BAB 1
Hari minggu kini tiba. Pasti seronok dapat bergolek-golek
atas tilam empuk, bangun kemudian keluar bergembira dengan kawan-kawan. Tetapi
itu semua hanya bayangan Darwisyah. Dia sekarang berada didalam kereta
yang bergerak perlahan menuju ke kampung halaman ayahnya, Encik Lokman.
"Ayah, Isya tak mahu tinggal di sana la..." wajah tenang
bapanya yang sedang memandu di pandang melalui cermin pandang belakang.
Encik Lokman membalas pandangan anaknya kembali. Puan Zalikha di sebelah
hanya membisu. Dia bingung. Tidak tahu bagaimana lagi untuk
membuatkan Darwisyah berhenti berkata begitu.
Ketika mendapat tahu bahawa dia akan dihantar bersekolah di kampung, mahu
sahaja dia menjerit kuat dan menyatakan bahawa dia tidak setuju.
"Isya perlu tinggal di sana buat sementara waktu. Isya tidak boleh
berada di sini buat masa sekarang," kata Encik Lokman kembali.
"Tapi kenapa ayah? Isya nak tahu kenapa Isya perlu tinggal di sana
setelah bertahun-tahun Isya dengan ayah dan mama?"
Suara halus Darwisyah bergema di dalam kenderan sederhana besar itu.
Hatinya belum puas selagi bapanya tidak menjawab pertanyaannya. Setiap
kali dia bertanya soalan yang sama, Encik Lokman tidak pernah memberikan
jawapan. Hanya diam. Itulah yang selalu terjadi.
"Isya tidak perlu tahu kenapa."
Kali ini Puan Zalikha menjawab bagi pihak suaminya. Sebak dadanya apabila
mendengar suara Darwisyah yang tidak putus-putus bertanya tentang perkara
ini. Bukannya dia tidak mengerti perasaan Darwisyah ketika ini,
tetapi kerana kisah silam Puan Zalikha terpaksa. Hak milik
Darwisyah perlu dijaga.
Darwisyah kecewa apabila mendengar kata-kata dari bibir Puan Zalikha.
Darwisyah sememang rapat dengan Puan Zalikha berbanding Encik Lokman.
Puan Zalikha juga tidak pernah berahsia dengan Darwisyah dalam segala
hal. Kepada Puan Zalikhalah tempat dia bercerita suka dan duka hidupnya.
"Mama dan ayah tidak sayangkan Isyakah?" Suara Darwisyah
kedengaran sayu. Kolam matanya mulai penuh. Kabur pandangan
matanya. Sudut kecil hatinya begitu tersentuh dengan keadaan ini.
Encik Lokman menarik nafas panjang sebelum menghembusnya kembali lalu
berkata, "Darwisyah, kamu anak ayah dan mama.
Satu-satunya amanah Allah untuk ayah dan mama. Tidak
mungkin kami berdua tidak menyayangi Isya."
"Ayah tipu! Kalau begitu, mengapa ayah dan mama buat begini
terhadap Isya?"
Selar Darwisyah sebaik sahaja Encik Lokman menghabiskan ayatnya. Pipi
mulusnya sudah basah dek air mata. Turun laju tanpa henti.
Teresak-esak. Tekanan di dada seperti menghimpit kotak suaranya.
Payah sekali untuk di keluarkan.
"Ini semua untuk kepentingan Isya," kata Puan Zalikha.
Dia memandang terus di hadapan. Tidak berdaya rasanya untuk menatap wajah
pilu anak gadisnya. Dia menahan sebak di dada yang hampir pecah.
Puan Zalikha tahu Darwisyah sudah menangis ketika ini. Dia tidak mahu
terheret sama di dalam emosi tersebut kerana ini akan menyebabkan perasaan
tidak ingin berpisah dengan Darwisyah akan semakin menebal.
"Apa kepentingan Isya tu mama, ayah? Cuba beritahu Isya,
perkara apa yang begitu penting sehinggakan mama dan ayah sanggup hantar
Isya ke kampung?" Darwisyah menyoal kembali. Esakkannya
semakin kuat. Kulit putihnya sudah kemerah-merahan menahan sakit di jiwa.
"Bagi Isya, dalam hidup ini tiada yang lebih penting melainkan mama dan
ayah. Hanya itu kepentingan Isya ayah, mama!" luahnya
lagi bersama tangisan yang penuh hiba.
Usai sahaja Darwisyah berkata begitu, dia
menyembamkan wajahnya ke bantal kecil bersaiz empat segi yang berada di
sebelahnya. Esak tangisnya tenggelam di bantal biru itu. Darwisyah
tidak dapat menerima nasib dirinya ketika itu. Prasangka bahawa Encik
Lokman dan Puan Zalikha tidak mengasihinya lagi bermain di kotak fikirannya.
Encik Lokman berpaling ke belakang melihat reaksi anaknya sebelum
kembali memberi tumpuan terhadap pemanduan. Riak simpati terpancar di
wajahnya. Bebola matanya menceritakan kekeliruan yang sedang di alami.
Demi hak Darwisyah, dia perlu melakukannya. Kekecewaan
Darwisyah ketika ini tidak boleh di ambil kira.
Encik Lokman langsung tidak menyangka perkara ini akan
berlaku. Bertahun-tahun ia terjadi, tiada siapa yang
mempedulikannya. Bukan dia yang minta semua itu. Perkara itu di
luar kawalannya. Sambil memandang ke hadapan, Encik Lokman mengurut
lembut dahinya.
"Tidak lama. Setelah semuanya selesai,
Isya boleh pulang ke rumah kita semula," pujuk ibunya pula,
Puan Zalikha. Dia menoleh ke belakang memandang Darwisyah yang
sudah berbaring di tempat duduknya. Puan Zalikha tahu Darwisyah tidak
lelap. Dengar apa yang diungkapnya.
"Berapa lama? Sebulan? dua bulan?"
Darwisyah membalas bicara Puan Zalikha.
Diam. Tiada balasan. Darwisyah yang
menanti terus terasa hati. Puan Zalikha memandang suaminya melalui ekor
mata. Mengharap Encik Lokman menjawab bagi pihaknya. Namun,
dia juga membisu. Mulutnya bagaikan terkunci.
Perjalanan diteruskan. Suasana kembali sunyi.
Hanya kedengaran celoteh penyampai radio yang terpasang. Darwisyah
kini tenggelam dalam emosinya. Puan Zalikha melemparkan pandangan nun
jauh ke luar. Mata bundarnya berair.
*****
Kereta milik Encik Lokman menyusuri
lorong kecil itu. Kampung Alur Mutiara. Itu nama yang terpapar di
pintu masuk menghala ke kampung itu. Unik namanya! Nama Alur
Mutiara di ambil daripada sebuah sungai yang terdapat di kampung itu.
Alur sungai tersebut akan bercahaya setiap kali panahan terik matahari
mengenai permukaannya dan cetusan cahaya bergemerlapan akan terpancar.
Serakan bias-bias cahaya itu persis mutiara apabila di lihat. Dari
peristiwa itulah, nama Kampung Alur Mutiara ini wujud. Sehingga sekarang,
keadaan tersebut dapat di saksikan.
Teratak kayu 2 tingkat di hampiri.
Encik Lokman memberhentikan kereta. Setelah enjin kereta dimatikan,
Encik Lokman dan isterinya keluar dari kenderaan tersebut.
"Assalamualaikum!"
Laung Encik Lokman. Puan Zalikha asyik
sekali memerhati halaman rumah keluarga ibu mertuanya itu. Bersih dan
kemas. Hamparan rumput hijau menerbitkan aroma segar. Susunan
batu-bata yang diatur sepanjang lorong masuk menghala ke rumah mengindahkan lagi
persekitarannya. Puan Zalikha yang tenggelam sebentar dengan panorama
kampung itu kembali tersedar. Laungan salam kali kedua oleh suaminya
menghalau jauh lamunan tersebut.
"Mak tiada di rumahkah?" soal
Puan Zalikha.
"Abang tidak pasti. Mungkin berada
di dapur atau pun ke kebun."
Balas Encik Lokman. Dia memanjangkan
lehernya. Dia membawa kakinya ke arah pintu dapur yang sedikit tersorok
daripada pandangan. Puan Zalikha turut mencari kelibat ibu mertuanya
setelah salam yang di beri tidak bersambut. Beg tangannya di sangkut ke
bahu.
Darwisyah keluar dari kereta. Wajahnya penuh
sayu. Tubir matanya masih lagi berair mata. Entah mengapa,
dia begitu berat untuk tinggal di sini. Bukan kerana tidak suka
akan neneknya yang di panggil mak tok itu, bukan kerana ia sebuah rumah
kampung yang tidak gah seperti rumahnya di bandar, dan tidak juga kerana ia
tidak boleh bebas jika tinggal di sini.
Tetapi dia bimbang akan penerimaan bapa saudaranya.
Usu Roslan. Adik bongsu ayahnya. Ketika umur Darwisyah
sekitar 5 tahun, dia pernah di marahi oleh Usu Roslan. Silapnya
hanya kecil, iaitu tidak sengaja memecahkan pasu bunga yang di perbuat daripada
kaca.
Masih terbayang lagi peristiwa itu...
"Hidup menyusahkan aku! Tak pernah nak
senangkan hati! Pergi dari sini. Jangan dekat lagi dengan kawasan
ni. Faham!"
Itu kata-kata yang masih terpahat di ingatan
Darwisyah. Waktu itu umur Usunya dalam lingkungan 19 tahun. Sudah
hampir dewasa. Ya! Memang ketika itu Darwisyah masih lagi kecil
untuk memikirkan apa maksud disebalik kata-kata yang dilemparkan oleh Usu
Roslan itu. Tetapi, fikirannya tidak semuda umurnya. Itu
antara ayat-ayat pedih yang masih diingati sehingga kini.
"Man! Ika!"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan