Bab 10
Guni putih yang berisi rumput hijau segar sebesar pemeluk orang
dewasa dicapai lalu dibawa ke kandang haiwan ternakannya. Dia kemudian
membahagikan rumput-rumput tersebut kepada beberapa bahagian. Kandang yang
asalnya kosong tanpa makanan kembali terisi. Dia terasa puas apabila melihat
lembu-lembunya dapat menikmati rumput segar yang baru diperoleh dari pembekal.
“Hai, rajin kau sekarang…”
Usu Roslan berpaling laju. Dia yang asyik memerhati ruang
kandangnya yang berbumbungkan atap zink sedikit tersentak.
“Tugas aku Mail, tanggungjawab aku…” dia membalas malas.
Mail, seorang penganggur kampung yang semakin lama semakin liar kelakuannya.
Satu demi satu masalah yang diciptanya. Satu kampung kenanya. Emaknya, Mak Som.
Tukang jahit kampung yang handal menjahit baju tradisional.
“Makin maju kau kan sekarang ya…” ujar Mail lagi.
Dia bersandar di tiang kayu kandang lembu Usu Roslan. Sesekali
lengannya disondol oleh lembu yang sedang enak memakan rumput segar.
“Semua orang ingin maju dalam dunia ini Mail. Nak berjaya, ingin
hidup senang. Kau tu? Sampai bila akan begini?”
Wajah Mail yang kusut masai dipandang. Usu Roslan dan Mail sudah
lama kenal. Mereka sebaya yang pernah berada di dalam satu kelas yang sama
ketika zaman sekolah. Mail dahulunya seorang yang bijak. Dia antara pelajar
harapan sekolah.
Namun, satu peristiwa telah meragut kelebihan dia. Dia mula
terumbang-ambing sebelum terjerumus ke gaung hitam.
“Mak aku pun tak pernah bertanya, kau pula yang sibuk tanya,
kenapa?” balas Mail kembali. Dia terpukul dengan kata-kata Usu Roslan.
Juraian rumput yang tergantung di bibirnya diluah, lalu mengangkat
kaki beredar dari situ. Mail menjeling tajam wajah Usu Roslan. Sakit hatinya!
Dia yang singgah dengan tujuan untuk menyakitkan hati Usu Roslan, alih-alih dia
yang disakitkan.
Usu Roslan tidak membalas. Dia menggelengkan kepalanya. Sudah
kerap dia melalui perkara sebegini. Lagi-lagi orang itu adalah Mail. Sebesar
zarah pun, dia tidak terasa. Bahkan hati kecilnya menitip doa agar sahabatnya
itu cepat-cepat berubah.
Derap tapak kaki menyapa hujung telinganya. ‘Siapa yang datang?’ Usu Roslan
berpaling ke belakang. Kelihatan Nenek Leha sedang berjalan ke arahnya sambil
menjinjing mangkuk tingkat di tangan.
“Apa pula yang dibualkan Mail tadi?” Nenek Leha bersuara.
Wanita tua itu sempat melihat kelibat anak muda itu sebelum hilang di balik
pohon-pohon kayu tinggi di tepi lorong besar. Bekas berisi makanan tengah hari
yang di bawa untuk anak bongsunya itu diletak di atas meja yang sememangnya
sudah tersedia di situ.
“Entahlah mak. Lan pun tidak faham dengan si Mail ni. Ada saja yang ingin
digaduhnya. Kalau tersalah orang, pasti bertumbuk dek mulut celupar dia tu.”
Jawab Usu Roslan. Bicaranya tenang sahaja. Tiada langsung nada marah atau
terasa hati dengan kata-kata Mail itu.
“Berhadapan dengan orang yang sikap seperti Mail tu perlu nilai kesabaran
yang tinggi Lan. Tanamkan rasa tenang. Jangan mudah melatah dengan kata-kata
orang. Itu sudah cukup untuk perolehi pahala. Lagi bagus kalau kita bagi
nasihat atau kata-kata semangat,” Nenek Leha bersuara kembali.
“Lan faham mak. Pengalaman lalu sudah cukup buat Lan bertahan dan sabar.
Kalau Lan tak tahan dan kurang sabar...”
Butir bicaranya terhenti. Nenek Leha menatap wajah Usu Roslan. Kelihatan
Usu Roslan meliarkan pandangannya ke seluruh kandang lembu miliknya sambil
tersenyum nipis. Pandangan Nenek Leha dibalasnya. Penuh kasih sayang.
“Mak bersyukur ada anak seperti Lan. Kuat semangat. Insyaallah Lan. Apa
yang kita lakukan dengan hati ikhlas, niat yang betul, Allah akan restu.
Asalkan ia tidak salah di sisiNya.”
“Insyaallah mak. Mudah-mudahan.”
Dua beranak itu tersenyum lebar. Indahnya kurniaan yang diberi oleh-Nya dihargai
dengan baik. Mereka sedar itu anugerah untuk penghuni alam. Sebagai
‘penumpang’, mereka harus laluinya sebelum tiba ke ‘destinasi’ terakhir nanti.
“Kenapa mak datang sini? Lan boleh balik makan di rumah saja.”
“Saja. Lagi pun, mak Sudah lama tidak melawat mereka semua. Pasti mereka
rindukan mak sepanjang mak tidak ada...”
Nenek Leha berseloroh dihujung bicaranya. Dalam masa yang sama Usu Roslan
sudah menjamu selera dengan lauk yang dibawa oleh Nenek Leha dari rumah.
Berselera dia!
“Cucu mak?”
“Kenapa dengan Darwisyah?”
Suapan Usu Roslan semakin perlahan. Sisa-sisa nasi dikuis dengan jari.
Pertanyaan Nenek Leha dibiarkan sepi dibawa angin lalu hilang di udara.
“Pulang dari sekolah, tengok mak tok kesayangan dia tiada, menangis pula
nanti,” pertanyaan Nenek Leha berbalas juga.
Mengamati cara Usu Roslan menjawab, kedengaran dia bimbang jika Darwisyah
pulang, kemudian melihat tiada sesiapa di rumah dan takut akhirnya menangis.
Persis mengambil berat lagaknya. Itu jika ditafsir secara kasar.
Tetapi, jika disirat disebaliknya, apakah Usu Roslan sedang menyindir
Darwisyah? Atau pun benar ia lahir dari hatinya? Hati Nenek Leha sebenarnya
berbolak-balik tentang perkara ini.
“Mak sebenar kasihan dengan dia. Sampai bilalah abang kamu nak sorokkan
perkara ini dari anak itu...”
Nenek Leha menghela nafas. Semenjak Darwisyah bertanya tentang perkara yang
disorokkan tempoh hari, hatinya mula gundah.
“Anak buah kamu ada tanya mak, kenapa tiba-tiba saja dia dihantar untuk bersekolah
di sini,” sambung Nenek Leha.
“Apa mak cakap?” soal Usu Roslan.
“Mak hanya mampu yakinkan dia bahawa abang kamu nak cari rezeki untuk masa
depan dia.”
Usu Roslan sudah bangun menuju ke sinki untuk mencuci tangan. Nenek Leha
menuang air ke dalam gelas buat Usu Roslan. Jejaka itu kembali tidak lama
kemudian. Melirik ke anak mata Usu Roslan, kelihatan dia seperti tidak suka
dengan jawapan Nenek Leha. Dahinya sedikit berkerut.
“Kenapa susah sangat abang nak berterus-terang dengan Darwisyah tentang perkara
sebenar?”
Usu Roslan begitu hairan dengan sikap Encik Lokamn. Baginya, untuk
menamatkan ‘drama’ ini, beritahu sahaja perkara sebenar. Pasti segalanya akan
selesai dengan baik.
“Kamu ni Lan, cuba fikir jauh sedikit. Perkara ni besar. Benda membabitkan
ramai orang. Kamu bukan tidak tahu masalah baru yang ditimbulkan abang kakak
ipar kamu tu. Darwisyah tu belum cukup umur. Kalau beritahu perkara sebenar
saat ini, lagi susah keluarga kita. Ia berkaitan dengan amanah orang. Kamu
faham tu!”
Nenek Leha begitu tersinggung dengan pertanyaan Usu Roslan. Usu Roslan
seperti ingin mengambil jalan pintas untuk menyelesaikan perkara ini tanpa
memikirkan kesan yang akan diterima. Dengan hati yang penuh kecewa, Nenek Leha
mengangkat kaki beredar dari situ.
Sekali lagi, hati Nenek Leha terguris dengan bicara Usu Roslan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan