
kata-kata.
"Abang long seorang yang keras
hati. Dia boleh bertindak di luar jangkaan. Apatah lagi jika ada
yang menghasut."
Encik Lokman tahu. Kata-kata
terakhir itu ditujukan kepada kakak iparnya sendiri, Puan Normah.
Encik Lokman juga seperti isterinya, sudah kenal luar dan dalam
hati wanita yang bernama Normah itu.
Wajah Darwisyah mula tergambar di fikiran
Puan Zalikha. Kebimbangan tentang keselamatan anaknya semakin menggunung
selepas menerima kata-kata berupa ugutan daripada abangnya.
Mereka berjalan perlahan masuk ke
rumah. ‘Ya Allah, kau lindungilah keluargaku dari sebarang perkara buruk!’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan