Bab 2
Tangisan yang berlaku di antara Puan Zalikha dan
Nenek Leha menghairankan Darwisyah. 'Mengapa mama menangis?
Bukankah aku yang akan di tinggalkan?' Desis hati Darwisyah. Pada
pandangan mata Darwisyah, daripada gaya Puan Zalikha ketika berjumpa
dengan ibu mertuanya, seperti ada sesuatu yang tersirat. Puan
Zalikha menangis semahu-mahunya apabila Nenek Leha memeluknya.
"Ika tinggalkan Isya pada mak buat sementara waktu. Ika harap tidak
menyusah mak," ujar Puan Zalikha.
Ruang dapur
yang ketika itu sunyi sepi mula di hiasi dengan suara manusia. Darwisyah
duduk bersila di atas kerusi sambil menjamah sedikit makanan yang
terhidang. Seperti tidak mampu menelannya dek kesedihan yang masih
bersarang. Perbualan dua wanita yang lebih berusia itu hanya di dengar.
"Tidak mengapa. Kamu selesaikan masalah itu dahulu. Biarkan
Isya di sini. Mak akan jaga dia. Insyaallah, semuanya akan
selamat," kata Nenek Leha kembali.
"Inilah yang Ika bimbangkan. Sejak peristiwa itu, Ika selalu
di hantui dengan bayangan seperti ini. Ika tidak sangka ia terjadi
juga," keluh Puan Zalikha. Dia menunduk ke bawah. Lengan
kanannya yang di letak di atas meja makan di pandang.
Puan Zalikha tidak kesal dengan apa yang sedang berlaku ini. Dia juga
tidak menyalahkan mana-mana pihak ketika ini. Apa yang paling di kesali
sekarang adalah dia dan suaminya gagal memilih yang terbaik untuk anak
mereka.
"Sudah. Kamu tak perlu bersedih begini. Pulang ke sana dan
selesaikan baik-baik. Tapi kamu dan Lokman perlu ingat, pertahankan
hak Darwisyah."
Hak? Darwisyah yang leka melayan sendunya sedikit terpaku, namun
reaksinya tidak terlalu ketara. Wajah tua Nenek Leha dijeling dari ekor
mata, sementara otaknya ligat berfikir tentang perkara yang di bincang
tadi.
'Nampaknya
mak tok juga mengetahui punca sebenar aku dihantar ke sini,'
desisnya. Darwisyah mulai berfikir tentang perkara itu kerana melalui
perbualan di antara Nenek Leha dan Puan Zalikha, dia menyedari bahawa ia
berkaitan dengan dirinya.
Menjelang
petang, Encik Lokman dan Zalikha mula beredar meninggalkan kampung.
Air mata Darwisyah tetap mengalir ketika melihat kereta kedua ibu bapanya
beransur hilang di sebalik rimbunan pepohon. Dia kelihatan lebih tenang
berbanding ketika dalam perjalanan tadi.
Kesedihan terhadap tindakan Encik Lokman dan Puan Zalikha yang menghantarnya ke
kampung tanpa kerelaannya mula berkurangan. Darwisyah lebih tertarik
dengan apa yang didengarinya sepanjang hari itu. Semuanya berkaitan
dengannya. Malam itu Darwisyah menghabiskan masanya berbual dengan Nenek
Leha sambil memikirkan bagaimana cara untuk mengetahui apa rahsia di sebalik
semua ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan