Bab 8
“Jodoh itu di tangan Allah mak. Mak pasti tahu bukan, Allah
ta’ala sudah berfirman bahawa ketika mana kita berusia 4 bulan di dalam rahim
ibu kita, sudah ditetapkan kepada kita 3 perkara iaitu persoalan ajal
maut,rezeki dan akhir sekali jodoh.”
“Betu kata kamu Lan. Tapi kamu
perlu ingat juga, manusia wajib berikhtiar mencari dan
memilihnya. Jangan serah bulat-bulat kepada Allah s.w.t.”
Nenek Leha membalas
kata-kata anak bongsunya itu. Dia yang duduk bersila di lantai kayu
mengengsot sedikit menghampiri dinding. Kaki kanannya yang mulai lenguh
dilunjur ke hadapan. Bukan niatnya menidakkan gada’ dan qadar-Nya,
tetapi sebagai hamba-Nya yang beriman seseorang itu perlu berusaha.
“Ataupun kamu masih
teringat peristiwa lama?” selar Nenek Leha. Usu Roslan sedikit
terkejut dengan pertanyaan ibunya itu.
“Jika sudah sampai
jodoh Lan, Lan terima mak. Manusia dicipta oleh penciptaNya ada
jiwa. Ada perasaan. Insyaallah, suatu hari nanti Allah akan
campakkan perasaan cinta itu dalam diri Lan, maka nikahlah Lan dengan
pasangan yang ditentukan olehNya.”
Nenek Leha diam.
Tidak mampu lagi membalasnya. Usu Roslan seorang anak yang bijak.
Sifat pendiamnya itu yang membuatkan kebijakannya sedikit tersorok. Siapa
pun tidak akan percaya jika dikatakan bahawa dia adalah bekas graduan Ijazah
Sarjana Muda dalam bidang binaan dari salah sebuah pusat pengajian tinggi di
Malaysia. Tetapi itulah realitinya.
Berseluar jeans lusuh, berbaju
t-shirt yang sudah terpalit dengan sedikit kotoran, dipadankan pula
dengan baju kemeja besar berlengan panjang diluar tanpa butang dan topi besar
dikepala. Ditangannya pula kekal memegang sebatang kayu seperti ranting
yang panjangnya sehasta sambil menghalau pergi lembu-lembu yang jinak.
Mata-mata luar hanya
melihatnya sebagai seorang pengembala lembu yang tiada kelulusan yang tinggi
dan berasal daripada kampung. Bagi mereka, hanya yang gagal dalam
pelajaran layak berkerja sebegitu.
Rakan-rakannya pernah
menyoalnya, mengapa dia melibatkan diri dalam pekerjaan yang tidak
setaraf dengan kelulusannya? Apa guna belajar hingga ke menara gading
jika ini pekerjaan yang dipilihnya?
Usu Roslan menjawab
dengan tenang.
“Aku tidak memandang
setaraf atau tidak sesuatu pekerjaan itu dengan kelulusanku. Apa yang aku
cari adalah rezeki halal untuk aku dan keluargaku. Biarlah jika aku
terpaksa berendam di dalam lumpur, ataupun perlu menahan terik mentari di
atas kepala. Apa yang aku cari adalah rezeki yang diberkati.
Bagiku, pekerjaanku ini langsung tiada salahnya, waima sekecil
kuman. Bahkan aku gembira. Berkerja sendiri memberi aku ruang dan
peluang untukku. Ruang untukku menunaikan kewajipanku sebagai hamba Allah
pada bila-bila masa sahaja. Tiada sekatan atau aturan yang perlu aku
patuhi.”
Rakannya itu
betul-betul terpukul dengan kenyataan daripada Usu Roslan.
Perbualan anak-beranak
itu terhenti apabila lungan salam dari luar rumah menyapa deria
pendengaran. Usu Roslan mengintai dari ruang jendela.
“Aniq! Jemputlah
masuk,” Usu Roslan menjemput selepas menjawab salam daripada anak
sepupunya.
“Terima kasih usu.
Aniq ada hal dengan Darwisyah sebenarnya. Dia minta Aniq tunjuk ajarnya
dalam tugasan sekolah. Darwisyah ada?”
Mendengar ayat terakhir
yang keluar dari mulut Danish Aniq, Usu Roslan terdiam.
“Ada. Nanti nenek
panggilkan.”
Nenek Leha menjawab
bagi pihak Usu Roslan apabila tiada balasan. Nenek Leha cuba bangun daru
duduknya dan berjalan perlahan ke bilik Darwisyah.
Tidak lama
kemudian, Darwisyah keluar dari bilik. Tunduk sahaja
wajahnya. Semestinya takut akan bapa saudaranya itu. Dia sudah siap
bertudung. Beberapa biji buku dipeluk erat di dada.
“Isya pergi ya mak tok.”
“Ya.
Hati-hati,” pesan wanita tua itu.
Mereka berdua menyusur
lorong kampung itu. Damai sekali. Sekali-sekala mereka berselisih
dengan sekumpulan kanak-kanak yang girang berbasikal. Bagi yang mengenali
Danish Aniq, mereka akan menyapanya dengan panggilan ‘Abang Aniq’.
“Di mana tempat yang
kita akan duduk?” Darwisyah yang mulai letih bersuara. Dia hanya mengikut
langkah Danish Aniq.
“Kau ikut saja.
Sudah tidak jauh tempatnya,” Danish Aniq menjawab pertanyaan saudaranya.
“Aku sudah penat!”
“Lembiklah kau
ni!” usik Danish Aniq.
Darwisyah yang ketika
itu cuba mengawal rasa penatnya terus membulatkan matanya. Rasa geram
bermukin di hati. Bibirnya diketam kuat tanda marah. Tangannya
mencekak pinggang.
“Apa kau kata?”
dia bersuara. Garang dan geram bercampur rasa menjadi satu.
Tetapi lain pula tindak
balas Danish Aniq. Dia tiba-tiba ketawa.
“Maaf. Aku hanya
bergurau tadi. Baru berjalan sedikit sudah letih. Bagaimana nanti
jika ada sukan di sekolah kita. Entah-entah kau sudah pengsan di atas
trek.”
Danish Aniq memohon
maaf kepda Darwisyah, namun dihujung-hunjung ayatnya dia masih lagi
mengusik Darwisyah. Darwisyah menjeling tajam dan kembali mengatur
langkah.
Hampir 5 minit berjalan
kaki, Danish Aniq memakukan langkahnya. Darwisyah hanya menurut.
“Kita sudah sampai.
Mari kita duduk di meja sana.”
Ajaknya.
Darwisyah kini berada di sebuah kawasan yang permandangannya seperti di sebuah
kebun buah-buahan. ‘Ya! Benar sekali,’ getus hati Darwisyah.
Matanya kini menangkap
beberapa baris pokok pisang. Kelihatan setandan pisang sudah mula
terhasil di pokok-pokok tersebut. Ada yang masih hijau putik, ada
yang hampir kekuningan dan ada yang sudah menguning terang.
Kalau ikutkan
hatinya, ingin sahaja dia bertanya Danish Aniq tentang pemilik kebun
pisang ini. Namun dia menolak tepi tentang perkara itu apabila
teringatkan tujuan utama mereka.
Selepas seminggu
bersekolah di situ, Darwisyah semakin selesa dengan Danish Aniq.
Dia tidak lagi benci akan lelaki itu seperti hari pertamanya ke sekolah.
Danish Aniq sudah dianggapnya sebagai abang, apatah lagi perbezaan umur
mereka yang jaraknya hanya 2 tahun.
Dia mendapat tahu
bahawa Danish Aniq merupakan antara pelajar cemerlang di sekolah. Oleh
itu, dia mengambil peluang itu untuk memohon tunjuk ajar daripada Danish
Aniq dari segi pelajaran. Alhamdulillah. Danish Aniq tidak menolak
malahan sering bertanya Darwisyah jikalau dia punyai masaalah dalam memahami
sesuatu fakta atau formula.
PRAK!
Ketika Darwisyah sedang
mengemas buku-bukunya, telinganya menangkap satu bunyi dari arah
belakang. Dia perpaling dengan cepat. Kelihatan seorang wanita yang
sebaya dengan ibunya berjalan menuju ke arah mereka.
“Itu mak aku.
Sepupu ayah kau.”
Darwisyah sudah dapat
jawapannya. Ibu Danish Aniq rupanya. Dia yang duduk berhadapan
dengan Darwisyah tersenyum. Darwisyah sedikit musykil, bagaimana
ibu Danish Aniq boleh berada di situ?
“Ini kebun mak
aku. Kau nampak pondok kecil di sana. Mak aku berteduh di situ
sambil menyisir daun pisang untuk dijual sejak kita tiba lagi. Kau tahu
bukan, tidak manis jika lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan tanpa
orang ketiga walaupun kita bersaudara.”
‘Ya Allah!
Mengapa aku tidak terfikir langsung tentang hal ini. Mujur adanya Aniq.’
Darwisyah beristighfar
di dalam hati.
Dia menyalami ibu
Danish Aniq. Rupa-rupanya ibu Danish Aniq yang di panggil Mak Embun sudah
mengenali Darwisyah. Hanya dia yang belum mengenali wanita itu.
Mereka berbual lama sebelum Darwisyah memohon diri untuk pulang. Danish
Aniq menghantar Darwisya pulang.
Di celah-celah juntaian
ranting pokok dan lalang-lalang halus, satu susuk tubuh sedang menyeluruti langkah kaki mereka tanpa
mereka sedar.
*****
Munira menggaru-garu kasar kulit badannya. Bintik-bintik kecil mula kelihatan
di seluruh badannya. Kulit gebunya mulai kemerah-merahan. Peluh
halus mulai terbit di wajahnya. Ditambah pula dengan keadaan yang agak
panas. Putaran kipas angin di atas kepalanya tidak dapat menghilangkan
bahang yang dirasainya.
“Apa kena badan aku ni! Gatal-gatal
pula!” rungutnya sendiri.
Punat telefon bimbit ditangannya tidak
henti-henti di tekan dengan jari runcingnya lalu ditekapnya ke telinga.
Hampa! Panggilan tidak dapat ditembus. Dia mengulanginya sehingga
pedih jarinya.
“Aduh! Tiada line pula! Ini lecehnya bila tinggal
di kampung sebegini!” dia melempar kuat telefon itu di atas bantalnya.
“Sudahlah telefon gagal buat panggilan
luar kawasan, hantar e-mel pun tidak balas! Dia inginkan aku hantar
surat agaknya!”
Munira kian berang. Sudah beberapa
hari keadaan berlarutan seperti ini. Dia merasakan seperti dia sudah
terpisah dengan dunia luar. Dia menyumpah seorang diri.
Lama-kelamaan Munira tertidur bersama tanpa sedar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan